Pelajar tawar khidmat melukis atas alasan nak ganti MyKad hilang kali kedua dikecam – “Saya tak berduit, tapi tak minta sedekah!” - Viral | mStar

Pelajar tawar khidmat melukis atas alasan nak ganti MyKad hilang kali kedua dikecam – “Saya tak berduit, tapi tak minta sedekah!”

(kiri) Nur Rasyiqah menunjukkan MyKad yang baharu dibuat selepas membuat permohonan gantian menggunakan hasil membuat lukisan tangan pada seluar. Foto ihsan Nur Rasyiqah Wardah Noruddin

JANGAN main-main dengan kad pengenalan atau MyKad kerana ia adalah dokumen peribadi yang membuktikan anda warganegara Malaysia yang sah.

Malang tidak berbau jika hilang MyKad, dan kos gantian bukannya murah kerana kadar denda yang dikenakan untuk memberi kesedaran kepada warga Malaysia supaya tidak cuai dan berhati-hati mengelak kejadian sama berulang.

Bagi kehilangan kali pertama, jumlah bayaran untuk permohonan dan proses gantian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah RM110 dan kejadian seterusnya akan dikenakan denda berkali-kali ganda!

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan derma, lelaki ini sebenarnya nak jual buah pinggang! Tiada MyKad nak mohon bantuan, “Tak kisah bayar berapa asalkan...”

ARTIKEL BERKAITAN: “Jual Sandwic OK, Tapi Adik Hati-Hati Ya”

Seorang gadis yang kehilangan MyKad baru-baru ini menarik perhatian netizen kerana mahu mencari duit poket sendiri untuk menggantikan kad pengenalan yang baharu.

“Hi... I nak cari duit untuk buat MyKad baharu. MyKad lama saya hilang sebab dompet saya hilang, jadi perlukan RM300 untuk buat MyKad baharu. I tak nak susahkan ibu bapa saya! Yang nak buat tempahan sila DM (mesej peribadi) saya,” katanya yang membuka tempahan untuk hiasan pada seluar dengan lukisan tangan.

Perkongsian Nur Rasyiqah yang mahu mencari duit poket sendiri untuk membuat gantian MyKad yang hilang.

Gadis berkenaan, Nur Rasyiqah Wardah Noruddin berkata, dompetnya yang mengandungi MyKad, kad bank dan wang tunai tercicir di kedai makan berdekatan dengan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar di Perak, minggu lalu.

Pelajar berusia 18 tahun itu memberitahu, dia membuat kerja melukis pada seluar dan kasut secara sambilan bagi menampung perbelanjaan sendiri.

“Saya mula mencari duit poket sendiri dengan melukis pada seluar dan kasut sejak tahun lalu tetapi hanya sambilan kerana saya mahu memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Saya hanya buka tempahan bila kekurangan duit sebab saya tak nak susahkan mak ayah saya. Tempahan pun tak ambil banyak, cukup untuk buat duit belanja kerana banyak masa dihabiskan untuk belajar,” katanya kepada mStar.

Nur Rasyiqah membuat lukisan pada kasut.

Nur Rasyiqah berkata, kejadian minggu lalu itu adalah yang kedua dan kali pertama dia kehilangan MyKad adalah dua tahun lalu, sekali gus menyebabkan dia perlu membayar RM310 untuk menggantikan kad pengenalannya.

Sumber perbelanjaannya ketika ini adalah daripada ibu bapanya sementara menunggu dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Komen netizen yang mempersoalkan tindakannya yang mencari wang untuk menggantikan MyKad yang hilang.

Namun, dek kerana tawaran khidmatnya itu, remaja dari Klang, Selangor itu menerima kecaman kerana tindakannya itu dianggap strategi pemasarannya untuk khidmat lukisannya.

“Saya tak berduit, tapi saya tak minta sedekah! Ada netizen kata saya gunakan alasan hilang untuk marketing. Tak kanlah saya nak letak RM300 saja, baik saya sebut lebih.

Antara contoh lukisan pada seluar yang dihasilkan Nur Rasyiqah.

“Saya buat kerja dengan bakat yang dikurniakan kepada saya, bukannya minta sedekah. Saya tak ganggu hidup orang pun,” kata pelajar Diploma Seni Halus itu dengan nada kesal.  

Anak kelima daripada enam beradik itu bagaimanapun terkejut dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada netizen yang mahu mendapatkan khidmatnya melukis pada seluar mereka.

Saya kenakan caj antara RM150 dan RM200 bergantung kepada jenis seluar. Tapi ada pelanggan beri lebih daripada itu sebab nak tolong saya bayarkan kos ganti MyKad yang hilang.

NUR RASYIQAH

“Saya kenakan caj antara RM150 dan RM200 bergantung kepada jenis seluar. Tapi ada pelanggan beri lebih daripada itu sebab nak tolong saya bayarkan kos ganti MyKad yang hilang.

“Ada juga yang transfer duit kat saya, tapi seluar tak hantar lagi. Saya minta pemberi tu untuk tuntut duit tu. Cukuplah duit yang saya dapat untuk caj khidmat melukis sahaja,” ujarnya.

Nur Rasyiqah menggunakan bakat seni lukisanya untuk mencari wang perbelanjaan sendiri.

Menurut Nur Rasyiqah, dia turut bercadang untuk menyalurkan lebihan wang yang diterimanya itu kepada rumah kebajikan orang tua atau orang yang lebih memerlukan.

“Saya bukan minta simpati orang ramai, tapi lebih kepada menawarkan khidmat melukis untuk saya mendapatkan duit belanja. Duit lebihan itu adalah wajar untuk saya sedekah kepada mereka yang lebih memerlukan daripada saya,” katanya.

MyKad , kad pengenalan , UiTM , sedekah

Artikel Lain