Pengaruh Oden! Anak hentak kaki dalam kedai, bapa nak beli kuah saja, bebola bawa sendiri... “Bunyi macam esakan, semua pelanggan terdiam” - Viral | mStar

Pengaruh Oden! Anak hentak kaki dalam kedai, bapa nak beli kuah saja, bebola bawa sendiri... “Bunyi macam esakan, semua pelanggan terdiam”

Paparan skrin sebahagian perkongsian tweet wanita itu. Gambar Hiasan: Japan Deluxe Tours.

JUADAH popular dari negara Jepun, Oden yang kini mudah didapati di kedai serbaneka di negara ini sememangnya digemari ramai.

Sebut mengenai hidangan itu, pasti ramai yang terbayang akan keenakan rasa kuahnya yang dimakan panas-panas bersama bebola ikan, bebola ayam dan macam-macam lagi.

Namun, perkongsian seorang wanita mengenai seorang pakcik tua yang mahu membeli Oden untuk anak perempuannya baru-baru ini ternyata meruntun hati ramai pelayar Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: “Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia” - Bapa 'cool' menangis nikahkan anak, adik pengantin mula rasa tak nak kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Berderai air mata pengantin lelaki ketika ditanya tok kadi soalan ini, “Saya bagi dia tisu, selepas nikah saya menangis juga"

Menurut Nolly Norlida, 28, insiden itu berlaku sekitar dua minggu lalu, sewaktu dia singgah ke salah sebuah outlet kedai serbaneka popular di ibu negara.

"Masa saya tengah beratur nak beli aiskrim, ada seorang pakcik minta nak beli kuah Oden sahaja. Gaya pakaian macam dia kerja kilang.

"Kemudian pakcik tu tanya harga Oden, dia buka beg dan kira duit. Dia kata ada RM3 sahaja dan tanya, berapa dia boleh beli.

"Lepas tu dengar suara dari belakang menjerit, hish dah la, itu pun tak boleh. Rupa-rupanya ada budak perempuan lingkungan umur 15 tahun hentak-hentak kaki dan terus keluar dari kedai tu.

"Pakcik tu kata, minta maaf dik, anak pakcik nak makan kuih ni sambil tunjuk kat Oden. Muka dia pun sedih masa tu," ujar Nolly sewaktu dihubungi mStar.

Akak tu pusing, dia hulurkan Oden pada pakcik tu. Pakcik tu macam tertunduk, genggam tangan dia. Pakcik tu diam, lepas tu bunyi macam esakan, macam orang menangis. Semua yang tengah beratur terdiam.

NOLLY NURLIDA

Tambahnya, pakcik itu turut membawa satu plastik berisi bebola ikan dan beberapa makanan lain, dipercayai untuk dimakan bersama kuah Oden berkenaan.

Lelaki lingkungan usia 60-an itu menjelaskan, dia hanya mahu membeli kuah Oden untuk dimasak dengan bahan makanan yang sudah dibeli olehnya.

Sambung Nolly, jurujual kedai berkenaan kelihatan serba salah sebelum memaklumkan yang mereka tidak dibenarkan untuk menjual kuah sahaja.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia pada ketika itu ingin membantu namun hanya membawa duit secukupnya untuk membeli ais krim sahaja.

Pada waktu itu, suami dan anaknya pula sedang menunggu di dalam kereta.

Menyambung kisah itu, Nolly berkata seorang wanita tiba-tiba memotong barisan dan memesan Oden dengan jurujual bertugas.

Antara komen orang ramai berhubung perkongsian kisah itu.

Tanpa disangka-sangka, wanita itu menghulurkan dua bekas Oden yang dipesannya kepada pakcik berkenaan.

"Akak tu pusing, dia hulurkan Oden pada pakcik tu. Pakcik tu macam tertunduk, genggam tangan dia.

"Pakcik tu diam, lepas tu bunyi macam esakan, macam orang menangis. Semua yang tengah beratur terdiam.

"Masa saya keluar tu, saya intai-intai juga anak perempuan pakcik tu tapi tak nampak pula," katanya lagi.

Dalam pada itu, posting Nolly berkenaan kisah itu sehingga kini menerima lebih 20,000 ulang kicau (Retweet).

Kata Nolly, bukan niatnya membuat perkongsian itu untuk mengaibkan remaja perempuan berkenaan.

"Ia membuka mata saya. Memang wujud realiti macam tu, ada orang yang susah tapi mungkin juga sebab pengaruh, dia tengok orang makan. Mungkin dia tak sedar ayah dia sebenarnya tak mampu.

"Kita pun tak boleh salahkan budak tu 100 peratus, kita tak tahu situasi mereka.

"Tapi saya sendiri boleh rasa apa yang berlaku, sebab saya pun dibesarkan dalam keluarga susah," katanya lagi.

Nolly Nurlida , Oden , anak

Artikel Lain