Mesej “sayang aku tak?”, puisi dikirim bakal pengantin jadi petanda persahabatan 15 sekawan bakal tamat... “Kami macam biasalah thumbs up” - Viral | mStar

Mesej “sayang aku tak?”, puisi dikirim bakal pengantin jadi petanda persahabatan 15 sekawan bakal tamat... “Kami macam biasalah thumbs up”

Ben memuatnaik video puisi terakhir yang diberi oleh arwah Muhamad Iqbal Najme kepada sahabat-sahabatnya.

PEMERGIAN seorang sahabat ternyata sungguh meruntun hati, lebih-lebih lagi apabila hubungan dan keakraban sudah lama terjalin sejak kecil lagi.

Malah pelbagai kenangan pahit dan manis bersama sukar untuk dilupakan sehingga ke hari ini.

Demikian yang dirasai Muhammad Zulhusmi Ismail bersama 14 sahabatnya selepas salah seorang daripada mereka dijemput ilahi akibat kemalangan motorsikal, 20 Ogos lalu.

Lebih menyedihkan apabila arwah yang rapat dengan mereka sejak kecil lagi mengirim sebuah puisi melalui pesanan suara menerusi aplikasi Whatsapp sehari sebelum pemergiaannya.

"Arwah ini sahabat karib saya. Sebak rasa sampai sekarang. Ini puisi terakhir dari dia," menurut komen yang ditulis dan video yang dikongsi oleh akaun Twitter @Benhusmii sehingga menjadi tular baru-baru ini.

Muhammad Zulhusmi Ismail atau mesra dipanggil Ben sehingga kini masih terkilan dengan kiriman puisi yang diilhamkan penyair D. Zawawi Imran oleh arwah sahabatnya.

Kiriman mesej yang diterima Ben dan kesemua sahabatnya daripada arwah Muhamad Iqbal Najme.


"Kami 15 orang dah berkawan baik sejak umur lima tahun lagi, hubungan kami memang rapat.

"Sehari sebelum dia meninggal, pagi itu arwah ada hantar voice note dalam group Whatsapp nyanyikan puisi, reaksi kita orang semua macam biasa dan puji thumbs up sebab sedap puisi itu.

"Awal-awal itu saya rasa pelik sebab sepanjang saya berkawan dengan arwah, dia bukanlah seorang yang minat dengan puisi tapi baru-baru ini sebelum dia pergi, saya tengok dia ada post dekat Instastory video puisi dari D. Zawawi Imran itu," ujar Ben ketika dihubungi mStar, Isnin.

Sejurus menerima berita pemergiaan sahabatnya, Ben yang bekerja di Shah Alam, segera pulang ke Raub, Pahang untuk membantu menguruskan pengebumian jenazah sahabatnya.

Arwah sahabat Ben, Muhamad Iqbal Najme selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang pada 21 Ogos lalu.

Ben menggambarkan keperibadiaan arwah sahabatnya itu sebagai seorang yang rendah diri dan baik hati.

Pemuda berusia 23 tahun ini turut memberitahu Allahyarham Muhamad Iqbal Najme pernah mengirimkan mesej melalui Whatsapp bertanya soalan yang kedengarannya agak pelik.

Ben akui, arwah sahabatnya seorang yang rendah diri dan baik hati.

"Seminggu sebelum arwah meninggal, dia Whatsapp seorang demi seorang tanya 'sayang aku tak?' dan bila dah response, dia terus senyap dan tak balas lepas itu.

"Tunang arwah pun ada cerita pada kami, arwah ada pesan "satu hari nanti saya nak jumpa kawan-kawan, berkumpul di satu tempat untuk jumpa saya'.

"Bila tunang arwah tanya kenapa cakap macam tu, terus dia tukar topik lain.

Allahyarham Muhamad Iqbal Najmee bersama tunangnya dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada Disember tahun ini.

Sementara itu, video yang dimuatnaik Ben melalui akaun Twitternya itu diulang kicau sebanyak 1,800 dan 3,200 tanda suka serta menerima 75,800 tontonan sejak 21 Ogos lalu.

Video berdurasi 29 saat itu ternyata mengundang sebak kepada netizen, malahan rata-rata netizen bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Muhamad Iqbal Najme.

"Weh, aku menangis. Stay strong, i wonder how it feels bila hilang sahabat selamanya. Ya Allah.. Salam takziah," tulis salah seorang netizen.

"Bro, keluar air mata aku. Takziah, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman," komen @lotus_ara.

Raub , Zulhusmi , puisi , Ben , Zawawi Imran , Iqbal Najme