"Tiada lagi tangan nak dipimpin lepas ni", siswi kongsi kisah sayu merindui saat bersama bapa tersayang - Viral | mStar

"Tiada lagi tangan nak dipimpin lepas ni", siswi kongsi kisah sayu merindui saat bersama bapa tersayang

TINGGAL KENANGAN... Aisyah (kanan) bergambar bersama arwah bapa, ibu dan juga tiga kakaknya semasa menunaikan umrah baru-baru ini. Foto ihsan Aisyah Munirah.

SUDAH menjadi rutin wajib anak bongsu daripada tujuh beradik ini untuk memakaikan stoking dan kasut kepada bapanya setiap kali keluar rumah sejak dua tahun lalu.

Namun rutin itu hanya tinggal kenangan buat Aisyah Munirah apabila bapanya, Amir Hamzah Mohd Ali, 58, meninggal dunia ketika berada di Madinah pada 5 Mac lalu.

Menurut Aisyah Munirah atau lebih mesra disapa Aisyah, dia bersama ibu, bapa dan tiga kakaknya berlepas ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah pada 11 Februari lalu.

Selesai mengerjakan umrah, Aisyah berkata mereka sekeluarga merancang melakukan ziarah ke Madinah, enam hari kemudian.

Namun dalam perjalanan ke Madinah, pelajar universiti awam di Tapah, Perak itu memberitahu bapanya diserang demam dan tiada selera untuk makan.

"Pada keesokan harinya, saya dan tiga kakak yang lain mahu turun sarapan pagi dan tiba-tiba abah mengadu tidak sedap badan dan tak larat nak ikut ziarah sekitar Masjid Nabawi.

"Jadi Umi temankan abah di hotel sahaja. Selepas sarapan pagi dan sebelum bertolak untuk ziarah, tiba-tiba Umi turun ke lobi dan beritahu abah sedang kesakitan serta sukar bernafas.

Gambar keluarga besar Aisyah Munirah semasa di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Ambulans pun tiba di hotel dan kami pun bergegas ke hospital. Selepas itu abah dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Madinah," katanya kepada mStar Online.

Jelas Aisyah lagi, bapanya sihat sebelum ke Makkah kecuali mengalami sakit kaki.

"Abah sihat tapi dia memang sakit kaki, jadi dia tak larat sangat nak berjalan. Dia juga susah nak pakai stoking dan kasut sendiri.

"Memang setiap masa kami adik-beradik yang pakaikan tapi kebanyakannya saya yang selalu tolong abah. Ia ibarat rutin wajib setiap kali nak keluar rumah sejak dua tahun lalu," katanya.

Aisyah turut meluahkan rasa sebak apabila pulang ke tanah air tanpa kelibat bapanya.

"Sepatutnya kami balik bersama ke Malaysia pada 22 Februari lalu tetapi saya pulang lebih awal bersama dua kakak, manakal Umi dan seorang lagi kakak saya masih berada di Madinah menjaga abah yang sedang dirawat di hospital.

"Sudah ketentuan Allah, abah akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya selepas 17 hari dimasukkan di hospital. Selepas selesai segala urusan berkaitan dokumen, jenazah abah disembahyangkan di Masjid Al-Nabawi dan dikebumikan di perkuburan Baqi," katanya.

Aisyah bersama ibu dan arwah bapanya semasa di Makkah. 

Meskipun sedih kerana tidak dapat menatap wajah bapanya buat kali terakhir, Aisyah meluahkan rasa syukur dengan percaturan Allah.

"Sedih sebab pusara dia jauh dari Malaysia tapi saya dan keluarga reda kerana perancangan Allah itu lebih baik.

"Tak semua orang bertuah untuk meninggal dunia di Tanah Suci, jadi abah antara insan yang terpilih," katanya.

Ditanya mengenai kenangan indah bersama bapanya, Aisyah Munirah berkata mereka sekeluarga sering sarapan pagi bersama-sama di sebuah restoran mamak kegemaran bapanya di Jalan Gombak, Setapak, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu.

"Dulu kami selalu sarapan pagi sama-sama. Abah suka makan tosai dan capati. Kadang-kadang saya teman abah lepak mamak malam-malam.

"Sekarang dah tiada lagi rutin seperti itu. Saya juga dah tak ada tangan nak pimpin selepas ini," katanya sebak.

Gadis berusia 20 tahun itu turut meluahkan rasa sedih apabila hasrat bapanya untuk menghantarnya balik ke universiti juga tidak kesampaian.

Aisyah turut berkongsi lokasi pengebumian bapanya di InstaStory miliknya.

"Sebelum pergi umrah abah janji nak hantar saya balik naik kereta ke kolej tapi abah tak sempat nak tunaikan hasratnya.

"Rasa sedih, sayu, kosong dan rasa kehilangan. Namun kehidupan perlu diteruskan. Walaupun abah sudah tiada, adik sayang abah sampai bila-bila ," katanya.

Aisyah berkongsi kisah pemergian bapanya di Twitter baru-baru ini sehingga menjadi perhatian netizen.

Perkongsian tersebut diulang kicau lebih 21,000 kali dan mendapat 25,000 tanda suka.

meninggal , Madinah , umrah

Artikel Lain