suria

YouTuber ‘baru nak up’ sanggup panjat pokok pakai baju kurung, tak kisah dikata macam monyet demi content

Foto Wani di atas pokok menyebabkan ada individu yang menggelarkan dirinya sebagai monyet.

LAIN orang lain ragamnya.

Begitu juga kisah mengenai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini yang sanggup memanjat pokok sambil memakai baju kurung.

Siapa sangka, individu di sebalik foto 'gila-gila' itu merupakan YouTuber baharu yang berasal dari Kijal, Kemaman, Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lama merantau, lelaki ini pulang ke kampung semata-mata nak jadi YouTuber... jangan terkejut kerana pasangannya berusia 75 tahun!

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita 10 anak cuba nasib jadi YouTuber pada usia 50 tahun... ada kisah pilu di sebalik pemilihan nama ‘Bonda Sebelas’

Menurut Hazwani Helmi Zukri, 18, foto berkenaan dirakam sekitar hari lebaran lalu untuk tujuan suka-suka sahaja.

"Dulu saya suka panjat bukit, tapi semuanya terhenti sejak pandemik Covid-19, ditambah pula dengan sekatan pergerakan penuh.

"Di kawasan rumah saya ada banyak pokok. Jadi saya dapat idea untuk ambil gambar atas pokok.

"Idea tercetus ketika raya. Biasanya orang ambil gambar di sebalik pokok, saya nak ambil gambar di atas pokok.

Wani tidak kisah namanya lambat dikenali penonton YouTube.

"Tapi saya tetap pakai seluar panjang dalam kain baju kurung, risau terjadi apa-apa nanti.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ada juga yang komen, mereka kata macam monyet, tapi saya tak ambil hati," ujarnya yang mesra disapa Wani.

Bercerita mengenai dirinya, Wani baru sahaja memulakan saluran YouTube pada Disember tahun lalu atas dorongan rakan-rakan.

Jelasnya, dia menghasilkan pelbagai kandungan mengikut trend semasa dan berharap dapat menjadi YouTuber berjaya suatu masa nanti.

Kalau orang tegur atau bagi komen, saya terima seadanya.

WANI

"Saya ikut juga permintaan orang, buat video challenge yang menarik dan sesuai dengan kemampuan saya.

"Saya masih lagi mencari tapak secara perlahan-lahan. Saya bukan jenis cepat putus asa. Sekarang saya hanya ada 300 lebih subscribers.

"Kalau dalam masa setahun boleh capai 1,000 subscribers, syukur Alhamdulillah. Yang penting jangan mengalah," ujarnya.

Menurut Wani lagi, dia menolak jauh perasaan malu untuk bergelar YouTuber.

Malah katanya, dia yang sudah terbiasa menyertai pertandingan di sekolah menganggap saluran YouTube itu sebagai 'pentas' untuk dia mengembangkan bakat dan minat yang dimiliki.

Antara video yang dikongsi di YouTube miliknya.

"Masa sekolah rendah dulu, saya jual kek yang mak buat. Saya juga ada kemahiran mengait. Jadi boleh tampung duit sedikit sebanyak.

"Selain itu, saya juga tolong mak menjahit. Di sekolah, saya juga aktif sertai pertandingan pidato dan sajak.

"Kawan-kawan tahu saya sangat aktif, sebab tu mereka cadangkan saya buka saluran YouTube. Masa buat video, saya bayangkan ibarat bercakap dengan cermin saja.

"Dengan itu saya dapat keyakinan. Kalau orang tegur atau bagi komen, saya terima seadanya," ujarnya lagi.

Dedah Wani, dia pernah bercita-cita mahu menjadi tentera, namun kini mengubah impian dan menyimpan hasrat bergelar usahawan berjaya suatu hari nanti.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain