Wanita berhenti kerja 'engineer' nak balik kampung berpantang dituduh tayang duit, “Tak sangka suami bagi banyak macam tu sekali gus” - Viral | mStar

Wanita berhenti kerja 'engineer' nak balik kampung berpantang dituduh tayang duit, “Tak sangka suami bagi banyak macam tu sekali gus”

Posting wanita itu yang dimuat naik ke Twitter beserta komen seorang individu yang mengecam dirinya.

SETIAP wanita pastinya mendambakan suami yang penyayang dan bertanggungjawab sebagai pelengkap kehidupan mereka.

Terbaharu, perkongsian seorang isteri yang disifatkan netizen sebagai 'wanita bertuah' kerana keprihatinan suaminya menjadi tular di Twitter.

Menerusi posting pada Rabu lalu, dia yang hanya ingin dikenali sebagai Aisya memuat naik sekeping foto yang menunjukkan wang belanja pemberian suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa dia boleh sembuh…” - Suami terkilan baju raya ditempah untuk isteri hanya tinggal kenangan

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah beritahu mak, jangan terkejut tengok dia” - Jururawat pilih suami Sudan, yang kutuk biar 'kutip dosa kering'

Selain foto wang berjumlah RM1,500 itu, siri tweet berkenaan yang bercerita mengenai kisah dirinya turut menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 2,300 ulang kicau (Retweet).

Kata Aisya, dia yang bersalin secara pembedahan pada April tahun lalu baru sahaja pulang semula ke kampung untuk berpantang sekali lagi.

"Dulu saya berpantang dua bulan sahaja. Bila bersalin secara pembedahan, seelok-eloknya paling kurang pun kena pantang empat bulan.

"Bila tak berpantang dengan sempurna, banyak masalah yang melanda. Saya alami sakit-sakit badan dan selalu tak sihat.

"Dalam tempoh setahun ni, saya biasanya kerja dua atau tiga hari sahaja seminggu. Badan saya sakit sangat. Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti kerja," ujarnya sewaktu dihubungi mStar pada Selasa.

Saya bukannya apa, cuma nak kongsi pasal suami saya. Saya tak sangka suami bagi duit banyak macam tu sekali gus. Padahal saya ada gaji sendiri, lagipun saya balik ke kampung tinggal dengan mak ayah.

AISYA

Aisya sebelum ini bertugas sebagai jurutera kualiti dan menetap di sebuah negeri di selatan tanah air.

Tambahnya lagi, biarpun berat untuk membuat keputusan itu, dia dan suami bagaimanapun sepakat agar dia berpantang sekali lagi agar dirinya kembali pulih sepenuhnya.

"Memang nak berhenti sejak lepas bersalin lagi. Tapi saya kena cari orang untuk ganti, kena latih lagi. Kerja tu bukan senang nak cari pengganti.

"Keputusan yang berat, tapi bila difikirkan balik. Saya kena berhenti juga. Nak kerja pun susah, selalu sakit, demam sampai menggigil," katanya lagi.

Antara komen positif yang diterima di Twitter.

Dalam pada itu, posting foto wang di Twitter miliknya turut menyebabkan wanita itu menjadi mangsa kecaman netizen.

"Kau memang suka tayang duit husband kau bagi berapa ke?" soal seorang netizen kepada wanita itu.

Menurut Aisya, dia tidak ambil pusing dengan kritikan negatif memandangkan posting itu dikongsi secara suka-suka sahaja.

Malah katanya, dia gembira apabila ada yang terinspirasi dengan posting itu.

"Saya bukannya apa, cuma nak kongsi pasal suami saya. Saya tak sangka suami bagi duit banyak macam tu sekali gus.

"Padahal saya ada gaji sendiri, lagipun saya balik ke kampung tinggal dengan mak ayah.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan, tapi dia faham tanggungjawab dia, jadi dia tetap bagi duit," ujarnya lagi.

Artikel Lain