Terkejut Mamak Roti masih ingat perangainya, pelukis grafiti kata dia bukan biasa-biasa, “Anak doktor, lawyer, engineer” - Viral | mStar

Terkejut Mamak Roti masih ingat perangainya, pelukis grafiti kata dia bukan biasa-biasa, “Anak doktor, lawyer, engineer”

Abdul Rashid bersama Muniandi yang berniaga roti kaya di Balik Pulau sejak 30 tahun lalu.

SEORANG pelukis grafiti terkejut apabila individu yang diabadikan pada lukisan di dinding berdekatan Pekan Kongsi Balik Pulau, Pulau Pinang masih ingat perangainya semasa kecil yang gemar melukis di atas tanah.

Kisah itu dikongsi Abdul Rashid Abdul Raman, 35, yang bertemu semula dengan Muniandi atau lebih dikenali dengan nama 'Mamak Roti' yang terkenal di Balik Pulau di Facebooknya pada Ahad lalu.

Menurut Abdul Rashid dia bertemu Muniandi di rumahnya yang terletak di Taman Seri Genting, Balik Pulau ketika ditugaskan melukis muralnya oleh Balai Seni Negara sempena Balik Pulau Festival baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar keropok lekor... Lorong penyu, mural warna-warni buat Terengganu lebih menarik

ARTIKEL BERKAITAN: Seni 'doodle' semakin digemari... Pelukis kolumnis The Star kongsi tip buat yang ingin mencuba

"Saya approach dia dekat rumah tapi belum sempat saya nak introduce diri dia kata kenal saya dah tahu rumah saya dekat mana. Dia juga kata kenal arwah mak saya sebab selalu tukar duit syiling dengan dia.

"Paling saya terharu dia masih lagi ingat saya suka melukis atas tanah. Memang betul saya start melukis dengan jari atas tanah dengan sepupu saya tapi saya ingatkan family je yang tahu.

Andhar A. Samah pelukis utama potret Muniandi. Foto Andhar A.Samah.

"Dan dia juga beritahu waktu dia datang berniaga motosikal dia akan block lukisan yang saya lukis. Memang saya terkejutlah sebab walaupun dah 30 tahun berlalu tapi dia boleh ingat lagi. Memang saya terkejut," katanya kepada mStar.

Jelas anak bongsu daripada empat beradik itu, Muniandi amat dikenali seluruh penduduk Balik Pulau kerana karakternya yang amat disenangi ramai.

"Mamak ni memang legend dekat Balik Pulau. Siapa-siapa pun mesti kenal dia. Tak kiralah apa jenis kaum pun sebab dia dah jual roti kaya itu dah 30 tahun.

"Dia berniaga dengan loceng ketuk dan motosikal model yang sama. Kiranya stail berniaga tidak berubah tetap sama macam dulu. Cuma tong isi roti dah update sedikit dengan bantuan kerajaan negeri," katanya.

Walaupun berniaga roti kaya, Abdul Rashid kagum melihat pengorbanan Muniandi membesarkan anaknya menjadi orang berjaya.

"Anak-anak dia semua berjaya. Ada jadi doktor, lawyer dan seorang lagi masih belajar chemical engineering. Memang kagumlah dengan dia.

Pelukis mural bergambar bersama Muniandi di Pekan Kongsi, Balik Pulau Pulau Pinang.

"Walaupun anak dia berjaya dia masih lagi jual roti dan pada masa sama dia juga ternak lembu atau kambing.

"Dia juga sentiasa merendah diri, selalu tersenyum dan berfikiran positif. Tengok dia pun sentiasa happy," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila ditugaskan untuk melukis mural Muniandi, Abdul Rashid berkata dia amat berbangga kerana diberikan peluang berharga itu.

Mamak ni memang legend dekat Balik Pulau. Siapa-siapa pun mesti kenal dia. Tak kiralah apa jenis kaum pun sebab dia dah jual roti kaya itu dah 30 tahun.

ABDUL RASHID ABDUL RAMAN.

Pelukis grafiti.

"Sebenarnya ada lima pelukis untuk mural tersebut. Potret Muniandi dilukis Andhar A. Samah manakala saya lukis bahagian ikan emas pada mural tersebut.

"Bila terlibat sekali memang saya bangga sebab dia unsung hero... dapat potretkan diri sebab semua orang kenal dia. Lagipun dia memang layak sebab pemilihan itu kena dengan personaliti dia," katanya.

Pada masa sama, Abdul Rashid berharap agar Muniadi diangkat sebagai salah seorang ikon Anugerah Merdeka atau Hari Malaysia kali ini.

Mural solo dilukis Abdul Rashid.

"Ramai orang datang ambil gambar mural tu. Walaupun gambar belum siap mereka dapat teka itu potret mamak tu. Memang semua kenal dia.

"Lagipun pengorbanan dan personalitinya yang disenangi ramai melayakkan dia untuk menjadi ikon disegani. Dia ibarat wira yang tidak didendang," katanya.

Tambah pemuda berusia 35 tahun itu, dia dan empat lagi pelukis grafiti lain mengambil masa hampir seminggu untuk menyiapkan potret Muniandi dengan empat lukisan lain.

"Kami ambil masa dua hari setengah untuk siapkan potret Muniandi dan empat hari wall sendiri. Siang kami lukis wall masing-masing dan malam kami lukis mural Muniandi beramai-ramai.

"Lega semuanya selesai Ahad lalu. Kami juga gembira sebab Muniandi dan anak-anak datang tengok potret dia. Dia terkejut jugalah sebab pegang potret muka sendiri dan kata lukisan itu macam dia," katanya.

mural , babu roti kaya , Muniandi , potret , Balik Pulau

Artikel Lain