suria

Angkara panggilan ‘Dr Haji Abdullah’, bakal pengantin trauma diminta mencangkung… “Dia suruh doa sebelum mula adegan rawatan itu”

Gambar hiasan.

PERSIAPAN menuju ke alam perkahwinan bukan hanya tertumpu kepada barangan hantaran, pelamin atau baju semata-mata, sebaliknya ada perkara lebih penting lagi iaitu pemeriksaan kesihatan bagi pasangan yang bakal disatukan sebagai suami isteri.

Perasaan teruja dan gembira seorang gadis yang dikenali sebagai Syarifah, 21, yang bakal menamatkan zaman bujangnya Ogos ini, namun dicalit sedikit dek kerana pengalaman menakutkan selepas menjalani rawatan pemeriksaan HIV di sebuah klinik di Ampang.

Bakal mengakhiri zaman bujang Ogos ini, gadis berusia 21 tahun ini diganggu panggilan seks oleh seorang lelaki yang bergelar 'Dr Haji Abdullah' sebaik pulang dari klinik tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pondan Menyamar 'Doktor' Perdaya Lima Klinik Ditahan

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor pelatih dakwa jadi mangsa gangguan seksual ketua jabatan

Menurut rakan baik mangsa, Farhan,21, insiden itu berlaku selepas seminggu Syarifah menjalani pemeriksaan HIV di klinik tersebut.

"Pada Selasa lalu, ketika kawan saya sedang memandu dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa doktor dari klinik dan lelaki itu minta Syarifah menghubunginya kembali sebaik sahaja tiba di rumah kerana ia berkaitan dengan keputusan pemeriksaan kesihatan.


Farhan berkongsi mengenai 'Dr Haji Abdullah' di Twitter.

"Kawan saya agak pelik kerana pemeriksaan kesihatannya ketika ke klinik berkenaan dilakukan oleh seorang doktor wanita.

"Doktor lelaki itu memberitahu bahawa doktor wanita yang memeriksa kawan saya ini berada di Sabah dan meminta dia mewakilkan untuk menghubungi Syarifah.

"Sebelum itu doktor lelaki ini buat pengesahan terlebih dahulu untuk menyakinkan kawan saya ini.

"Dia (doktor) baca alamat dan nombor kad pengenalan kawan saya ini dengan tepat. Jadi dia percayalah bahawa lelaki itu 'doktor betul'," kongsi Farhan kepada mStar.

Tambahnya lagi, sebaik sahaja segala maklumat peribadi kawan saya ini tepat, bermulalah 'drama' Dr Haji Abdullah itu.

"Dia beritahu kawan saya ini ada ketulan lemak di bahagian payudara dan mungkin akan mengganggu proses bersama dengan suami kemudian hari.

Cara-cara yang diminta oleh doktor tersebut amat tidak disenangi dan dia kerap kali menyuruh kawan saya ini berdoa sebelum melakukan 'adegan' rawatan itu. 

FARHAN


"Apabila mendengar penjelasan doktor itu, kawan saya ini terus cemas serta takut dan ingin membuat pemeriksaan semula, tetapi doktor itu beritahu kawan saya tidak perlu ke klinik dan hanya perlu ikut apa yang disuruhnya," katanya.

Kata Farhan, tambah mengejutkan rakannya itu apabila menerusi telefon doktor tersebut meminta Syarifah duduk mencangkung dan memegang kemaluannya, kononnya ia cara rawatan susulan.

"Cara-cara yang diminta oleh doktor tersebut amat tidak disenangi termasuk menyuruh kawan saya ini berdoa sebelum melakukan 'adegan' rawatan itu," jelasnya yang kemudian mendapat tahu mengenai tingkah laku doktor yang memalukan dan keterlaluan itu.

                                                             

Insiden dianggap kes gangguan seksual terhadap Syarifah.

Kata Farhan, marah dan geram selepas mendengar apa yang diluahkan Syarifah membuatkan dia cuba menghubungi nombor telefon bimbit doktor berkenaan tetapi tidak diangkat dan dalam mode off sementara.

"Kawan saya ada hubungi klinik itu, namun malangnya tidak ada doktor bernama Haji Abdullah.

"Menyedari dia ditipu oleh 'doktor scammer', kami terus membuat laporan polis, tapi malangnya kami hanya disindir pihak berkuasa kerana laporan tersebut.

"Layanan seperti itu membuatkan kawan ini semakin trauma dan kecewa," tambah Farhan.

Perkongsian Farhan mengenai Doktor Haji Abdullah ini di laman Twitter telah mendapat lebih 17,000 ulang kicau.

Rata-rata netizen yakin ia adalah satu penipuan dan menceroboh hak peribadi pesakit memandangkan segala maklumat diri sama seperti diberikan Syarifah ketika membuat pemeriksaan kesihatan di klinik tersebut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Doktor tipu, serangan seksual

Artikel Lain