suria

“Peliknya atas baldi tu ada bekas kapur barus”- Anak Musa Hassan dedah ibu sempat letak kain kapan di ruang tamu sebelum meninggal

Jenazah Juriah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pagi Jumaat - -foto Facebook

KEHILANGAN ibu tersayang secara mengejut pasti memberi kesan paling mendalam dalam hidup insan yang pernah melaluinya.

Apatah lagi jika tanda-tanda dia akan pergi buat selama-lamanya sudah ditunjukkan tanpa disedari orang sekeliling.

Begitu juga kisah Puan Sri Juriah Ahmad, 73, isteri kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 10.17 malam Khamis.

Menurut anak sulungnya Mohd Rashid Azhari, 44, ibunya memang sudah mempersiapkan kain kapan untuk dirinya sebagai persediaan meninggal dunia sejak dari dulu lagi.

Namun dia tidak menduga ibunya seakan-akan tahu dirinya akan pergi dalam masa terdekat selepas mereka terjumpa set kelengkapan pengurusan jenazah yang tersimpan rapi dalam sebuah beg plastik di atas kerusi dekat ruang tamu rumah mereka, minggu lalu.

"Kalau ikutkan memang mak saya dari dulu lagi dia dah siapkan kain kapan dia. Cuma kami tak tahu dekat mana dia simpan.

"Bila bawa mak balik rumah dari hospital semalam (Khamis), kami perasaan ada beg plastik dekat kerusi di ruang tamu. Jadi saya pun tanya apa dalam plastik itu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Petaling Jaya, malam Khamis. - Foto Facebook

"Adik saya kata mak punya kain kapan. Saya cakap bila mak keluarkan, adik saya kata dah seminggu dekat kerusi tu. Kami terkejutlah sebab mak sebelum ini tak ada apa-apa sakit," katanya ketika dihubungi mStar.

Mohd Rashid berkata, lebih mengejutkan ibunya turut meminta pembantu rumahnya untuk memenuhkan air dalam satu bekas menyimpan air untuk kegunaannya.

"Dia minta pembantu rumah penuhkan baldi air pagi (Selasa) sebelum dia terjatuh dalam bilik air.

"Pembantu rumah pun tak perasan sebab waktu tu ada gangguan bekalan air. Tapi yang peliknya atas baldi tu ada bekas kapur barus," katanya.

Ditanya sama ada ibunya menunjukkan sebarang perubahan sebelum meninggal, Mohd Rashid berkata tiada sebarang perlakuan pelik.

Dia minta pembantu rumah penuhkan baldi air pagi (Selasa) sebelum dia terjatuh dalam bilik air. Pembantu rumah pun tak perasaan sebab waktu tu ada gangguan bekalan air. Tapi yang peliknya atas baldi tu ada bekas kapur barus.

MOHD RASHID AZHARI.

"Tak ada yang pelik cuma dia ingatkan kami supaya sentiasa jaga solat. Malah pagi Selasa tu dia siap pergi pasar macam biasa dengan ayah.

"Cuma itulah kami semua sedih, tak sangka sebab dia pergi secara mengejut," katanya.

Jelas Mohd Rashid, ibunya terjatuh semasa sedang bersiap untuk solat Zohor, Selasa lalu.

"Dalam tengah hari dia nak bersiap sembahyang zohor. Lepas tu rasanya dia jatuh dalam tandas. Selepas dua jam baru pembantu rumah jumpa.

"Pembantu rumah hubungi adik, adik datang tengok mak dah tak sedarkan diri. Masa tu terus bawa ke PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya)," katanya yang menyifatkan ibunya sebagai seorang yang ceria dan pemurah.

Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador turut hadir pada majlis pengebumian isteri Musa. - Foto Facebook

Tambahnya, doktor mengesahkan ibunya meninggal dunia akibat strok.

"Kalau ikut doktor mak saya diserang strok. Doktor kata otak dia dah bengkak. Itulah yang menyebabkan dia terus tak sedarkan diri," katanya.

Mohd Rashid berkata jenazah ibunya sudah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pagi Jumaat.

"Alhamdulillah urusan pengebumian mak dah selesai kira-kira pukul 10.15 pagi tadi. Segalanya berjalan dengan lancar. Terima kasih di atas ucapan dan doa semua," katanya.

Allahyarham sebelum ini pernah menjadi Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) ketika Musa memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 2006 hingga 2010.

Allahyarham meninggalkan empat anak dan sembilan cucu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain