Jiran dakwa semasa dalam kandungan, si ibu tak mahu Ain, pernah nak gugurkannya - Viral | mStar

Jiran dakwa semasa dalam kandungan, si ibu tak mahu Ain, pernah nak gugurkannya

Ain didakwa dibiarkan tidur di luar rumah oleh keluarganya.

KISAH remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 14 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Gial, Arau pada Jumaat mengundang sebak netizen.

Bukan sahaja didera tetapi remaja OKU masalah pembelajaran yang dikenali sebagai Ain itu turut dikurung di luar rumah mereka.

Namun tindakan kejam ibu remaja terbabit amat mengejutkan seorang wanita yang mendakwa mengenali ibu mangsa sejak zaman kanak-kanak lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen geram mahu 'pijak' remaja buli warga tua... apa yang berlaku mengejutkan ramai

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ada perikemanusiaan seorang anak…” - Ibu derita, rayu dikeluarkan dari rumah orang tua-tua

Wanita berusia 36 tahun itu yang enggan namanya didedahkan ketika dihubungi mStar mengakui tidak menjangka ibu mangsa yang dikenali sebagai Zarina sanggup berkelakuan kejam terhadap anak kandungnya.

"Kami duduk satu taman dekat perumahan Mata Ayer II, memang kenal dari kecil. Rumah dia selang beberapa buah dari rumah saya.

Ain turut dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan abang kandungnya.

"Zaman remaja kami membesar sama-sama, masa sekolah memang dia mengaji dengan mak saya.

"Bila video Ain viral, saya sendiri terkejut. Kesian pun ada sebab saya memang tak sangka Zarina sanggup buat anak kandung dia macam tu," katanya.

Terdahulu, wanita tersebut yang kini menetap di Kuala Lumpur menjelaskan mengenai kisah yang menimpa remaja perempuan tersebut menerusi satu bebenang di Twitternya.

Namun penjelasannya itu dikecam netizen gara-gara tidak memaklumkan insiden itu yang sudah diketahuinya dari awal kepada pihak polis.

Malah wanita itu turut didakwa cuba meraih retweet (RT) menerusi penceritaannya di Twitter.

Bagaimanapun wanita itu berkata dia tidak memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis kerana tiada bukti kukuh.

"Ya Allah, kalau nak report kena ada bukti bukan main report je. Lagipun saya dekat KL dah berbelas tahun. Bila balik kampung saya mana jumpa dia (Zarina).

Posting wanita terbabit turut tular di Twitter.

"Cerita pasal Ain pun tok dia yang habaq. Bukannya saya pergi rumah mereka. Cara tok dia beritahu tu tak lah saya boleh imagine sampai jadi macam ni.

"Tok dia pun hangpa ingat dia nak cerita detail ke? Mak budak tu anak dia kot. Jadi bila video dah viral kiranya betullah apa tok dia cerita pasal Ain sebelum ni.

"Cuma kami susah nak percaya sebab kadang-kadang dia perburuk anak sendiri... kejap lagi bila berbaik dia puji melangit. Family mereka memang pelik sikit," dakwanya.

Tok dia cerita masa Ain umur empat tahun dah kena cuci pinggan mangkuk. Walaupun dia macam tu tapi boleh lagi buat kerja.

JIRAN ZARINA

Wanita itu juga enggan ambil kisah kecaman netizen kerana dia hanya berkongsi kisah mengenai remaja malang tersebut.

"Bab nak raih RT semua tu ingat saya peduli ke? Jadi tiada istilah saya hadap semua RT ni.

"Ini Twitter saya jadi saya ada hak nak tulis apa sahaja. Lagipun dah kenal dan saya cerita perkara betul bukan nak buka aib sesiapa," katanya.

Bercerita lanjut mengenai Ain, wanita tersebut mendakwa ibu mangsa pernah cuba menggugurkan kandungannya semasa mengandungkan remaja malang itu.

Gambar yang tular menunjukkan Ain tidur di luar rumah bersama seekor kucing.

"Zarina pernah nak gugurkan (Ain) sebab masa tu tengah nak bercerai dengan suami dia (suami kedua), sebab tu dia tak mau Ain.

"Tapi kuasa Allah Ain selamat sampai lahir. Dan tok dia cakap kesan ubat tu, Ain jadi macam tu," dakwanya.

Wanita tersebut juga mendakwa Ain pernah tinggal seketika bersama neneknya di Taman Bunga Kenanga Mata Ayer II, Kangar sebelum diambil semula ibunya.

"Lepas dia beranak, dia kahwin lain. Depa ni jenis pindah randah merata sebab ada masalah. Tok Ain yang selalu dok cerita benda ni semua.

"Dia penah ambil Ain tapi Zarina ambik balik lepas tu tak tau lah pi mana. Ain ni seorang je anak perempuan dia.

"Tok dia cerita masa Ain umur empat tahun dah kena cuci pinggan mangkuk. Walaupun dia macam tu tapi boleh lagi buat kerja," dakwanya lagi.

Namun wanita ini yang pernah sama-sama belajar mengaji dengan Zarina di rumah ibunya menarik nafas lega apabila suspek dan juga abang kandung Ain ditahan selepas kisah Ain terbongkar.

"Alhamdulillah lega. Baguslah perbuatan kejam terbongkar. Saya memang tak sangka dia buat anak sendiri macam tu.

Dua beranak yang dipercayai mendera Ain direman selama empat hari bermula Ahad.

"Malah orang kampung pun terkejut bila saya cerita kisah dia. Saya sahaja nak cerita benda betul tapi tak sangka boleh viral," katanya.

Dua beranak berusia 40 dan 15 tahun itu direman empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendera dan mengurung mangsa.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata perintah reman ke atas ibu dan abang kandung mangsa dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Malah, individu dipercayai jiran yang memuat naik video ke laman sosial mengenai remaja itu juga sudah dipanggil untuk diambil keterangan semalam (Sabtu)," katanya.

Pada Jumaat, rakaman seorang remaja perempuan dipaksa tidur di luar rumah tersebar di laman sosial Twitter yang dimuat naik seorang pengguna.

Selain dipaksa tidur di luar rumah, mangsa dipercayai turut disimbah air panas, dipukul dengan batang buluh dan anggota badannya dikepit playar.

Ain , OKU , kurung , penderaan , Mata Ayer II

Artikel Lain