Pemuda lemah semangat fobia dek alunan Ulek Mayang, “Mereka tak sangka saya kena rasuk” - Viral | mStar

Pemuda lemah semangat fobia dek alunan Ulek Mayang, “Mereka tak sangka saya kena rasuk”

Fayyan diganggu selepas seorang rakannya menyanyikan lagu Ulek Mayang.

TINDAKAN seorang pemuda memuat naik di Twitter video aksi seorang rakannya dirasuk dipercayai selepas menonton filem seram dari Indonesia iaitu Makmum dikecam hebat netizen yang beranggapan perbuatan itu lakonan semata-mata.

Video dengan kapsyen So this thing happened right after kite orang balik daripada tengok Makmum tular di media sosial selepas dikongsi Zainul Arifin Rahmat pada malam Sabtu lalu.

Sehingga Khamis, video itu mendapat 827,300 tontonan selain 26,700 ulang kicau dan 24,100 tanda suka.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio hasilkan suara misteri, patutlah angin kencang ketika Ulek Mayang didendang

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz pesan, “Kalau nampak ‘makhluk’ jangan pandai-pandai baca ayat Kursi”

Zainul Arifin atau lebih mesra disapa Arieff ketika dihubungi mStar menafikan detik cemas menimpa rakannya, Fayyan pada malam Jumaat lalu itu sengaja diadakan-adakan untuk mendapat perhatian ramai.

Fayyan muntah sebaik meluru keluar dari kereta dipandunya selepas dirasuk.

"Video tu bukan lakonan. Aksi Fayyan dirasuk memang betul-betul berlaku. Lagipun video itu diambil secara spontan sewaktu kami dalam perjalanan balik ke rumah.

"Saya ni jenis suka merakam video apabila kat luar. Kebiasaannya video tu saya akan upload dekat InstaStory atau status WhatsApp.

"Kebetulan masa saya buat rakaman tu kawan saya nama Imran nyanyi lagu Ulek Mayang. Waktu tu saya perasaan Fayyan tiba-tiba stop dan dia mula ketawa kecil. Lepas tu dia suruh kami diam," katanya.

Cerita Arieff lagi, sikap Fayyan tiba-tiba berubah sebaik sahaja seorang lagi rakan mereka menyebut Allahuakbar.

"Waktu tu Fayyan berkeras suruh diam. Kemudian bila sampai satu selekoh kanan keadaan waktu tu tiba-tiba jadi kelam kabut.

"Suara Fayyan berubah. Dia berhentikan kereta dan meluru keluar. Sebaik keluar dia muntah dan Imran laungkan azan dan baca surah (dari al-Quran) untuk redakan keadaan," katanya.

Arieff (kiri) dan Imran.

Dalam pada itu, Fayyan tidak menyalahkan rakan-rakannya itu kerana mereka tidak tahu sejarah dirinya yang lemah semangat.

"Saya sebenarnya terbuai dengan suara Imran nyanyi lagu Ulek Mayang. Suara dia sedap dan merdu, jadi saya pun terikut-ikut dengan benda tu.

"Kawan-kawan saya pula mereka tak tahu saya ni lemah semangat. Mereka tak tahu sejarah hidup saya macam mana sebab kami baru je kenal. Jadi mereka tak expect saya kena rasuk.

"Sebenarnya insiden tu tak ada kena mengena dengan filem Makmum tapi disebabkan kawan-kawan bercerita pasal scene tertentu dalam filem tu dan benda ghaib saya jadi lemah semangat," katanya.

Menurut Fayyan insiden itu bukan kali pertama menimpa dirinya.

"Saya sering diganggu sejak dari darjah tiga lagi. Sejujurnya saya memang fobia dengan lagu Ulek Mayang.

Fayyan menari tarian Ulek Mayang ketika diganggu semasa menyertai kem PLKN, lima tahun lalu.

"Saya juga pernah diganggu selama tiga hari sewaktu di kem PLKN, Ayer Keroh, Melaka pada 2014. Waktu tu saya menari macam wanita dalam klip video lagu tu," katanya yang mendakwa keluarganya pernah terkena santau akibat perbuatan ahli keluarga terdekat mereka.

Ditanya mengenai keadaannya selepas dirasuk, Fayyan berkata kebiasaannya badannya menjadi lemah.

"Kawan beritahu saya muntah kemudian Imran azan dan baca ayat Kursi. Saya bersyukur kami semua tak kemalangan sebab waktu tu saya dalam keadaan separuh sedar.

Sebenarnya insiden tu tak ada kena mengena dengan filem Makmum tapi disebabkan kawan-kawan bercerita pasal scene tertentu dalam filem tu dan benda ghaib saya jadi lemah semangat.

FAYYAN.

"Lepas insiden tu badan saya jadi lemah. Saya tinggal dekat Nilai dan kebetulan ada seorang kawan yang duduk di Nilai, jadi dia yang tolong drive kereta saya," katanya.

Mengulas mengenai komen netizen yang mendakwa video itu bertujuan untuk mempromosikan filem tersebut, Fayyan menyifatkan dakwaan itu sebagai keterlaluan.

"Bagi saya dakwaan tu tak masuk akal. Saya takkan bahayakan diri, lagipun kami tak kenal siapa penerbit filem tu, tambah lagi itu filem Indonesia," katanya.

Komen netizen mengenai posting video yang tular itu.

Sementara itu, Fayyan turut meminta netizen supaya tidak mengkritik Puteri Nooreen yang juga rakan perempuannya di dalam video tersebut.

"Saya terkilan bila orang kutuk dia. Mereka kata dia perempuan jahat. Sebenarnya kami memang bergurau kasar macam tu.

"Dia tak salah pun sebab kami baru setahun lebih kenal. Saya pun rasa dia terkejut masa tu. Dalam tempoh tu tak semua benda kita tahu pasal kehidupan orang.

"Saya pula jenis tak suka bercerita mengenai kehidupan saya. Jadi janganlah cepat bersangka buruk dengan orang tanpa tahu situasi sebenar," katanya.

rasuk , Ulek Mayang , Makmum