suria

“Mereka macam lebihkan Anyau dalam segala perkara” - Anak cemburu, mak ayah rapat dengan kucing 'rajin’

Aksi Anyau ketika membantu bapa Ahmad Firdhaus Amin memasang langsir.

AKSI kucing ada kalanya sukar dijangka dan kini tular di Twitter apabila haiwan comel berbulu kelabu belang itu dirakam membantu tuannya memasang langsir.

Lagak si manja itu, persis pembantu berdedikasi mencuit hati netizen selepas gambarnya memanjat tingkap dan melihat dengan tekun langsir dipasang berjaya dirakam.

Pada posting tersebut, Ahmad Firdhaus Amin Ramlan, 26, memuat naik dua keping gambar kucing kesayangan keluarganya berserta kapsyen: “Bapak aku tengah pasang langsir dengan assistant (pembantu) dia.”

Sehingga kini, posting tersebut sudah menerima lebih 17,300 ulang kicau dan 11,300 tanda suka sejak ia dimuat naik di Twitter pada Rabu.

Aksi Anyau yang dirakam selepas selesai langsir dipasang.

Kata pereka grafik yang bekerja di Kuala Lumpur itu, gambar tersebut dirakam secara spontan oleh ibunya selepas menunaikan solat Subuh pada Rabu ketika bapanya ingin menukar langsir baharu.

“Sebenarnya keluarga kami ni suka tukar langsir, dalam setahun tu adalah dua ke tiga kali ganti langsir sebab mak saya tukang jahit.

“Anyau (kucing) ni pula memang suka menyibuk kalau orang buat kerja. Orang pasang langsir, dia pun nak pasang langsir,” katanya kepada mStar Online.

Tambah pemuda yang berasal dari Sungai Besar, Selangor itu, hubungan antara ibu bapanya dengan Anyau sangat rapat dan sehingga kadang-kadang membuatkan mereka adik-beradik berasa cemburu.

Anyaulah yang jadi peneman orang tua saya. Tapi, lepas setahun mak dan babah jaga Anyau, mereka macam lebihkan Anyau dalam segala perkara.

AHMAD FIRDHAUS AMIN

Kata graduan diploma seni grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, itu walaupun gambar tersebut mencuit hati, namun jauh di sudut hatinya dia berasa sayu kerana hanya tinggal Anyau sebagai peneman orang tuanya.

“Dulu rumah kami riuh sebab ada adik-beradik lain. Tapi sejak saya berpindah ke Kuala Lumpur, adik lelaki kedua pula bekerja di Sepang dan adik perempuan bongsu melanjutkan pelajaran di UiTM Jasin, rumah jadi sunyi.

“Anyaulah yang jadi peneman orang tua saya. Tapi, lepas setahun mak dan babah jaga Anyau, mereka macam lebihkan Anyau dalam segala perkara.

“Kalau Anyau cakar sofa, kami tidak boleh marah-marah, nanti babah marah kami balik,” katanya sambil berseloroh.

Bukan hanya pasang langsir, Anyau juga rajin 'menjahit'.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, gara-gara kucing tersebut terlalu dimanjakan oleh ibu bapanya, berat badannya naik kerana Anyau hanya mahu makan ayam rebus.

Menariknya, ibu bapa pemuda ini tidak pernah suka untuk membela kucing sebelum ini, biarpun dipujuk oleh mereka adik-beradik ketika masih kecil.

Bagaimanapun, orang tuanya mengubah fikiran apabila anak-anak sudah dewasa dan berasa sunyi kerana hanya tinggal berdua di rumah mereka yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Selain aksi memasang langsir, Anyau juga rajin 'membantu' ketika ibu Ahmad Firdhaus Amin sibuk menjahit.

Gambar keluarga dan Anyau ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Anyau, pasang langsir, kucing

Artikel Lain