suria

BP Healthcare Labur 50 Juta Dalam Dua Pusat Pakar

KUALA LUMPUR: Rangkaian penjagaan kesihatan terbesar Malaysia, BP Healthcare Group, akan melabur RM50 juta dalam dua pusat kepakaran baharu, dengan rancangan membuka sebuah daripadanya sebagai hospital, yang pertama dimiliki oleh kumpulan itu.

Hospital BP yang menjadi perintis itu terletak di Skudai, dekat Johor Baharu, merupakan sebuah kemudahan seluas 50,000 kaki persegi yang diperoleh tahun lepas. 

Kerja-kerja pengubahsuaian sudah bermula bagi menyediakan 40 hingga 60 katil.

Pengarah Urusan BP Healthcare Group Datuk Chevy Beh berkata syarikat akan terus berkembang dengan menyasarkan lebih banyak pengambilalihan untuk meluaskan perniagaan.

"Kami akan terus mengembangkan kehadiran kami di kawasan baharu di seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan memanfaatkan teknologi bagi menyampaikan perkhidmatan kami," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengambilalihan pertama BP Healthcare adalah Sime Darby Specialist Centre Megah di Petaling Jaya dan mengubah namanya kepada BP Specialist Centre Megah. 

Dua buah pusat kepakaran lagi akan ditambah di Skudai dan sebuah lagi di cawangan sedia ada di Menara Penang Garden di Pulau Pinang, menjadikan kesemuanya tujuh pusat kepakaran di bawah kumpulan berkenaan.

Sebahagian penting dalam pertumbuhannya ialah kerjasama BP Healthcare dengan lebih 4,000 klinik swasta dalam pelbagai perkhidmatan seperti rujukan, ujian klinikal, penyelesaian IT, bekalan peralatan perubatan dan farmasi.

Kumpulan itu juga melancarkan perkhidmatan X-Ray bergerak pertama di negara ini pada Januari dalam usaha meningkatkan program saringan kesihatannya.

Pada penghujung tahun lepas, kumpulan itu mempunyai lebih 70 makmal, 50 pusat diagnostik, 50 farmasi dan dispensari, 50 pusat bantuan pendengaran, 50 pusat ujian makanan dan industri, lima pusat pakar jagaan harian, tiga klinik pakar gigi dan sebuah klinik mata. - BERNAMA

Artikel Lain