“Masa kalah tu depa main macam kampung” - Peminat cilik Kedah merajuk tapi sempat bagi pandangan ikhlas... nenek datang pujuk baru OK! - Viral | mStar

“Masa kalah tu depa main macam kampung” - Peminat cilik Kedah merajuk tapi sempat bagi pandangan ikhlas... nenek datang pujuk baru OK!

Fareez gagal mengawal emosinya selepas Kedah tewas di tangan JDT pada malam Sabtu lalu.

TELATAH dan gelagat comel seorang penyokong cilik yang merajuk gara-gara Kedah tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim pada malam Sabtu lalu masih lagi menjadi bualan hangat netizen di media sosial.

Rakaman video Muhammad Fareez Rifqi Rosli, 10, yang menangis ekoran kekalahan Kedah mencuit hati netizen dek kerana celotehnya dalam loghat Kedah pekat.

Ibunya, Latifah Hassan ketika dihubungi mStar berkata video anak bongsunya itu dirakam suaminya secara spontan sebelum dikongsi kepada seorang rakannya dan kemudian tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Yakinnya kamu! Guru kongsi kisah murid lari lawan arah, “Memang laju, dia lari all out siap mimik muka bersungguh”

ARTIKEL BERKAITAN: “Eeii comel pulak dia ni” - Jadi kesayangan ramai, siapa sebenarnya Maisarah? Ibu sendiri pun mengaku selalu rindu anak istimewanya

"Malam tu dia memang tengok bola sorang-sorang depan TV. Ayah dia dekat kedai makan. Bila saya marah pasal bola pun nak nangis jadi ayah dia masuk dalam rumah.

"Ayah dia tengok dia betul tengah nangis. Bila tanya pasal apa qeyau (nangis), dia kata geram Kedah main tak elok. Jadi ayah dia saja rakam lepas tu.

"Lepas tu ayah dia hantar video tu dekat kawan... kata kesian anak dia nangis tengok bola kalah. Kawan ayah dia pula post dekat grup WhatsApp, lepas tu jadi viral," katanya.

Rifqi amat meminati Baddrol Bakhtiar.

Namun wanita yang berniaga kedai makan di Kuala Nerang itu berkata Muhammad Fareez atau lebih mesra disapa Rifqi sudah tidak lagi merajuk selepas dipujuk nenek dan juga rakan bapanya.

"Ahad tu nampak hati dia masih marah lagi. Tapi nenek dia datang mai pujuk. Nenak dia cakap 'janganlah kecewa kalah tu biasalah'. 

"Lepas tu kawan ayah dia pun ada juga mai pujuk. Sebelum tu memang dia tak mau cakap... dia diam saja.

"Masa kalah tu lagilah, dia sampai tak boleh cakap, menangis ja. Tapi bila orang dah pujuk tu dia OK dah," katanya.

Ramai terhibur tengok video saya tu tapi saya sedih sebab tengok depa main tak syok.

MUHAMMAD FAREEZ RIFQI ROSLI

Penyokong cilik Kedah

Ditanya mengenai gaya Rifqi yang bijak berceloteh, Latifah mendedahkan anaknya itu gemar bergaul dengan orang tua-tua.

"Dia jenis suka bercampur dengan orang tua sebab dia duduk dekat kedai sembang dengan mereka.

"Memang dari kecil dia suka berceloteh. Sebelum ni pun memang orang dok kata dia cakap macam orang tua-tua.

"Dalam adik-beradik dialah paling peramah. Gelagat dia memang macam tu. Riuh rumah ni kalau dia ada. Dia diam bila tidur saja," katanya.

Gambar Rifqi bersama keluarganya semasa menyaksikan perlawanan Kedah pada aksi final Piala FA di Stadium Bukit Jalil.

Malah Latifah berkata anaknya itu amat meminati Kedah dan sering menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan itu di stadium.

"Dia memang minat Kedah. Dulu masa Piala FA pun bawa dia pergi stadium cuma kali ni tak pergi sebab ayah dia ada kerja sikit," katanya.

Sementara itu, Rifqi berkata dia gagal mengawal emosinya kerana sukar menerima cara permainan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak itu.

"Ramai terhibur tengok video saya tu tapi saya sedih sebab tengok depa main tak syok.

"Selalu tengok depa main dengan Pahang tu syok. Tapi masa kalah tu depa main macam 'kampung'.

"Jadi saya harap mereka menang (Piala Malaysia) tahun depan. Apa pun saya tetap sokong Kedah," katanya yang belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Meskipun Kedah kalah, Rifqi mengakui dia amat meminat kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar.

"Dalam team saya paling suka Baddrol Bakhtiar sebab dia pandai main. Saya tak pernah jumpa tapi kalau ada peluang saya mahu bertemu dia," katanya.

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain