Pelajar dedah tenaga pengajar lakukan gangguan seksual, sekolah memandu serah kepada polis buat siasatan - Viral | mStar

Pelajar dedah tenaga pengajar lakukan gangguan seksual, sekolah memandu serah kepada polis buat siasatan

Gambar hiasan.

SELEPAS seorang pelajar membuat pendedahan tentang insiden gangguan seksual yang berlaku di sebuah sekolah memandu di Lembah Klang, pihak pengurusan sekolah tersebut tampil untuk menjelaskan situasi sebenar.

Pelajar berusia 18 tahun itu mendakwa guru memandu yang dinamakan sebagai Cikgu Rosli telah meraba tangan, paha dan punggungnya semasa sesi latihan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Adakah pemanduan saya begitu teruk?” - Pelajar tergamam, cikgu sekolah memandu buat gangguan seksual

Gadis itu turut mendakwa tiada tindakan diambil oleh pengarah dan menerima layanan buruk daripada kakitangan kaunter di pusat latihan memandu tersebut.

Pengelola dan wakil dari Sekolah Memandu Excellence yang beroperasi di Klang, Gavin Tan berkata, pihaknya menafikan ada menerima aduan berhubung insiden itu daripada pelajar terbabit.


Posting yang dimuat naik oleh pelajar tersebut pada Jumaat.

"Pengalaman saya, jika pelajar mengalami situasi begini, mereka akan terus adukan kepada kami dan kami akan bertanya kepada kedua-dua pihak. Sebaik sahaja mengetahui kisah sebenar, tindakan sewajarnya akan diambil.

"Tapi bagi kes ini, pelajar tidak datang kepada kami dan orang yang bernama Mr Jason seperti didakwanya itu tidak bekerja di sini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Syazwani Aqilah menerusi posting asalnya mendakwa dia percaya kejadian sama pernah berlaku sebelum ini dan tiada tindakan diambil oleh pengarah pusat latihan memandu yang tulis sebagai 'Mr Jason.'

Namun, Gavin menegaskan bahawa pihaknya mengamalkan polisi tolak ansur sifar terhadap kes melibatkan gangguan seksual dalam kalangan kakitangannya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak sekolah memandu tersebut sudah mendapatkan nasihat daripada peguam selepas insiden itu tular di media sosial.

Apabila sudah jadi kes polis, kami tidak boleh buat apa-apa kerana perlu menghormati pihak polis untuk jalankan siasatan.

GAVIN TAN

"Sebenarnya calon sudah buat laporan kepada pihak polis, jadi kami tidak boleh memanjangkan cerita. 

"Selepas calon muat naik di media sosial, kami belum sempat nak panggil dia dan tanya apa sebenarnya yang berlaku. Pelajar itu terus buat laporan polis.

"Apabila sudah jadi kes polis, kami tidak boleh buat apa-apa kerana perlu menghormati pihak polis untuk jalankan siasatan," ujarnya sambil menambah bahawa Sekolah Memandu Excellence telah beroperasi lebih 10 tahun.

Gavin turut memberitahu, mana-mana pelajar yang mengalami sebarang masalah dengan tenaga pengajar hendaklah memaklumkan mengenai perkara itu kepada pihak pengurusan agar tindakan segera boleh diambil.

Tambahnya, calon berhak untuk menukar tenaga pengajar sekiranya berasa tidak selesa dengan mereka.

Sekolah Memandu Excellence memiliki lebih 50 tenaga pengajar bertauliah.

gangguan seksual

Artikel Lain

Mayat Nora Anne sudah dituntut