suria

Selipar dah ‘tanda’ dengan paku tetap hilang di surau, rupanya jemaah guna pergi tandas! ‘Misteri’ cuma sebelah je basah

Seorang pemuda berkongsi kisah seliparnya 'hilang' ketika berkunjung ke sebuah surau.

INSIDEN kehilangan selipar dan kasut di surau atau masjid bukan perkara baharu.

Kedengaran seperti tidak masuk akal kejadian curi berlaku di rumah Allah, namun itulah realitinya yang terjadi dalam masyarakat kita.

Menerusi satu perkongsian video, seorang pemuda berkongsi kisah mengenai sepasang seliparnya ‘hilang’ ketika berkunjung ke sebuah surau pada Jumaat.

Menurutnya, seliparnya lesap ketika dia pergi menggunakan tandas di surau berkenaan.

“Aku tanggal selipar, masuk tandas. Pakai selipar kepunyaan surau.

“Abang ni tanggal kasut, masuk tandas pakai selipar aku,” tulisnya.

Pemuda ini reda seliparnya dijadikan sebagai 'selipar tandas' di surau.

Selipar miliknya itu dipercayai diletakkan di rak kasut bersebelahan dengan laluan masuk ke tandas lelaki.

Tergamam dengan apa yang disaksikan di depan mata, pemuda itu kemudian sanggup menunggu di luar tandas bagi memastikan seliparnya selamat dikembalikan.

Tidak lama kemudian kelihatan seorang lelaki berbaju polo keluar dari tandas dan meletakkan kembali seliparnya di rak kasut.

“Masa ni aku buat-buat main telefon. Dia pandang aku senyum, aku senyum balik. Apabila dia dah blah (beredar), aku pergi ambil selipar aku,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba sunyi sepi! Gadis terkurung selepas solat Isyak sendirian, ruang jemaah lelaki gelap... Meremang seperti ada yang memandang

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup masuk surau, ‘pinjam’ kain pelikat terselit RM50 – “Susah-susah dia, rupanya dia jenis lurus”

Dia bagaimanapun tidak menyalahkan lelaki tersebut yang mungkin beranggapan selipar yang dipakai itu adalah milik surau bagi kemudahan para jemaah.

“Tak salahkan abang tu juga, sebab selipar aku memang macam selipar tandas,” katanya.

Seorang lelaki didakwa menggunakan seliparnya untuk masuk ke tandas.

Walaupun kelihatan seperti selipar tandas, dia mengakui tetap selesa memakainya.

“Selipar ni aku sayang sebab sedap pakai. Tapi sedap-sedap je abang tu bawa masuk tandas.

“Selipar aku ni aku dah siap custom tau. Siapa rembat (curi) memang cari nahas,” jelasnya sambil menunjukkan bahagian tapak salah satu seliparnya yang diletakkan sebatang paku.

Mungkin sebab selipar kita buruk, dia fikir selipar tandas.

NETIZEN

Di akhir video berdurasi 38 saat itu, dia bagaimanapun terkejut sesuatu berlaku pada seliparnya selepas ia digunakan jemaah tersebut untuk ke tandas.

“Kenapa sebelah kanan selipar basah, kenapa?” soalnya.

Tidak dinyatakan di mana kejadian itu, namun dalam video dikongsi, pemuda itu membuat pautan lokasi di Kuantan, Pahang.

Antara komen netizen.

Di ruangan komen nampaknya pemuda itu tidak keseorangan apabila rata-rata netizen turut berkongsi nasib sama mengenai kehilangan atau kecurian selipar mereka di surau dan masjid.

“Pernah juga sebab biasa keluar kereta saya pakai selipar Jepun je. Singgah masjid, tengok-tengok selipar dah hilang. Mentang-mentang la selipar Jepun je.

“Kisah aku selipar murah je tak sampai RM20, tapi sebab aku suka pakai pergi solat Jumaat. Balik ditukarkan dengan selipar tapak berlubang, sakit hati.

“Pernah juga! Masuk tandas guna selipar surau, keluar eh selipar aku hilang! Ada akak guna selipar aku pergi basuh berak anak dia kat tandas.

“Saya faham perasaan kamu, pernah kena juga di surau. Mungkin sebab selipar kita buruk, dia fikir selipar tandas,” komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain