suria

“Setiap kali rasa nak kena, saya terus ke tempat selamat” - Lelaki tak pernah terfikir ada anxiety attack... tangan menggigil tiba-tiba

Luqman mengakui serangan panik yang tidak mengira masa dan tempat.

TIDAK ada angin atau ribut tiba-tiba jantung rasa berdebar, takut dan gelisah. Itu adalah tanda-tanda awal serangan panik.

Menurut seorang pemuda berusia 26 tahun, dia kini berdepan dengan masalah tersebut sejak Januari lalu.

Muhammad Luqman Hakim Abdul Hamid memberitahu, ia bermula apabila jantungnya berdegup kencang secara tiba-tiba.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! OCPD, MDD buat pemuda ini beberapa kali nak bunuh diri kerana ‘penjara’ ciptaan sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Guru depresi sering menangis sebelum tidur, rasa hidup kosong akhirnya diselamatkan murid sendiri, “Ada syurga di kelasku”

Dan bermula dari situlah Luqman menyedari bahawa dia mengalami penyakit serangan panik yang tidak pernah terfikir sepanjang hidupnya.

"Saya tidak ingat apa yang berlaku ketika itu kerana saya tiba-tiba rasa tangan menggigil tanpa sebab, rasa resah dan gelisah.

Luqman menunjukkan tangannya tiba-tiba menggigil ketika bercuti di Thailand minggu ini.

"Fikiran saya juga seolah-olah terlalu risau apa yang akan terjadi. Hakikatnya ketika itu tidak ada apa-apa yang berlaku.

"Itulah dinamakan serangan panik sebab ia datang dengan tiba-tiba," kongsinya kepada mStar.

Menurut Luqman, sejak kejadian pertama itu, dia mula mengambil langkah awal untuk mengenal pasti apa yang berlaku ke atas diri.

"Pada awal kena serangan panik, lebih kurang dua hingga empat kali sehari saya terpaksa berdepan dengan keadaan ini.

"Paling teruk pada bulan Mac lalu yang menyebabkan saya pengsan dan dihantar ke hospital.

"Sukar untuk memberitahu punca ia berlaku, kerana ia tiba-tiba.

Saya rasa takut, tangan menggigil dan fikiran saya juga seolah-olah terlalu risau apa yang akan terjadi.

MUHAMMAD LUQMAN HAKIM ABDUL HAMID

Pesakit Serangan Panik

"Saya tidak mengambil tempoh lama untuk mendapatkan rawatan pakar psikiatri dan dapatkan khidmat kaunseling.

"Selepas beberapa bulan, keadaan saya semakin baik. Sekarang hanya 2-3 kali seminggu sahaja saya diserang panik," ujar anak ketiga daripada enam orang adik beradik ini.

Jelas Luqman lagi, dia bersyukur kerana keluarga sentiasa mengambil berat keadaan dirinya.

"Setiap kali ada rasa nak kena serangan panik, saya terus cari tempat yang selamat dan tenangkan diri. Mungkin kalau ada orang terdekat ketika itu ia lebih cepat hilang.

Luqman mengelak daripada dikelilingi orang-orang yang berfikiran negatif.

"Selepas beberapa bulan berdepan dengan maslalah ini, saya yakin kekuatan diri dari segi berfikiran positif mampu mengatasinya.

"Elakkan terlalu memikirkan sesuatu perkara yang belum berlaku dan sentiasa tenang.

"Paling penting, cepat-cepatlah pergi berjumpa dengan pakar psikiatri supaya tidak menjadi lebih serius.

"Saya juga cuba elakkan minum minuman bergas, ada kafien serta makanan pedas. Ia mungkin antara yang boleh membuatkan jantung saya berdegup kencang dan tangan menggigil," katanya.

Netizen juga turut berkongsi pengalaman diserang panik.

Terbaharu, Luqman turut berkongsi video keadaan tangannya menggeletar ketika bercuti di Thailand.

"Nasib baik ketika itu saya ada bawa ubat dan alat 'oximeter' untuk pemeriksaan degupan jantung," tulisnya.

Berikutan perkongsian itu, rata-rata warganet turut mengulang kicau dan meninggalkan komen pengenai penyakit 'anxiety attack' itu.

Malah ada juga yang turut berkongsi berdepan dengan pengalaman sama serta memberi tips mengatasinya.

Selain itu, Luqman mengakui dia masih belum bekerja sehingga sekarang disebabkan penyakitnya ini.

"Sekarang ini masih belum boleh bekerja kerana ingatan banyak dah lupa. Itu pun tiap-tiap malam saya tengok Facebook ibu dan ayah melihat gambar-gambar lama. Saya sudah banyak hilang ingatan.

"Dan doktor juga ada pesan kat saya supaya jangan memandu. Namun saya tetap pandu kereta pergi beli makanan sahaja," tulisnya dalam satu posting minggu lalu.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Benzema jadi mangsa rompakan