Tak puas hati beri 2 pek biskut, murid Cina hantar surat hargai makcik cleaner, “Inilah kali pertama dia terima surat, ibu sangat seronok” - Viral | mStar

Tak puas hati beri 2 pek biskut, murid Cina hantar surat hargai makcik cleaner, “Inilah kali pertama dia terima surat, ibu sangat seronok”

Murid perempuan berkenaan, Abigail Tan Maxim (tengah) bersama ibu Khairunnisa, Rosiah Kassim (kanan).

SIKAP baik budi pekerti adalah amalan mulia yang perlu diterap dalam diri setiap individu tidak kira golongan muda atau dewasa.

Tindakan seorang murid darjah tiga berbangsa Cina memberi surat tanda menghargai pekerja tukang cuci di sekolah ternyata menyentuh hati netizen.

Menurut posting yang dimuat naik Khairunnisa Afifah Zamahari di laman Twitternya, dia meluahkan perasaan terharu apabila pekerjaan ibunya sebagai tukang cuci dihargai pelajar berkenaan walaupun berlainan bangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 9 tahun keluar-masuk sekolah, akhirnya lelaki ini dapat lihat pelajar Cina ‘rare’

ARTIKEL BERKAITAN: Sampainya hati! Baru sehari peluk Islam, dah ada yang tipu mualaf, “Menangis bukan sebab duit tapi sebab nak al-Quran”

Ketika dihubungi mStar, Khairunnisa Afifah Zamahari atau mesra disapa Khairunnisa berkongsi kisah ibunya menerima sepucuk surat daripada murid di sekolah tempat dia mencari rezeki.

"Saya dan ibu saya berjauhan... saya belajar di Pahang manakala ibu saya di Sarawak. Kebetulan saya nampak ibu ada muat naik status gambar surat di WhatsApp, caption gambar pun nampak happy aje.

Surat yang diterima ibu Khairunissa daripada murid berkenaan.

"Ibu saya pun cerita yang dia tak sangka terima surat daripada salah seorang anak murid di sekolah tempatnya bekerja. Ketika ibu sedang bekerja membersihkan tandas, pelajar itu terus bagi kepada ibu saya," ujarnya yang merupakan anak sulung daripada dua adik beradik.

Pernah juga satu hari itu, guru besar di sekolah memuji kebersihan tandas yang ibu saya jaga, ibu saya pun memang seorang yang sentiasa komited dengan kerjanya.

KHAIRUNNISA

Tambah Khairunnisa, 21, sebelum itu, murid perempuan berbangsa Cina yang dikenali sebagai Abigail Tan Maxim itu memberi dua pek biskut Oat Krunch kepada ibunya.

Kemudiannya sehari selepas itu, murid tersebut mengirim sepucuk surat menyatakan ucapan terima kasih dan menghargai kerja-kerja yang dilakukan oleh ibunya, Rosiah Kassim.

Rosiah telah berkhidmat selama empat tahun sebagai tukang cuci di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua 4, Kuching, Sarawak.

Wanita berusia 51 tahun ini melaksanakan tugasannya menjaga kebersihan tandas sekolah berkenaan dengan bersungguh-sungguh dan komited.

Khairunnisa berharap semua rakyat Malaysia saling menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa dan pekerjaan.

Selain itu, penuntut Institut Pendidikan Guru, Kuala Lipis, Pahang ini turut memberitahu, ibunya menyatakan perasaan terharu dengan budi pekerti murid perempuan berkenaan walaupun baru berusia sembilan tahun.

"Ibu saya luah perasaan terharu apabila masih ada murid di sekolah tempatnya bekerja yang menghargai pekerjaannya.

"Inilah kali pertama dia terima surat dan saya lihat ibu sangat seronok.

"Pernah juga satu hari, guru besar sekolah memuji kebersihan tandas yang ibu saya jaga, ibu saya pun memang seorang yang sentiasa komited dengan kerjanya," kata Khairunnisa sambil menambah, kagum dengan usaha ibunya bekerja.

Rata-rata netizen kagum dengan sikap Abigail Tan Maxim walaupun usianya baru sembilan tahun.

Menurut Khairunnisa, ibunya selesa bekerja di sekolah tersebut dengan persekitarannya yang harmoni dan bersih.

Sementara itu, posting yang dimuat naik Khairunnisa melalui Twitter meraih hampir 25,000 ulang kicau dan 26,000 tanda suka.

Rata-rata netizen kagum dengan sikap dan budi pekerti murid perempuan berkenaan walaupun umurnya masih muda.

"Tujuan saya post di Twitter hanya sekadar berkongsi sahaja sebab rasa terharu bila ada orang hargai ibu saya walaupun dia hanyalah seorang tukang cuci sahaja,

"Saya tak sangka post itu jadi viral. Bagi saya, kita semua kena hormat antara satu sama lain walaupun berlainan bangsa, pekerjaan dan sebagainya," katanya.

Artikel Lain