suria

Muka sebijik macam artis, ramai siap buat bandingan sampai remaja ini teringin... - “Mak kenal, masa tu saya belum lahir lagi”

Wajah seorang pelajar menjadi tular di laman sosial selepas dimuat naik oleh rakannya, gara-gara mempunyai persamaan dengan wajah seorang artis.

PELANDUK dua serupa!.

Demikian reaksi netizen apabila melihat wajah seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mirip dengan wajah seorang penyanyi lelaki, Khai AF.

Gambar pelajar lelaki tersebut yang dimuat naik ke Twitter oleh seorang pelayar menjadi viral gara-gara wajahnya dikatakan hampir sama dengan artis kelahiran sebuah program realiti televisyen popular suatu ketika dulu itu.

Ketika dihubungi mStar, pelajar berkenaan, Syahirul Izmad berkata dia sama sekali tidak menyangka wajahnya mempunyai persamaan dengan artis berkenaan sehingga ia menjadi viral di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua sibuk nak jadi Influencer, semua benda nak senang” - Lebih 13,000 sign petisyen desak turun gred kertas Sejarah SPM dilabel ‘lembik’ 

ARTIKEL BERKAITAN: Esok kertas akhir SPM, malam sempat conteng baju sekolah pakai masa jawab exam... ramai fikir 2 kali nak kecam! 

“Saya langsung tidak tahu wajah saya ini mirip artis berkenaan kerana tidak pernah ditegur oleh sesiapa pun sebelum ini. Sebaliknya, saya hanya tahu perkara itu apabila dah jadi viral selepas dimuat naik oleh rakan, Syahmie.

“Malah ada antara netizen siap buat perbandingan dengan meletakkan gambar kami  sebelah-menyebelah untuk membuktikannya. Apabila saya teliti, nampak ada sedikit persamaan, mungkin saya versi muda,” katanya sambil ketawa kecil.

Kata Syahirul, dia sejujurnya tidak mengenali artis yang pernah popular dengan lagu Dambaan Pilu itu memandangkan program realiti yang disertai oleh artis tersebut disiarkan sekitar awal tahun 2000, ketika dia masih belum lahir lagi.

Bagaimanapun kata bekas pelajar  sekolah menengah di Rawang ini, dia secara peribadi tidak menolak sekiranya berpeluang untuk bertemu dengan artis berkenaan satu hari nanti.

Gambar kenang-kenangan Syahirul (kiri sekali) bersama rakan-rakan yang dirakam selepas habis menduduki SPM sehingga akhirnya menjadi tular.

“Saya sebenarnya tidak mengenali artis yang dikatakan itu. Tetapi ibu saya mengenalinya kerana program realiti tersebut pernah menjadi fenomena.

“Sekiranya ada peluang untuk berjumpa dengannya, saya teringin juga kerana mahu melihat dan mengenali orangnya dengan lebih dekat, ” kata Syahirul lagi.

Bercerita mengenai foto tersebut, Syahirul berkata ia dirakam pada hari terakhir menduduki peperiksaan berkenaan pada Khamis lalu.

“Kami sekadar mahu merakam gambar sebagai kenang-kenangan meraikan tamatnya peperiksaan SPM. Seorang kawan saya memberi idea untuk menulis sesuatu di kadbod dan kami pun tulis 'No More SPM'.

“Kad itu pada mulanya mahu ditunjuk kepada orang ramai di luar sekolah, jadi kami ambil dahulu gambar bersama kad tersebut. Tanpa pengetahuan kami, seorang rakan yang bernama Syahmie memuat naik di laman Twitter miliknya. Tak sangka, ia kemudian menjadi viral, ” katanya yang bercita-cita untuk mengambil jurusan bahasa asing jika ditawarkan ke institusi pengajian tinggi kelak.

Antara komen netizen yang memuji pendekatan Syahirul dan rakan-rakannya meraikan tamatnya peperiksaan SPM.

Perkongsian oleh rakannya itu menarik perhatian netizen bukan hanya gara-gara wajah Syahirul yang dikatakan mirip dengan artis lelaki tersebut, malah 'cara' remaja tersebut bersama rakannya yang meraikan tamatnya SPM dengan cara yang amat bertamadun, mengundang pujian netizen.

“Ini yang kita mahu ye bukan berkelakuan seperti monyet gais, ” komen seorang pelayar.

“Kan elok macam ni, tak conteng -conteng baju, tak rempit apa semua, ” kata seorang pelayar lain.

“Ha macam inilah bagus!! Aku doakan korang straight A,” komen seorang pelayar lain pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
wajah, iras, artis, Khai AF, SPM

Artikel Lain