suria

Syarikat Malaysia Peroleh Jualan RM52.75 Juta Di Pameran Foodex Jepun

Bangunan Matrade.

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia memperoleh jualan RM52.75 juta pada Pesta Dagangan Jepun FOODEX di Makuhari Messe Chiba, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada Isnin.

Matrade berkata, produk konfeksi menyumbangkan 38.14 peratus daripada jumlah jualan, diikuti produk minuman (30.13 peratus) dan bahan makanan (14.26 peratus).

Pusat pameran Malaysia yang menempatkan 24 syarikat, menerima 1,790 pertanyaan daripada pengimport, pengedar dan pusat perolehan dari Jepun, China dan Korea Selatan, sepanjang acara empat hari bermula 4 Mac, kata agensi promosi dagangan negara itu dalam satu kenyataan.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Tokyo, Kua Kiat Chye berkata, produk makanan dan minuman Malaysia diterima secara meluas di Jepun berikutan jaminan terhadap standard dan mutunya.

Beliau berkata, syarikat Malaysia juga seharusnya menimbang peluang dalam sektor hospitaliti Jepun untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelancong Islam dari Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Sejumlah 2,808 syarikat dari 78 negara mempamerkan produk mereka di FOODEX Jepun 2014 itu yang menarik  75,766 pengunjung sektor perdagangan.

Berikutan itu, Matrade merancang untuk terus menganjurkan penyertaan syarikat Malaysia dalam FOODEX Jepun 2015, yang akan dianjurkan dari 3 hingga 6

Mac tahun depan.

Artikel Lain