suria

Pemandu Grab cemas, penumpang di sebelah tiba-tiba lompat ke seat belakang - “Saya tak tahu apa-apa mungkin kepala anaknya dah nak terkeluar”

Seorang wanita melahirkan anak di tempat duduk belakang kereta milik pemandu Grab. Foto ihsan Mohamad Shahir Baharudin

SEORANG pemandu Grab tidak pernah menyangka akan melalui pengalaman membawa penumpang yang sarat hamil dan sudah tiba masa untuk bersalin.

Selepas melakukan kerja ini selama dua tahun, keretanya bolehlah dikatakan 'mencatat sejarah' apabila salah seorang daripada penumpangnya selamat melahirkan bayi semasa dalam perjalanan ke hospital.

Foto tempat duduk belakang kereta jenis Myvi warna ungu yang mempunyai kesan darah penumpang wanita bersalin itu tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis solat atas rumput tepi jalan, uncle Cina bawa Grab sanggup tunggu, “Kereta dia bersih, wangi... macam hatinya sebab respek kami”

ARTIKEL BERKAITAN: Siswi makan mi segera, biskut kering untuk jimat break down gara-gara baki duit tercicir, mujur uncle Cina bawa MyCar penyelamat – “Kalau diizinkan jadi peguam saya nak tolong uncle”

Pemandu Grab berkenaan, Mohamad Shahir Baharudin, 39, berkata, kejadian berlaku pada pagi Rabu ketika mahu mengambil penumpang yang merupakan pasangan suami isteri warga Rohingya di sebuah apartment di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Keadaan tempat duduk belakang yang mempunyai kesan darah.

Dia memberitahu, waktu puncak pagi itu menyebabkan dia ‘tersangkut’ di beberapa persimpangan lampu isyarat sebelum ke lokasi mengambil penumpang.

“Bila nak dekat sampai, penumpang tu call saya minta tolong cepat sebab isteri dia dah nak bersalin, minta tolong segera dibawa ke hospital.

“Sebaik tiba, isteri dia yang berkain batik dengan lapisan tuala lebih besar terus dibaringkan di tempat duduk belakang. Suami dia duduk di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya kepada mStar.

Pasangan suami isteri warga Rohingya membuat tempahan Grab untuk hospital.

Dalam perjalanan ke Hospital Lam Wah Ee yang jaraknya kira-kira 15 minit, Mohamad Shahir yang berasal dari Bayan Baru, Pulau Pinang berkata, wanita itu beberapa kali mengerang kesakitan.

“Memang cuak masa tu. Saya cuba memandu secepat yang mungkin tapi masih berhati-hati. Sebab saya duduk memandu di hadapan, tak tahu macam mana keadaan penumpang tu seorang di belakang.

Masa tu bukan setakat baru keluar kepala, tapi dah terkeluar anak terus. Bau air ketuban memang kuat, walaupun tak tahan dengan bau tu saya teruskan pemanduan

MOHAMAD SHAHIR

“Sepanjang perjalanan, kedua-dua mereka bercakap dalam bahasa mereka. Tiba-tiba suami dia yang duduk di hadapan bangun dan melompat ke tempat duduk belakang bila jeritan isteri semakin kuat.

“Lepas tu suami cakap dengan saya dalam bahasa Melayu, dia minta saya pandu lebih laju. Saya tak tahu apa-apa mungkin kepala anaknya dah nak terkeluar,” katanya.

Pasukan perubatan membawa penumpang yang bersalin dalam kereta Grab.

Bagaimanapun sejurus selepas itu, kedengaran suara tangisan bayi dalam perjalanan yang hanya kurang lima minit sebelum tiba di hospital.

“Masa tu bukan setakat baru keluar kepala, tapi dah terkeluar bayi terus. Bau air ketuban memang kuat, walaupun tak tahan dengan bau tu saya teruskan pemanduan.

“Saya terus pandu ke bahagian kecemasan, dan berhentikan kenderaan sebelum pergi jumpa jururawat beritahu ada penumpang bersalin dalam kereta saya,” katanya sambil menambah banyak darah menitis dari kereta sehingga ke dalam wad.

Penumpang bersalin di dalam kereta merupakan pengalaman pertama kali Mohamad Shahir sebagai pemandu Grab.

Keadaan yang berlaku pada pasangan suami isteri itu mengimbas kembali pengalaman Mohamad Shahir saat bergelar bapa buat pertama kali kira-kira lebih setahun lalu.

“Tapi masa tu isteri dalam dewan bersalin, jadi tak tahu apa yang berlaku. Sekarang ni penumpang bersalin dalam kereta yang saya pandu, pengalamannya lain macam.

“Ambil dua penumpang, sampai destinasi ada tiga orang. Isterinya selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak kedua mereka. Syukur alhamdulillah.

“Isteri saya sekarang tengah sarat mengandung... juga anak kedua, insyaAllah dijangka bersalin awal bulan Disember depan. Tak dapat nak bayangkan isteri saya macam tu, semoga segala urusan kami dipermudahkan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain