suria

“Sedih bila mereka fikir kita nak untung” - Pemilik restoran jawab resit tular caj ekstra pinggan, gelas

Paparan skrin resit berkenaan yang dimuat naik di laman Twitter. Kredit: @Sir_Azri

GAMBAR sekeping resit yang memaparkan Restoran Original Penang Kayu Nasi Kandar cawangan SS2/10, Petaling Jaya mengenakan caj 20 sen untuk pinggan dan gelas tambahan menjadi tular di laman sosial.

Pemilik merangkap Pengarah Urusan restoran berkenaan, Burhan Mohamed, 57, ketika dihubungi mStar berkata, pihaknya mempunyai sebab tersendiri apabila mengenakan caj tersebut yang kecoh diperkatakan di laman sosial.

Jelasnya, caj tambahan itu diperkenalkan susulan gangguan bekalan air sementara di Kuala Lumpur dan Selangor yang bermula pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 minit suap tosei! Pelanggan kongsi versi penuh kisah pekerja mamak layan OKU, “Mana ada orang sanggup suap macam tu”
ARTIKEL BERKAITAN: 
Gangguan bekalan air sementara di beberapa kawasan di KL, Selangor bermula 24 April

"Sebenarnya ramai orang salah faham. Kami hanya kenakan caj tambahan 20 sen sewaktu ketiadaan air sahaja. Selepas pukul 10 pagi semalam (Rabu), bekalan air dah kembali pulih, kami pun hentikan caj berkenaan.

"Biasanya satu hidangan roti canai guna satu pinggan, satu mangkuk kuah, satu set sudu dan garfu... jadi kos datang di situ.

"Kami kena sediakan pinggan mangkuk sebab menurut notis yang dikeluarkan katanya tiga hari tak ada air. Ini semua dilakukan demi kebersihan. Tak ada air macam mana nak cuci kan?

"Kebersihan jadi keutamaan, saya tak akan berkompromi dalam aspek kebersihan," kata Burhan pada Khamis.

Saya rasa sakit hati, orang cakap saya nak untung banyak. Ini bukan caranya. Sedih bila mereka fikir kita nak kaut untung.

BURHAN MOHAMED

Pemilik Restoran Original Penang Original Kayu Nasi Kandar SS2

Mengulas penularan resit berkenaan di media sosial, Burhan berkata dia dimaklumkan mengenai perkara itu oleh rakan-rakannya.

Dia juga mengakui sedih dan terkilan apabila ada pihak yang cuba menularkan perkara tersebut tanpa usul periksa.

Resit tular yang memaparkan caj tambahan 20 sen pada Rabu.

"Kita ada pelanggan tetap, berniaga ni bukan bermusim atau dua tiga hari sahaja. Pelanggan pun semua pandai-pandai.

"Saya rasa sakit hati, orang cakap saya nak untung banyak. Ini bukan caranya. Sedih bila mereka fikir kita nak kaut untung.

"Bila air dah ada semalam, kami dah tak kenakan caj tambahan 20 sen tu," katanya lagi.

Pada Rabu, beberapa pengguna laman sosial di Instagram dan Twitter memuat salinan resit restoran berkenaan yang mengenakan caj tambahan 20 sen untuk pinggan dan mangkuk.

Ia pantas mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pengusaha restoran tersebut.

Malah, foto resit itu turut dimuat naik ke laman Twitter penulis blog dan Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Papagomo.

Untuk rekod, penduduk di beberapa kawasan di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Petaling, termasuk Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor  mengalami gangguan bekalan air sementara bermula 24 April.

Ia susulan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) yang dilaksanakan pada 24 April ini untuk tempoh 14 jam. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain