suria

Guna sticker ke? Remaja ini terpaksa buktikan bakatnya dengan kongsi video time lapse gara-gara lukisan ‘terlampau real’

Lukisan Darwisy kelihatan sangat nyata sehinggakan ada yang menyangkakan ia hanyalah pelekat bergambar.

KATA orang kalau dah kreatif tu, lukislah atas apa pun, mesti menjadi!

Ketiadaan kertas lukisan disebabkan penutupan kedai alat tulis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu memaksa anak muda ini memberanikan diri bereksperimen di atas medium lain.

Namun siapa sangka, karyanya di atas pelitup muka (face mask) tular serta mendapat sambutan hangat daripada warga media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Benarkah vaksinasi punca kitaran haid tidak normal? Fahami penjelasan pakar mengenainya

ARTIKEL BERKAITAN: Betul ke siri animasi popular Jepun turut dapat sentuhan anak tempatan? - “Manalah kami tahu Dragon Ball ni akan jadi legenda”

Bercakap kepada mStar, Muhammad Darwisy Mustafani, 20, berkata dia tidak menyangka lukisan atas face mask tersebut akan menerima sambutan yang amat memberangsangkan.

Menurut pelajar jurusan Seni Bina di sebuah universiti awam ini, dia sememangnya gemar melukis sejak dahulu lagi namun tidak pernah mempelajarinya secara formal sehinggalah dia melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

"Saya nak ambil subjek seni untuk SPM tapi tak dapat sebab sekolah saya dulu tak tawarkan subjek tersebut, jadi masa tu saya terpaksa belajar sendiri.

"Masuk universiti baru saya berpeluang belajar melukis secara formal daripada pensyarah," katanya yang merupakan bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan.



Darwisy mendapat idea melukis atas pelitup muka apabila kedai alat tulis ditutup kerana PKP.

Bercerita mengenai lukisannya yang tular baru-baru ini, Darwisy berkata, dia memilih untuk melukis corak bangunan ikonik di Malaysia kerana ingin menonjolkan kecantikan serta keindahan seni bina dalam negara.

Selain itu, tambahnya, dia juga melukis wajah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebagai simbolik untuk menyatakan sokongan serta penghargaan kepada barisan petugas kesihatan yang bertungkus lumus melawan pandemik Covid-19.



Hasil kerja yang sangat kemas dan terperinci membuatkan ada yang menganggap face mask ini dilekatkan sticker bergambar.

"Saya dapat idea lukis atas pelitup muka masa PKP 1.0, waktu tu nak beli art supply dan kertas lukisan tapi banyak kedai tutup jadi saya terpaksa guna apa yang ada je. Kebetulan dalam satu kotak mask selalunya ada beberapa yang tali putus dan tak boleh pakai, jadi dari situ timbul idea nak lukis atas mask, daripada buang sahaja.

"Saya lukis bangunan ikonik di Malaysia sebab nak tunjuk kecantikan dan keindahan Malaysia itu sendiri. Gambar Dr Noor Hisham pula sebab saya rasa gambar tersebut sesuai dengan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia dan sebagai penghargaan kepada barisan hadapan yang berusaha menangani virus ini di Malaysia," jelasnya.



Simbolik sokongan kepada frontliners ketika musim pandemik.

Menurut Darwisy, dia mengambil sekurang-kurangnya tiga jam atau beberapa hari untuk menyiapkan satu-satu lukisan.

"Paling cepat tiga jam, paling lama boleh makan masa berhari-hari untuk siapkan satu lukisan.

"Macam lukisan Dr Noor Hisham, yang tu susah sikit sebab nak kena padankan skin tone dia, supaya nampak sama," terangnya.

Selain pelitup muka, Darwisy turut berkarya di atas kulit telur, batang ais krim, kotak parcel yang diterima apabila membeli barangan secara dalam talian dan surat khabar.



Atas kotak, kayu ais krim, kulit telur pun dilukis!

Menurut Darwisy yang menetap di Kota Bharu, Kelantan, dia berjaya menjual beberapa keping pelitup muka berkenaan dengan harga RM50 hingga RM80.

Menjengah ke ruang komen di media sosialnya, rata-rata netizen memuji kekemasan serta perincian yang ditonjolkan dalam lukisannya.

Malah Darwisy juga terpaksa membuat perkongsian video 'time lapse' dia melukis artworknya di media sosial bagi menjawab sangkaan orang ramai bahawa lukisan tersebut hanyalah sekeping pelekat.

Paling cepat tiga jam, paling lama boleh makan masa berhari-hari untuk siapkan satu lukisan.

MUHAMMAD DARWISY MUSTAFANI

Selain dirinya, Darwisy berkata, ibu serta dua orang adiknya juga minat melukis.

Berkongsi impiannya, Darwisy berkata, dia bercita-cita untuk menyertai pameran lukisan atau membuat solo exhibition bagi mempamerkan artwork yang telah dihasilkan.

"Buat masa ni pendirian saya masih belum tetap tapi saya berminat untuk jadi interior designer, dan saya juga ada impian untuk nak sertai pameran lukisan atau buat solo exhibition suatu hari nanti kalau ada rezeki.

"Sekarang saya tengah belajar untuk gunakan art medium yang lain macam cat minyak dan saya juga tengah explore lagi bahan-bahan lain yang saya boleh guna untuk buat lukisan," jelasnya.

Menurut Darwisy, dia juga menerima tempahan yang dibuat melalui Instagramnya wisy_lukis.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain