suria

Tak boleh tidur lepas dapat tweet Tunku Azizah jam 1 pagi, pemuda ini impi serah 'by-hand' karya seninya - “Dah lama pendam nak lukis tapi sibuk”

Potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah hasil lukisan Ezzwan.

SIAPA sahaja yang tidak teruja jika mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang makin hari disayangi rakyat Malaysia.

Sekalipun hanya sekadar balasan di media sosial, namun ia cukup bermakna kerana tidak semua orang berpeluang merasai pengalaman yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah ‘bersuara’ sebab nyahaktif Twitter – “Bukan kerana saya kecewa, sedih atau marah dengan komen mereka”

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai luah rasa sedih Tunku Azizah nyahaktif Twitter, “Rindu dengan tweet Permaisuri Agong” 

Tidak terkecuali bagi Muhammad Ezzwan Mohd Mardzi.

Penerbit di sebuah stesen televisyen ini pada mulanya hanya sekadar berkongsi gambar potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah hasil lukisannya di Twitter sempena Hari Keputeraan Rasmi Agong, baru-baru ini.

Muhammad Ezzwan Mohd Mardzi.

“Saya post di Twitter pada 8 September, Tunku Azizah membalas posting saya rasanya dalam jam 1 pagi. Bila membaca komen baginda, saya macam tak percaya, dalam hati berkata ‘Eh biar betul permaisuri yang balas’. Saya siap bertanya kepada isteri sebab tak percaya.

“Terlalu teruja, sampai ke pagi saya tak tidur,” ceritanya kepada mStar.

Komen dari Tunku Azizah di Twitter dan Instagram Ezzwan yang disimpan pemuda tersebut sebagai kenangan.

Berkongsi kisah mengenai lukisan berkenaan, Ezzwan berkata dia sebenarnya meminati sejarah kerabat diraja sejak sekian lama.

Katanya, hasrat untuk melukis potret Al-Sultan Abdullah serta Tunku Azizah sudah lama dipendam namun dek kerana agak sibuk dan kekangan masa, lukisan berkenaan hanya berjaya disiapkan baru-baru ini.

“Nak dijadikan cerita, ketika itu viral tentang lukisan seorang pelukis dan karya itu dijadikan hiasan di Istana Negara.

“Bukan meniru, cuma saya sedikit lambat. Jadi, jika dapat peluang bertemu mata dan dapat berikan sendiri by-hand lukisan saya kepada baginda berdua, saya amat berbesar hati,” ujar pemuda berusia 29 tahun ini.

Lukisan tersebut yang dihasilkan menggunakan teknik scribble sketch itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya mengagumi bakat Ezzwan.

Antara komen netizen yang mengkagumi bakat Ezzwan.

“Sebenarnya dari kecil lagi saya suka melukis, tambahan pula bapa saya seorang pelukis. Namun bapa tidak galakkan kerana baginya, seni tiada masa depan. Namun seiring usia, bakat tu berkembang dan nak dijadikan cerita, rezeki saya melanjutkan pelajaran dalam jurusan Seni Gunaan dan Seni Reka.

“Namun bapa saya meninggal dunia pada 2010 dan arwah tidak sempat lihat saya berjaya. Jika dia masih hidup, pasti dia bangga kerana salah seorang anaknya mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni,” ujar Ezzwan mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain