Dulu mewah, kehidupan 3 anak bekas staf pelantar minyak kini daif kerana satu sebab, “Adik pernah tanya kenapa kita dah tak kaya?” - Viral | mStar

Dulu mewah, kehidupan 3 anak bekas staf pelantar minyak kini daif kerana satu sebab, “Adik pernah tanya kenapa kita dah tak kaya?”

Nurhanifah (kanan) bersama adiknya, Nurhazlina. Gambar kecil, bapanya Mohd Fadhillah bersama anak bongsu, Mohammed Haziq.

TERPAKSA membuat pilihan sama ada mahu ke sekolah atau gunakan wang bagi mengalas perut seisi keluarga, begitulah kisah duka yang dihadapi seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurhanifah Mohd Fadillah yang sudah lama tidak menjejakkan kakinya ke sekolah.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, kehidupan mereka di Kuching, Sarawak bersama bapa, Mohd Fadillah Idris, 45, berubah sepenuhnya selepas kematian ibunya, Rosnani Suhaili pada tahun 2009.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

ARTIKEL BERKAITAN: Mengejutkan! 33 minggu dalam perut ibu koma, bayi membesar, selamat lahir walau ibu belum sedar “Doktor kata bayi kami ajaib”

"Dekat 90 hari dah saya tak pergi sekolah. Cikgu ada minta bapa hantar ke sekolah, tapi dia memang tak mampu sebab kekurangan wang. Tak ada duit untuk beli minyak kereta.

Nurhanifah belajar sendiri di rumah kerana bapanya tidak mampu untuk menghantar dia ke sekolah.

"Saya pun kena pilih, sama ada duit yang ada mahu digunakan beli minyak kereta untuk ke sekolah atau beli makanan untuk keluarga sebab pernah hampir seminggu kami tak makan. Saya fikir pasal adik-adik, jadi saya pilih untuk beli makanan.

"Sekarang ni persiapan untuk SPM dah 70 peratus. Saya belajar dari 7.30 pagi sampai 10 malam di rumah, buat jadual sendiri. Rasa sedihlah sebab tak ada kawan. Hanya kucing dua ekor jadi peneman.

"Saya berborak dengan kucing mengenai topik dalam subjek Sejarah untuk lebih senang nak hafal. Kadang-kadang saya tengok muka kucing untuk ingat formula Matematik ," ujar Nurhanifah sewaktu dihubungi mStar.

Kisah mengenai gadis berusia 17 tahun itu bersama dua adiknya, Nurhazlina, 14 dan Mohammed Haziq, 12, yang mengalami cacat penglihatan menjadi tular di Twitter sejak Sabtu lalu.

Jadual belajar sendiri di rumah yang dibuat oleh calon SPM itu.

Ia dikongsi oleh Asfaridah Umar yang juga Penolong Pegawai Sosio Ekonomi badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (Yakin) sehingga menerima lebih 12,000 perkongsian di platform media sosial itu.

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya, Nurhanifah berkata dia turut mewarisi penyakit asma yang menjadi punca kematian ibunya, sejak 10 tahun lalu.

Dalam nada hiba, dia mengakui cukup tabah untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan, biarpun pernah hidup senang suatu ketika dahulu.

"Dulu bapa kerja pelantar minyak, gaji berbelas ribu. Tapi masa tu kami tak cukup kasih sayang. Emak meninggal pun bapa tahu tiga hari selepas tu. Jadi bapa tak nak perkara ni berulang lagi.

Pertemuan Asfaridah Omar, mewakili NGO Yakin dengan keluarga itu baru-baru ini.

"Sekarang dia kerja mekanik di rumah, tak boleh kerja jauh sebab nak jaga adik bongsu saya. Dulu masa mula-mula jatuh susah, adik pernah tanya ayah kenapa kita dah tak kaya? Masa tu saya seorang je yang faham," ujarnya dalam nada hiba.

Tambah Nurhanifah lagi, mereka menyewa sebuah bilik di sebuah rumah di Kuching yang turut dikongsi bersama dua lagi keluarga lain.

Keluarga itu turut menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia masih tidak mencukupi untuk menanggung kehidupan mereka.

Kisah mengenai empat beranak ini tular di laman Twitter sejak Sabtu lalu.

Nurhanifah turut berkongsi mengenai impiannya untuk bekerja sebagai pegawai kerajaan apabila menamatkan pembelajaran kelak.

"Saya memang kagum dengan bapa saya, saya juga bersyukur ada bapa yang tabah. Dia berhasrat nak tengok salah seorang anak kerja kerajaan.

"Jadi saya secara sukarela mahu penuhi impian bapa. Target saya, mahu bantu keluarga melalui pendidikan," ujarnya lagi.

Bagi sesiapa yang mahu memberi bantuan, mereka boleh berhubung dengan Mohd Fadillah di talian 011-56551982.

Nurhanifah , calon SPM , miskin , pelantar minyak

Artikel Lain