suria

“Tak boleh duduk saja, nanti peluh tak keluar” - Umur 104 tahun, kudrat Tok Pora setanding anak muda... mudah sangat petuanya!

Sapora, nenek berusia 104 yang menjadi perhatian kerana masih bertenaga melakukan pelbagai kerja. Foto ihsan Rusli Ahmad/twitter amriothmann

USIANYA lebih satu abad tetapi percaya atau tidak seorang warga emas masih kuat bekerja mengalahkan segelintir anak muda.

Menurut perkongsian yang tular mengenai warga emas berusia 104 tahun itu, sesiapa ke Pulau Tuba, Langkawi mungkin dapat melihat wanita itu melakukan aktiviti di pantai.

"Nenek 104 tahun? Nelayan? Sementara aku 21 tahun merungut penat naik tangga sebab eskalator rosak. Malunya aku. Muda-muda dah penat esok tua jadi apa tak tahu," tulis seorang netizen.

"104? Aku 19 ni duit syiling jatuh pun dah malas nak tunduk," ujar seorang lagi.

Perkongsian mengenai seorang nenek berusia 104 tahun tular di media sosial.

Cucu sulung kepada warga emas berkenaan, Rusli Ahmad, 55, memberitahu, neneknya, Sapora Mat Amin atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Pora sememangnya aktif sejak muda.

"Nenek mula turun ke laut menjadi nelayan pada usianya belasan tahun. Jika dulu, nenek berani berdepan dengan pukulan ombak.

"Puas kami anak dan cucu nasihatkan nenek supaya jangan bekerja lagi, berehat saja, dia tak mahu sebab tak nak duduk saja," katanya kepada mStar.

Seorang nenek melakukan kerja-kerja berkaitan perikanan.

Sementara itu, Sapora mengakui dirinya masih mempunyai kudrat untuk bekerja, tetapi kini tidak lagi ke laut selepas mengikut nasihat anak-anak dan cucu-cucu.

"Ikutkan hati, saya teringin nak ke laut. Macam masa muda-muda dulu, saya sanggup naik bot ke laut harungi ombak nak cari rezeki bagi anak-anak makan.

"Dulu saya hidup susah, dan rezeki di laut inilah yang membuatkan saya dan arwah suami menyara kehidupan sekeluarga.

"Saya tak boleh duduk saja, nanti peluh tak keluar. Saya masih buat kerja, bangun awal pagi ke pantai, jalan di pantai cari udang dan petang pula cari siput," katanya sambil menambah dirinya juga membuat demonstrasi menganyam mengkuang untuk pelancong.

Walaupun berusia 104 tahun, Sapora masih bertenaga.

Menurut anak kelahiran Pulau Tuba, Langkawi itu, apa yang dilakukannya kini lebih kepada sesuatu yang menyeronokkan termasuk menganyam mengkuang.

"Apa yang saya buat sekarang untuk seronok-seronok. Ia mengingatkan saya semasa zaman muda-muda dulu," ujar ibu enam anak itu.

Apa yang saya buat sekarang untuk seronok-seronok. Ia mengingatkan saya semasa zaman muda-muda dulu.

SAPORA

Tiada petua khusus, Sapora yang mempunyai lebih 100 anak, cucu dan cicit memilih mengambil makanan berkhasiat dan segar tanpa mengandungi bahan kimia.

"Saya jarang makan di luar, biasanya makan di rumah sendiri atau keluarga. Saya boleh masak sendiri, dan suka makan ikan dan ulam-ulam," katanya.

Sapora (tengah, hadapan) bersama sebahagian anak, cucu dan cicitnya.

Tiada aktiviti sampingan yang dilakukan, Sapora lebih gemar berehat di rumahnya.

"Saya ni kalau berjalan jauh cari udang dan siput tu memang saya boleh. Tapi kalau pergi berjalan-jalan memang tak gemar.

"Saya lebih suka berehat di rumah, ada masa lapang baca al-Quran dan Yasin, sambil mohon doa agar saya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain