suria

Wanita kena scam dengan budak lelaki di KLCC, duit RM67 ‘hangus’ – “Dia cakap anak tunggal, mak ayah dah bercerai”

Gambar seorang budak lelaki yang didakwa pernah beberapa kali memperdaya orang ramai untuk mendapatkan wang.

PADA zaman sekarang, sesetengah orang sanggup melakukan apa sahaja taktik untuk mengaburi pandangan mata hanya kerana mahu menipu.

Kebiasaannya, pemangsa adalah dalam kalangan orang dewasa yang sudah biasa ‘membuat kerja’ seumpama ini.

Namun kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita ini amat mengejutkan, di mana dia mendedahkan dirinya  diperdaya oleh seorang budak lelaki yang usianya dalam lingkungan 12 atau 13 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kali terlepas jadi mangsa tipu COD, lelaki tak percaya ‘postage’ gigit jari masuk juga perangkap penyangak - “Enam minit lesap RM9,000”

ARTIKEL BERKAITAN: Tauke katering minta pelanggan tangguh majlis, beri alasan ditangkap polis! Pelanggan mengamuk, “Aku nak duit aku balik” 

Menerusi satu bebenang di Twitter, wanita yang dikenali sebagai Hanan ini berkata, insiden baru-baru ini berlaku ketika dia mengunjungi sebuah pusat membeli belah di KLCC selepas waktu kerja untuk membeli barang.

“Parkir kereta dan duduk-duduk di dalam kereta selama beberapa minit untuk saya habiskan satu video yang sedang ditonton di Youtube.

“Saya parkir kereta betul-betul di hadapan pintu keluar di eskalator dan sedang leka di dalam kereta. Tiba-tiba ada ketukan pada tingkap kereta saya. Saya lihat seorang budak lelaki  tersenyum. Dia mungkin 12 atau 13 tahun macam tu dan berbadan besar berbanding usianya.

“Saya tidak banyak memberi perhatian pada apa yang dia pakai tetapi saya masih ingat dia mempunyai jaket yang besar, di tangannya ada sebotol air mineral kecil dan sekeping kertas tipis. Jadi saya turunkan tingkap kereta,” tulisnya.

Antara perkongsian Hanan di Twitter mengenai kisahnya dipercaya seorang budak lelaki. Foto: Twitter hnnkml

Tulis Hanan, budak lelaki itu memberitahu kesulitannya untuk pulang ke rumah ibu bapanya kerana tidak mempunyai wang yang cukup. Katanya, budak lelaki tersebut yang memperkenalkan diri sebagai Ayie memberitahu dia membeli tiket wayang untuk ditonton pada pukul 9 malam dan tayangannya dijangka tamat hampir tengah malam, dan berkemungkinan tidak sempat menaiki tren pulang ke rumahnya di Wangsa Maju di ibu negara.

Cerita Hanan lagi, dia tidak dapat memenuhi permintaan budak lelaki tersebut yang meminta untuk dihantar pulang ke rumahnya selepas selesai menonton wayang, sungguhpun bersimpati dengan nasibnya.

Justeru menurut Hanan, dia menawarkan wang kepada budak lelaki tersebut untuk digunakan sebagai tambang perkhidmatan e-hailing.

“Saya tanya dah makan ke belum? Dia cakap belum tapi kalau akak belikan roti boleh juga. Lapar rupanya. Jadi saya pun keluar dari kereta dan berjalan bersamanya masuk ke dalam mall. Dia beritahu dia anak tunggal, mak kerja malam…subuh baru pulang. Ayah tak ada sebab bercerai,” tulisnya.

Bercerita lebih lanjut, Hanan berkata dia membelikan sebungkus biskut, sebotol air minuman ringan dan coklat sebagaimana yang menjadi keinginan budak lelaki itu.

Hanan berkata dirinya akan lebih berhati-hati selepas ini. Foto: Twitter hnnkml

Sebelum pulang ke rumahnya, Hanan berkata dia menghulurkan wang RM50 kepada budak lelaki tersebut untuk digunakan bagi membayar tambang ketika pulang nanti.

“Belanja 1 botol air 100 plus, biskut Famous Amos 1 pek dan Kinder Bueno 1 pek. Jadi RM50 + RM17 gitu la,” tulis Hanan mengenai jumlah keseluruhan wangnya yang diperdaya budak lelaki tersebut.

Menurut Hanan lagi, dia sebenarnya tidak kisah dengan apa yang dilakukannya itu, namun agak terkejut selepas mengetahui perkara di sebaliknya sambil menambah, dirinya akan lebih berhati-hati selepas ini.

Perkongsian Hanan mengundang perhatian netizen sehingga meraih lebih 8,000 retweet selain dibanjiri dengan komen netizen.

Netizen turut berkongsi gambar budak lelaki yang pernah memperdaya mereka. Foto: Ihsan netizen

Menurut mereka, budak lelaki tersebut menggunakan taktik yang hampir sama digunakannya terhadap Hanan untuk meraih simpati sehingga akhirnya si mangsa terpedaya.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang berkongsi gambar budak lelaki tersebut di ruangan komen sebagai peringatan kepada orang lain agar tidak mudah menjadi mangsa.

Namun ada juga yang bersimpati dengan nasib budak lelaki tersebut yang berkemungkinan benar-benar berada di dalam kesulitan.

“Kesiannya budak tu. Kalau betul dia buat macam tu sebab memang dia perlukan duit untuk dia sendiri takpe. Saya maksudkan takpe sebab mungkin dia betul orang susah. Tapi yang kesiannya kalau dia disuruh untuk buat macam tu. Bila dapat duit dia kena bagi yang ‘suruh’ tu,” tulis seorang pelayar.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
scam, hangus, bercerai, KLCC

Artikel Lain