suria

Tempuh 26 jam dari KL ke Baku, peminat rasa macam mimpi Arsenal kalah, “Satu pasukan macam tak muncul dalam perlawanan ini”

Nadia sedih tetapi akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada Arsenal.

WALAUPUN Arsenal tewas 1-4 di tangan Chelsea pada aksi final Liga Europa di Stadium Olimpik Baku, awal pagi Khamis, sokongan wanita dari Selama, Perak ini terhadap pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak akan luntur.

Malah tiada istilah menyesal bagi Nurul Nadiah Noor Azlan selepas menempuh perjalanan selama 26 jam ke Azerbaijan demi menyaksikan pasukan diminatinya itu sejak 20 tahun lalu beraksi di depan mata.

"Sudah tentu hati saya pedih... sedih. Bangun pagi rasa macam mimpi. Syukurlah kalau ianya hanya mimpi tapi malangnya ia benar-benar berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami dah bagi peringatan, tapi peminat Arsenal ini nekad terbang solo ke Azerbaijan tonton final Liga Europa, "Kalau kalah, tak kisahlah"

"Namun saya tidak menyesal dengan keputusan datang ke sini kerana saya dapat memberi sokongan kepada Arsenal. Cinta saya pada Arsenal masih kuat walaupun acap kali disakiti," katanya kepada mStar.

Peminat tegar Arsenal itu mengakui kelab itu tewas disebabkan beberapa kesilapan sehingga memberi ruang mudah kepada Chelsea untuk menjaringkan gol.

Nadia sewaktu di dalam Stadium Olimpik Baku.

"Banyak kesilapan mudah di bahagian tengah dan pertahanan. Kesilapan utama memberikan kebebasan kepada Eden Hazard yang akhirnya menghukum pasukan. Paling menyedihkan Oliver Giroud telah memusnahkan kami.

"Jujur saya katakan Arsenal bagaikan tidak 'muncul' dalam perlawanan ini. Walaupun pada awalnya Mkhitaryan yang mempunyai masalah dan terpaksa ditinggalkan di London, tetapi semalam bagaikan satu pasukan tertinggal di London," katanya.

Namun wanita berusia 34 tahun itu berkata pemain tengah Eden Hazard memainkan peranan utama dalam memacu kejayaan Chelsea pada pertembungan sengit itu.

Namun saya tidak menyesal dengan keputusan datang ke sini kerana saya dapat memberi sokongan kepada Arsenal. Cinta saya pada Arsenal masih kuat walaupun acap kali disakiti.

NURUL NADIAH NOOR AZLAN.

Peminat tegar Arsenal.

"Chelsea memang layak menang. Mereka betul-betul menguasai perlawanan itu. Malah kualiti permainan amat menakjubkan terutamanya ditunjukkan Eden Hazard.

"Dia pemain bertaraf dunia. Kehebatannya membuktikan mengapa dia menarik minat Real Madrid untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu," katanya yang akan pulang ke tanah air pada Ahad ini.

Dalam pada itu, Nadia berharap agar Arsenal belajar daripada kesilapan itu.

Nadia melakukan tour di Stadium Emirates pada tahun lalu.

"Banyak perlu diperbaiki tapi saya harap Arsenal akan bangkit dari kekalahan ini dan memulakan musim depan dengan lebih baik.

"Siapa tahu mungkin saya akan ke Poland pula tahun depan melihat Arsenal beraksi di pentas final lagi," katanya.

Terdahulu kisah Nurul Nadiah atau lebih mesra disapa Nadia tular apabila dia berkongsi perjalanannya ke Azerbaijan secara solo semata-mata untuk melihat Arsenal beraksi di pentas final di Twitternya.

Nadia mendedahkan membelanjakan RM5,100 untuk tiket penerbangan pergi balik dari Malaysia ke Baku dan RM422 (90 euro) bagi tiket aksi final itu.

Walaupun rakan-rakannya tidak dapat menemaninya ke Baku, Nadia nekad dengan keputusannya selepas menerima sokongan daripada suaminya, Mohd Khairul Nizam.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain