suria

20 minit suap tosei! Pelanggan kongsi versi penuh kisah pekerja mamak layan OKU, “Mana ada orang sanggup suap macam tu”

Tular gambar seorang pekerja di sebuah restoran mamak di Johor menyuapkan makanan kepada OKU. Foto ihsan Muhammad Syahmi Kamarol Zaman

"TIDAK ku minta lahir ke dunia, tidak ku duga cacat begini, bukan ku minta kasih dan manja, bukan ku rayu bantu simpati," bait-bait lirik lagu Namun Ku Punya Hati dendangan kumpulan The Revolvers pastinya mengundang sebak.

Mungkin itulah suara hati seorang remaja OKU (orang kelainan upaya) yang sedang makan di sebuah restoran mamak. Apa yang terbuku di hatinya hanya Tuhan saja yang tahu!

Lebih menyentuh hati apabila OKU berkenaan tidak keseorangan, sebaliknya ditemani oleh seorang pekerja restoran yang menyuapkan makanan ke mulutnya.

"Tersentuh hati melihat seorang insan yang hanya bergelar 'mamak' sedang menyuapkan orang kurang upaya. Aku respek abang mamak ni," menerusi tulisan di akaun Twitter @najib_fiqri yang mula tular sejak malam Isnin dengan diulang kicau lebih 27,000 kali.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bayangkan kalau tak sempat...” - Cucu nangis bagai nak gila lihat neneknya tekun suap 6 anak usia lebih 50 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak... Selesai jenazah dikebumikan, balik rumah jamah nasi lemak terakhir dimasak arwah emak

Seorang pemuda memuat naik gambar yang dikongsikan rakannya, di laman sosial sehingga menjadi tular.

Pengguna Twitter tersebut atau nama sebenarnya Muhammad Najib Fiqri Sulaiman, 19, memberitahu bahawa gambar pekerja restoran mamak yang menyuapkan makanan kepada OKU itu diambil daripada seorang rakannya yang menghantar gambar tersebut ke grup sembang WhatsApp.

Walaupun gambar tersebut tular kerana ia menyentuh emosi, namun ada juga segelintir netizen yang menganggap ayat 'hanya bergelar mamak' seolah-olah memperlekehkan pekerja restoran berkenaan.

"Hanya bergelar mamak tu bukan bermaksud saya menghina. Apa yang saya cuba sampaikan adalah masyarakat di luar sana sering memandang rendah pada golongan ini disebabkan mereka pekerja asing, tapi tindakannya menyuapkan OKU itu begitu tinggi nilai murninya," katanya kepada mStar.

Sementara itu, Muhammad Syahmi Kamarol Zaman, 19, yang merakamkan gambar tersebut pula berkata, ketika kejadian dia bersama rakan-rakannya mahu menikmati minum petang di sebuah restoran mamak dekat Scientex Skudai di Skudai, Johor pada petang Isnin lalu

Pekerja restoran itu begitu cermat menyuapkan makanan kepada OKU tersebut.

Duduk bersebelahan dengan meja OKU itu, Syahmi menjelaskan bahawa remaja tersebut pada awalnya keseorangan sebelum dihampiri oleh salah seorang pekerja restoran.

"Pertama kali saya nampak OKU tu, usianya dalam lingkungan awal 20-an. Badannya sangat kurus macam kurang makan. Dia ada kekurangan pada fizikal dan mungkin juga dalaman.

"Tanpa disuruh apatah lagi dipaksa, pekerja mamak tu dengan rela hati menyuapkan tosei kepada OKU tu. Mamak tu cubit sedikit-sedikit tosei tu, cicah dengan kuah kari sebelum disuapkan kepada OKU tu," katanya kepada mStar.

Saya kagum dengan pekerja ni sebab dia mencari rezeki di negara asing tapi tak lupa belas kasihannya pada orang kita yang kurang bernasib baik.

SYAHMI

Syahmi yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui dirinya begitu tersentuh apabila menyaksikan momen yang mengambil masa kira-kira 20 minit itu.

"Mamak tu suap makanan guna tangan kanannya, tangan kiri pula ditadah dekat bawah mulut OKU itu, bimbang kalau ada cebisan makanan yang terjatuh semasa disuap. OKU tu kemudian diberi minuman pula selepas makan.

"Mana ada orang sanggup suap begitu cermat macam tu melainkan kalau dengan orang tersayang saja. Saya percaya mamak tu dengan OKU tu tiada pertalian darah, tapi cara dia suap macam adik dia sendiri," katanya sambil menambah dia tidak mengenali pekerja tersebut, tetapi difahamkan dia telah berkhidmat di restoran berkenaan sejak lebih setahun lalu.

Syahmi terkenangkan dirinya semasa kecil disuap ibu ketika berdepan situasi Isnin lalu.

Malah, pemuda yang baru saja menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi ini membayangkan keadaan itu seperti dirinya semasa kecil disuap oleh ibu sendiri.

"Mula-mula tengok OKU tu keseorangan, saya rasa kasihan seolah-olah tiada siapa yang ambil peduli. Bila pekerja mamak tu datang menyuap dia, saya teringat mak suap saya masa kecil-kecil dulu.

"Saya kagum dengan pekerja ni sebab dia mencari rezeki di negara asing tapi tak lupa belas kasihannya pada orang kita yang kurang bernasib baik. Saya rasa sebak," katanya.

Sehubungan itu, Syahmi mempersoalkan tindakan segelintir masyarakat tempatan yang sering memandang rendah pekerja asing terutama yang bekerja di restoran mamak.

"Saya pernah melihat sendiri ada pekerja mamak yang dihina dan ditengking orang kita. Mungkin dia ada buat silap, kita tak tahu. Tapi kena ingat dia juga manusia seperti kita, ada hati dan perasaan," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain