suria

Matrade Anjur Forum Pengeksport Seluruh Negara

Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan mengadakan siri forum bagi pengeksport tempatan di seluruh negara untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.  

Bercakap pada Forum Pengeksport 2014, yang pertama dalam siri itu, Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad berkata forum itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan berbincang dengan pengeksport dan sebagai platform untuk memberi maklumat terkini kepada peserta mengenai aktiviti dan program Matrade sepanjang tahun.

Beliau berkata, forum itu yang menggantikan program taklimat dan rundingan tahunan sejak 2004, akan turut diadakan di Johor Baharu, Pulau Pinang, Kota Baharu, Kuantan, Ipoh, Sungai Petani, Seremban, Tawau dan Bintulu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri dalam ucapannya berkata satu daripada ciri-ciri asas pembangunan ekonomi Malaysia adalah perkongsian kukuh antara kerajaan dan perniagaan. 

Beliau berkata, Matrade telah membantu lebih daripada 11,000 syarikat pengeksport dan akan terus menyokong pelan pengembangan pengeksport dengan membantu mereka mewujudkan hubungan perniagaan yang berkaitan dan membangunkan keupayaan mereka.

Hamim berkata, eksport Malaysia pada 2013 meningkat 2.4 peratus atau RM17.2 bilion kepada RM719.8 bilion, serta dagangan dan eksport pada tahun ini diunjurkan, masing-masing berkembang sebanyak 6 peratus dan 4 peratus.

Sebagai agensi mempromosikan pertumbuhan luar negara, Matrade akan mempertingkatkan usaha ke peringkat antarabangsa, dan pada tahun ini ia merancang untuk mengadakan 147 promosi dagangan di 46 pasaran luar negara, dengan tumpuan utama dalam Asean, katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu pengeksport dengan mengurangkan sekatan dagangan dan mengukuhkan kemudahan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas yang akan memberi mereka manfaat menerusi konsesi tarif, menjadikan harga eksport mereka kompetitif, katanya. 

noraini ahmad, matrade

Artikel Sebelum

i-Bhd Sasar RM500 GDV

Artikel Berikut

Artikel Lain