suria

Cemas! Zipline berhenti mengejut ketika rentas air, remaja ‘buat hal’ nyaris kena ngap dengan jerung - “Masih lagi bernyawa, aku bersyukur”

Video dihasilkan Syazwan yang tular di laman Twitter.

"MASIH lagi bernyawa, aku bersyukur."

Demikian tulis seorang remaja menerusi Twitter sambil berkongsi satu video 'cemas' yang dirakam di Air Terjun Berkelah, Kuantan, Pahang.

Dalam rakaman berdurasi 42 saat itu, tali zipline merentasi air terjun yang dipakai Amirul Syazwan Mohd Rushdi, 19, seolah-olah mengalami masalah sebelum dia perlahan-lahan jatuh ke dalam air.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempak, laju lain macam! Pelajar terbangkan ‘racing drone’ atas sungai ketika berkhemah rupa-rupanya juara dunia - “Rakyat Malaysia pun boleh”

ARTIKEL BERKAITAN: “Cepat dia jalan” - Siapa nenek jalan bongkok tepi air terjun? Ibu tiba-tiba pengsan

Lebih membingungkan, rakaman dari bawah permukaan air menampakkan seekor jerung sedang menghampiri remaja berusia 19 tahun itu.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Syazwan mengakui video tular itu sekadar suntingan yang dibuat secara suka-suka sahaja untuk dikongsi di media sosial.

"Video itu dirakam pada bulan Februari lalu, sewaktu saya dan kawan-kawan ikut trip perkhemahan. Kami ikut trip yang dianjurkan sebuah syarikat ni, mereka yang set up zipline kat kawasan air terjun tu.

Syazwan menyertai perkhemahan itu pada Februari lalu.

"Sebenarnya bukan saya terjatuh, tapi memang zipline tu akan berhenti apabila sampai ke tengah, kemudian kita longgarkan klip dan jatuh dalam air. Memang semua dah tahu dari awal.

"Dalam minggu lepas saya tengok balik video tu, kemudian saya edit kononnya ada jerung dalam air. Saya dapat inspirasi lepas tengok satu video luar negara edit benda sama," ujarnya.

Menurut Syazwan, dia sama sekali tidak menyangka video itu akan meraih perhatian ramai sehingga mencecah lebih 230,000 tontonan.

Saya memang selalu edit video, buat vlog untuk YouTube. Tapi tak aktif sangat pun.

AMIRUL SYAZWAN MOHD RUSHDI

Malah katanya, dia tiada niat untuk memperdaya pelayar Twitter dengan video cemas itu sebaliknya sekadar membuat suntingan secara suka-suka sahaja.

"Selepas post video di Twitter, saya tidur macam biasa. Esok pagi tengok dah ramai orang tonton.

Syazwan tidak menyangka video itu akan tular di Twitter.

"Ada juga yang percaya video tu mula-mula, kemudian mungkin mereka fikir balik sebab ada jerung dalam air terjun.

"Tapi ramai yang gelak dan terhibur, saya pun anggap ia macam satu jenaka.

"Saya memang selalu edit video, buat vlog untuk YouTube. Tapi tak aktif sangat pun," ujarnya yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan.

Syazwan (kanan) bersama rakan-rakannya.

Menurut Syazwan, perkhemahan tempoh hari disertai bersama empat rakannya termasuklah dengan para peserta lain.

Setibanya di sana, mereka juga perlu melakukan aktiviti hiking hampir sejam sebelum tiba ke tapak perkhemahan di tepi kawasan air terjun.

Malah katanya, dia cukup berpuas hati dengan trip yang disertai dan menyifatkan wang yang dibayar berbaloi dengan pengalaman yang diperlolehi sepanjang berada di sana.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain