suria

Label pesalah pedofilia ‘akan sakiti anak anda’ bukan caranya, amaran Syed Azmi “Jangan dekati kanak-kanak, atas talian atau dunia sebenar!”

Nur Fitri sedang menyambung pengajian peringkat PhD di UKM di Bangi, Selangor. (Gambar kecil) Syed Azmi.

KECOH apabila seorang pelajar Malaysia yang sebelum ini menuntut di United Kingdom (UK) dan pernah dijatuhi hukuman selama sembilan kerana didapati bersalah memiliki ratusan imej dan video lucah kanak-kanak, kini menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Susulan itu, pelbagai reaksi netizen mengenai kisah pelajar genius Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin yang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) ini, terutama kebimbangan mereka mengenai keberadaan penuntut berkenaan di sekitar universiti di Bangi, Selangor.

Ini termasuk aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi yang sering memperjuangkan hak dan nasib kanak-kanak dan remaja, antaranya isu membabitkan gangguan seksual dan pedofilia.

Sebagai pejuang hak asasi kanak-kanak, Syed Azmi berkata, sudah tentu beliau bimbang jika Nur Fitri mendekati kanak-kanak lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesalah Pedofilia Seorang Bebas Selepas Jalani Hukuman Di UK - Timbalan KPN

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh pesalah pedofilia di UK kini penuntut PhD UKM, penyelia minta henti kecam genius Matematik...“Dia ada kelas tersendiri, saya bagi thumbs up”

Namun, beliau yakin nama pelajar itu telah didaftarkan dalam e-Daftar Kanak-kanak (e-DKK), iaitu pendaftar pesalah laku seksual. 

Apa yang jelas, katanya, Nur Fitri tidak boleh dikelilingi kanak-kanak, tidak boleh mendapat akses kepada imej kanak-kanak atas talian, dan tidak boleh berinteraksi langsung dengan kanak-kanak lain walaupun dalam permainan.

“Saya bimbang. Saya tidak membencinya kerana dia, saya membencinya atas perbuatannya. Saya mendalami bidang undang-undang kanak-kanak. 

“Saya ambil serius akan hal ini. Ilmu yang saya pelajari adalah tentang perlindungan mangsa dan memberi keadilan. Dalam pengalaman saya, kanak-kanak tidak suka disakiti,” katanya menerusi perkongsian mengenai pandangan peribadinya di halaman Facebooknya pada Khamis malam.

Syed Azmi Alhabshi

Syed Azmi berkata, perbuatan menyimpan bahan lucah, mencabul, rogol adalah berbeza, maka sesiapa pun tidak boleh menafikan seksaan dan trauma yang dihadapi secara berbeza mengikut kanak-kanak.

“Saya tak kata menyimpan bahan lucah kanak-kanak itu biasa, bukan. Kalau perkara itu menyakiti kanak-kanak, itu adalah terang-terang salah.

“Dalam undang-undang, saya juga pelajari tentang konsep atau pendekatan restorative justice. Ia bukan tentang memaafkan dan melupakan, ia lebih kepada pemulihan individu supaya dia boleh bergaul semula dengan masyarakat dan penyertaan mangsa penting supaya pelaku salah tersebut faham dan bertanggungjawab akan kesalahan yang dilakukannya,” katanya sambil menambah bahawa ia kedengaran seperti peluang kedua.

Menurut Syed Azmi, beliau mempunyai penghormatan yang tinggi terhadap kanak-kanak yang dicabul atau disakiti atas apa yang telah mereka lalui dan pihaknya tidak pernah membicarakan mengenai memaafkan pesalah kerana itu adalah hak mangsa semata-mata.

Orang awam dan ibu bapa ada hak untuk mengelakkan dia daripada mendekati sesuatu kawasan. Saya setuju. Tapi untuk melabelkan ‘Dia Akan Menyakiti Anak Anda’ di khalayak ramai dan menimbulkan ketakutan kepada orang lain adalah bukan caranya. 

SYED AZMI

Mengenai pelajar genius Matematik itu, persoalan dibangkitkan mengenai apakah hak-haknya atau dia tidak mempunyai sebarang hak.

“Sejujurnya, setelah bertahun-tahun sekalipun, saya harap dia tak perlu bekerja dengan mana-mana kanak-kanak atau mendekati mereka sekalipun. Jika dia akur maka kita tahu yang dia sedang mencuba.

“Orang awam dan ibu bapa ada hak untuk mengelakkan dia daripada mendekati sesuatu kawasan. Saya setuju. Tapi untuk melabelkan ‘Dia Akan Menyakiti Anak Anda’ di khalayak ramai dan menimbulkan ketakutan kepada orang lain adalah bukan caranya. 

“Pasti ada cara lain. Mungkin menggantung objek di leher dia? Walaupun dengan cara itu masyarakat tetap takkan menerima,” ujarnya.

Nur Fitri Azmeer Nordin.

Bagi Syed Azmi, beliau lebih memberi tumpuan dalam melobi untuk keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di Malaysia, berbanding masyarakat yang lebih suka hukuman keras kerana itu yang membuatkan mereka lebih puas.

“Saya katakan mari sama-sama fokus kepada hak kanak-kanak, keselamatan mereka dan layanan lebih baik untuk semua kanak-kanak.

“Kepada si fulan, saya takkan biarkan anda begitu sahaja, tapi hormati saya dengan tidak mendekati mana-mana kanak-kanak. Atas talian atau dunia sebenar,” katanya.

Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.

Ketika ditahan, polis mendapati pelajar itu yang juga pemegang biasiswa Matematik, memiliki 601 video dan imej lucah kategori A iaitu kategori penyalahgunaan melibatkan aktiviti seksual kanak-kanak, serta beratus-ratus bahan lucah ka­tegori B dan C.

Nur Fitri merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Ma­laysia (SPM) pada 2009, Nur Fitri meneruskan pelajarannya di salah sebuah kolej persediaan antara­bangsa di Malaysia sebelum ditawarkan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pelajaran di Imperial College di London dalam jurusan Matematik.

Pada tahun 2011, Nur Fitri pernah bertanding dalam Kejuaraan Olim­pik Matematik di Amsterdam.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain