suria

Sukar cari 'pengganti', bekas pramugari tak kisah jual kuih... siapa sangka usaha adik di Twitter buka pintu rezeki - “Mesej masuk tak berhenti”

Nina mula berniaga kuih-muih pada Julai lalu atas sranan suaminya.

DARI kerjaya di awan biru, siapa sangka bekas pramugari ini juga memiliki sentuhan magis dalam penghasilan kuih-muih Melayu?

Begitulah kisahnya mengenai Dayang Shazrina Mohd Noordin, 30, yang kini menjadi pengusaha makanan selepas berhenti kerja pada Februari lalu.

Mesra disapa Nina, dia mengakui berhenti kerja kerana mahu fokus terhadap cahaya mata sulungnya, namun tidak sangka negara teruk dibadai pandemik Covid-19 sehingga menyukarkan usahanya mencari kerja baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Untung RM3 sehari, nasib lelaki tua patah kaki jual cendol berubah selepas pramugari bikin kecoh di Twitter - “Dia tak larat tekan pedal lori”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak cukup ajak tumpang rumah, bakal pilot terkejut lihat usaha gigih sahabat berbeza bangsa 10 minit menjelang azan Maghrib

"Saya bersalin anak perempuan pada Oktober tahun lepas. Awal Februari tahun ini saya perlu kembali bertugas. Tapi saya risau kerana kes Covid-19 sedang meningkat di Malaysia.

"Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti. Tak sangka pada Mac, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula dilaksanakan.

"Saya dah jadi kru kabin dari tahun 2013. Tapi ada kelulusan dalam bidang kulinari dan pengurusan perhotelan.

Nina sekeluarga.

"Saya fikir mahu menceburi bidang hotel, tapi industri itu juga menerima impak teruk. Suami saya yang kerja dalam bidang hotel turut terkesan," ujarnya kepada mStar.

Atas idea dan saranan suaminya, Mohd Nazrin Md Affandi, 31, Nina yang enggan berpanjangan mengharap untuk ditawarkan kerja baharu mengambil keputusan berniaga kuih bermula Julai lalu.

"Sebenarnya ayah saya dulu juruterbang. Sewaktu saya umur sembilan tahun, ayah pernah sakit, tak boleh kerja jadi mak berniaga kuih tepi jalan untuk sara hidup kami.

Saya dan suami je yang buat kuih, sambil jaga anak lagi.

NINA

"Jadi dari kecil saya dah belajar sedikit-sebanyak dari mak. Baru-baru ini kami balik rumah mak, dia ada terima tempahan kuih dari rakannya.

"Dari situ suami bagi idea, dia tanya saya boleh buat kuih ke? Malah, kawasan rumah kami di Cyberjaya juga agak susah kalau nak cari kuih. Dari situlah bermula perniagaan kami," jelasnya.

Kata Nina, dia bersyukur apabila mendapat sokongan padu rakan dan keluarga sejak mengusahakan perniagaan itu.

Malah, dia sama sekali tidak pernah berhadapan persepsi negatif yang memandang rendah perubahan kerjayanya.

Seleksi kuih yang dihasilkannya.

Menghasilkan variasi kuih seperti seri muka, kaswi, kuih lapis, kuih cara, nona manis dan sebagainya, Nina juga bersyukur apabila posting hebahan oleh adiknya di Twitter menjadi tular sehingga membuka peluang rezeki buatnya.

"Alhamdulillah, mesej masuk tak berhenti selepas viral di Twitter. Terlalu banyak mesej untuk kami jawab.

"Saya dan suami je yang buat kuih, sambil jaga anak lagi. Kami mohon maaf kalau ada yang kami tak sempat layan lagi," ujarnya.

Malah, Nina sempat menitipkan pesan buat sesiapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 agar tidak mudah berputus asa dan cuba meneroka bakat yang ada untuk diubah menjadi punca pendapatan.

Nina menceburi industri penerbangan sebagai kru kabin pada tahun 2013.

"Jangan mudah putus asa. Saya masa awal-awal dulu, duit makin sikit. Tapi jangan putus asa.

"Kadang-kadang kita tak nampak bakat kita, boleh tanya orang sekeliling. Macam saya pun, suami yang sarankan saya buat kuih.

"Rezeki tak pernah salah alamat," ujarnya lagi.

Tambah Nina, kuih yang dihasilkannya bukan sahaja dijual sekitar Cyberjaya, malah dia turut bersedia menerima tempahan dari luar kawasan seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan sebagainya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain