9 tahun tunggu, bekalan elektrik terputus malam pernikahan... Pengantin 'on' nikah, “kami dah sedia, tak kisahlah blackout pun” - Viral | mStar

9 tahun tunggu, bekalan elektrik terputus malam pernikahan... Pengantin 'on' nikah, “kami dah sedia, tak kisahlah blackout pun”

Pasangan pengantin terpaksa menempuhi majlis akad nikah dalam keadaan bergelap selepas bekalan elektrik terputus di masjid. Foto RAJA AMER

WAJAH bakal pengantin pastinya berseri-seri meskipun gemuruh saat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah.

Namun bagi pasangan ini, mereka terpaksa disatukan sebagai suami isteri dalam suasana malap apabila bekalan elektrik terputus di masjid yang menjadi lokasi majlis pernikahan.

Pengantin lelaki sedia untuk majlis akad nikah. Foto RAJA AMER

Kejadian tersebut dirakamkan oleh jurugambar sehingga menjadi tular selepas gambar-gambar majlis dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantaran hangus sejam selepas siap, tapi semasa kemas rumah pengantin tak sangka terjumpa sesuatu yang istimewa

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Berdoa’ Main Mobile Legends Sebelum Nikah, Ini Jawab Pengantin!

Raja Amer atau nama sebenarnya Raja Mohamad Shahrul Amer Raja Bakti berkata, insiden berlaku di Masjid Mukim Kuala Paku di Tanah Merah, Kelantan, Sabtu lalu.

Pengantin perempuan menanti penuh kesabaran. Foto RAJA AMER

Pemuda berusia 29 tahun itu berkata, bekalan elektrik terputus ketika hujan lebat difahamkan antara punca insiden apabila dahan pokok menimpa wayar elektrik.

“Majlid akad nikah dibuat selepas solat Isyak, selepas pukul 9 malam dan saya tiba awal sebelum ketibaan bakal pengantin. Masa tu dah blackout.

“Masjid ni tak ada generator untuk sokong bekalan elektrik yang terputus masa tu, dan imam memutuskan agar majlis diteruskan di masjid,” katanya yang lebih dikenali sebagai Raja Amer kepada mStar.

Dengan sekali lafaz, Mohd Nazirul (kiri) bergelar suami kepada gadis pilihannya.

Jurugambar profesional sepenuh masa itu berkata, bekalan elektrik terputus selama satu setengah jam dan sepanjang akad nikah berlangsung, hadirin diminta untuk menggunakan telefon bimbit masing-masing bagi menggantikan lampu.

Lepas habis SPM, saya beritahu pada diri sendiri yang saya nak kahwin dengan dia. Tapi banyak kali tangguh sebab saya perlu simpan duit dahulu. Sekarang kami dah sedia, tak kisahlah blackout pun. 

MOHD NAZIRUL

Menurut Raja Amer, insiden bekalan elektrik terputus merupakan pengalamannya yang pertama sejak berkhidmat sebagai jurugambar perkahwinan pada 2015.

“Tapi saya pernah ambil gambar model dalam gelap masa belajar dulu dan saya cuba amalkan ilmu tu masa kejadian, dan Alhamdulillah menjadi.

“Kebetulan ada keluarga pengantin yang bawa lampu kepala (head lamp) yang dihalakan ke siling untuk pantulan cahaya untuk terangkan kawasan sekitar,” katanya.

Pasangan pengantin sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Foto RAJA AMER

Sementara itu, pengantin lelaki, Mohd Nazirul Saadon, 24, memberitahu, bekalan elektrik sudah terputus sebelum dia tiba bersama keluarga di masjid.

Mengakui rasa gementar, namun anak kedua daripada empat beradik itu berfikiran positif selepas imam menyarankan agar majlis akad nikah perlu diteruskan.

“Memang terkejut sebab tak jangka boleh berlaku. Apa yang kita rancang, tapi lain pula yang jadinya. Bertambah rasa gementar tu dengan berpeluh lagi.

“Ye lah, nikah dalam gelap walaupun ada cahaya lampu telefon. Bila fikir, buat apa nak tangguh sebab esoknya nak sanding, kahwin kan perkara yang baik,” katanya yang berniaga sendiri.

Mohd Nazirul dan Siti Hajar pada majlis persandingan di Tanah Merah, Kelantan. Foto ihsan Mohd Nazirul Saadon

Tambahan pula, pemuda dari Tanah Merah itu telah lama menyimpan hasrat untuk beristerikan Siti Hajar Wahab, 24, gadis yang dikenalinya selama sembilan tahun sejak di bangku sekolah.

“Kami sama-sama bersekolah di SMK Tanah Merah 1. Lepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya beritahu pada diri sendiri yang saya nak kahwin dengan dia. 

“Tapi banyak kali tangguh sebab saya perlu simpan duit dahulu. Sekarang kami dah sedia, tak kisahlah blackout pun. 

“Syukur akad nikah tu sekali lafaz dalam keadaan gelap dan berpeluh. Kalau lebih sekali lafaz, mungkin habis basah baju saya agaknya,” katanya secara berseloroh.

kahwin , pengantin , nikah , blackout

Artikel Lain