suria

Kak Yat ibarat melepas batuk di tangga, minta maaf hanya selepas terima LOD - Bekas klien doula bebas

SELEPAS lama menyepi, doula bebas Hayati Muzaffar akhirnya tampil membuat permohonan maaf kepada bekas kliennya, Noor Inora Puteri Noorzainy.

Permohonan maaf itu dibuat secara terbuka dalam satu posting di Facebook miliknya pada malam Khamis selepas menerima surat tuntutan (LOD) yang dihantar peguam ahli perniagaan tersebut.

Hayati atau lebih mesra disapa Kak Yat turut memberitahu dia tidak mempunyai niat jahat terhadap sesiapa dan kesal perkara tersebut menjadi tidak terkawal selepas kenyataannya menjadi tular.

"Saya ingin meminta maaf secara terbuka kepada Noor Inora Putri Noorzainy di atas kata-kata saya yang mungkin menyakitinya. Saya juga bertanggungjawab untuk memadam rakaman Facebook Live di mana saya memberi respons kepada posting asalnya dan satu lagi posting yang menggunakan gambar peribadi saya tanpa izin terlebih dahulu pada 1 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Melampau! Siap cakap saya nak makan McD hari-hari" - Bekas klien dedah sikap doula kontroversi, kecewa dihina

"Saya juga berharap permohonan maaf ini sebagai cara yang boleh diterima untuk meluahkan kekesalan saya apabila keadaan menjadi tidak terkawal sejak posting asal tersebut. Saya juga tidak berniat jahat atau mahu menyakiti sesiapa dan mendoakan yang terbaik untuk semua terlibat," katanya.

Hayati Muzaffar.

Noor Inora atau lebih mesra disapa Nora ketika dihubungi mStar Online berkata dia menghargai usaha Kak Yat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di atas beberapa dakwaan berunsur fitnah terhadap dirinya tempoh hari.

Namun, jelas Nora, dia kecewa apabila permohonan maaf itu dilakukan hanya selepas menerima surat tuntutan daripada peguamnya.

"Saya hargai usaha dia untuk minta maaf tapi perbuatan itu tidak nampak ikhlas dari hati. Dia sekadar minta maaf secara umum dan melakukannya selepas mendapat LOD dari peguam saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada doktor Indonesia latih doula, khidmat 'peneman' jadi trend selebriti bersalin - Dr Tri

"Perbuatannya itu ibarat melepaskan batuk di tangga.... lebih kepada sekadar untuk memenuhi tuntutan tersebut. Saya rasa jika surat itu tidak diserahkan kepadanya, dia pasti tidak akan minta maaf," katanya.

Menurut Nora, dia turut mempersoalkan tindakan Kak Yat yang enggan menjelaskan dakwaannya berhubung individu keempat yang didakwa menyertai kelas mereka dan kenyataan fitnah yang mendakwa dirinya mahu menikmati makanan segera setiap hari.

LOD yang dihantar peguam Nora kepada Kak Yat.

"Saya menunggu dia beri penjelasan mengenai dua dakwaan itu tetapi dia tidak beri sebarang respons mengenainya.

"Tak kiralah kumpulan (WhatsApp) tertutup atau tidak, ia tidak profesional apabila anda bercakap tidak baik mengenai klien anda. Ia menunjukkan anda tiada integriti," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia harus minta maaf" - Doktor pakar Indonesia malu dikait latih doula Malaysia

"Tujuan saya hantar LOD hanya untuk dapatkan kebenaran. Kalau betul apa yg dia cakap mengenai saya, jadi buktikan. Tak guna berbalas-balas di media sosial," katanya.

Dalam pada itu, Nora berharap insiden tersebut membuka mata orang ramai supaya tidak menyebarkan fitnah sesuka hati.

Kak Yat semasa sesi kelas bersama Nora dan suaminya. Foto ihsan Noor Inora

"Zaman sekarang ni jangan suka-suka fitnah tanpa bukti yang kukuh. Silap-silap boleh makan diri nanti. Nak trace akaun palsu semua boleh je periksa menerusi macam-macam saluran. Sekejap saja dah boleh kesan.

"Peringatan untuk semua, kalau anda pun mangsa fitnah, mangsa buli siber anda boleh ambil tindakan dengan upah peguam untuk dapatkan LOD. Jangan biarkan diri kita difitnah dan diambil kesempatan, perjuangkan hak anda," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Hayati Muzaffar, doula, Nora

Artikel Lain