Abang peguam bela nasib kucing terbiar, rela rumah jadi pusat transit - “Bukan orang sembarangan, kena tapis dulu” - Viral | mStar

Abang peguam bela nasib kucing terbiar, rela rumah jadi pusat transit - “Bukan orang sembarangan, kena tapis dulu”

Perkongsian Firdaush di Twitter yang menceritakan tindakan ‘comel’ anak-anak jirannya mengundang perhatian, sehingga ia meraih lebih 9,000 retweet di samping dihujani komen netizen.

TIDAK semua orang mampu menjaga dan melayan kucing terbiar seperti haiwan peliharaan sendiri.

Tambahan pula jika kucing berkenaan kotor, sakit ataupun cacat, pasti hati berkira-kira samada mahu atau tidak mengambilnya untuk dijadikan binatang peliharaan kerana memikirkan kos yang akan ditanggung.

Namun tidak bagi pemuda ini yang bukan saja sanggup menjadikan rumahnya sebagai pusat persinggahan kucing-kucing terbiar, malah turut menanggung kos rawatan haiwan manja itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Jumaat! Lelaki saksi anak kucing bertarung nyawa dibaling dari atas pangsapuri - “Mereka diam sahaja, seperti takut” 

ARTIKEL BERKAITAN: Tangisan dalam kegembiraan! Drama queen umur 8 tahun berjurai air mata dapat ‘pengganti’ Taeyang - “Abah, kakak berterima kasih...”

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Firdaush ini berkata, segalanya bermula beberapa bulan lalu ketika dia membawa pulang seekor kucing yang dilanggar ke rumahnya untuk dirawat.

“Memandangkan saya sudah mempunyai dua kucing peliharaan sendiri di dalam rumah, jadi saya tempatkan kucing yang saya jumpa itu di luar bagi mengelakkan mereka bergaduh.

“Ketika itulah, beberapa orang anak jiran ternampak saya merawat kucing tersebut, mereka datang menghulurkan bantuan secara sukarela. Hari-hari mereka tolong saya, sama ada memberi makan, merawat atau membersihkannya.

“Mereka tahu yang saya memang suka beri makan kucing terbiar di kawasan perumahan kami, sebab itu baru-baru ini mereka hantar seekor kucing terbiar di hadapan pintu rumah saya untuk dijaga, siap ada letak lukisan gambar kucing lagi,” ujarnya ketawa kecil.

Tweet yang dikongsi Firdaush mendapat perhatian netizen.

Terdahulu, perkongsian Firdaush di Twitter yang menceritakan tindakan ‘comel’ anak-anak jirannya mengundang perhatian, sehingga ia meraih lebih 9,000 perkongsian di samping dihujani komen netizen.

“Budak-budak ni memang baik. Mereka sangat ringan tulang. Jadi selain menjaga dan merawat kucing terbiar, saya sebenarnya cuba menerapkan sifat cintakan binatang dalam diri mereka. Maknanya, mereka bukan saja bantu, tetapi saya mahu mereka ‘dapat’ sesuatu daripada perbuatan mereka,” katanya.

Ujar pemuda yang merupakan seorang peguam ini, kebiasaannya, kucing-kucing terbiar yang ditemui dan dibawa pulang ke rumahnya itu akan dijaga sebelum dia akan menghebahkannya di Twitter untuk mencari individu yang sudi menjaga kucing berkenaan.

Kalau individu itu nak sangat pelihara, tetapi ada masalah kewangan contohnya untuk kos pemandulan atau kos makanan, saya tidak ada masalah untuk bantu. Saya tak berkira kerana Allah kurniakan rezeki lebih, jadi saya bantu mana yang termampu.

FIRDAUSH

“Saya tinggal di pangsapuri, jadi ia menyukarkan saya untuk memelihara lebih banyak kucing. Disebabkan itu, saya hebahkan agar kucing-kucing ini di adopt. Saya tidak ada masalah untuk terus bantu dari segi kos untuk penjagaan kucing ini, cuma saya perlukan tempat berteduh untuk kucing-kucing ini.

“Kalau individu itu nak sangat pelihara, tetapi ada masalah kewangan contohnya untuk kos pemandulan atau kos makanan, saya tidak ada masalah untuk bantu. Saya tak berkira kerana Allah kurniakan rezeki lebih, jadi saya bantu mana yang termampu,” ujarnya lagi.

Sungguhpun begitu, pemuda berusia 32 tahun ini berkata, dia tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kucing terbiar yang dijaganya itu kepada orang sembarangan, sebaliknya mereka yang berminat akan melalui proses tapisan terlebih dahulu.

Perkongsian Firdaush di Twitter mengenai kucing jagaannya yang sudah mempunyai penjaga.

“Saya akan tanya di mana dia tinggal, dengan siapa, sudah bekerja atau belajar dan sebagainya sebab saya tak mahu orang itu sekadar mahu pelihara suka-suka. Bagi saya, apabila dia ambil keputusan untuk pelihara, dia kena ada komitmen ke atas kucing itu.

“Tak mahulah mula-mula saja suka, lama-lama dah bosan kemudian tak mahu pelihara. Sebab itu sebelum saya serahkan kucing kepada tuan yang baharu, saya beritahu awal-awal, kalau tak mahu bela, maklumkan kepada saya kerana saya tak mahu kucing itu terbuang lagi sekali,” ujar Firdaush.

Selain itu ujar pemuda ini, dia turut membantu mana-mana individu yang mahu mencari ‘keluarga angkat’ baharu untuk kucing peliharaan mereka menggunakan platform laman media sosialnya.

“Biasanya apabila saya kongsi info ini di Twitter, maklum balas yang saya dapat sungguh pantas. Baru saja saya kongsi gambar dan info kucing pada waktu pagi, menjelang petang pasti dah ada yang mahu adopt,” akhirinya.   

kucing , adopt , peguam

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain