suria

Siapa mandi dapat mainan! NGO seru orang ramai derma permainan saiz kecil untuk buat sabun

Para sukarelawan menghasilkan sabun buatan sendiri yang beraneka warna dan mengandungi permainan untuk menggalakkan kanak-kanak menjaga kebersihan diri.

"KAMI nak kikis persepsi masyarakat terhadap orang miskin. Orang miskin kononnya tak jaga kebersihan."

Begitu kata ahli badan bukan kerajaan (NGO) Kembara Insani, Hisham Misripin ketika ditanya tentang usaha pihaknya memperkenalkan projek 'Hope Soap' (Sabun Harapan) kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

Idea untuk menghasilkan sabun mengandungi alat permainan timbul selepas salah seorang sahabatnya mendapat inspirasi daripada projek Hope Soap di Afrika Selatan.

"Saya tertarik dengan idea 'Hope Soap' ini untuk menggalakkan budak-budak mengamalkan kebersihan diri.

"Selepas kami memberikan sabun kepada kanak-kanak ini, rata-rata teruja dan terus berlari nak mandi sebab mereka tak sabar nak dapatkan permainan di dalamnya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Posting mengenai projek tersebut turut tular selepas ia dimuat naik di Twitter pada Sabtu.

Namun, cabaran utama bagi NGO tersebut adalah mendapatkan permainan bersaiz kecil yang sesuai untuk dimasukkan di dalam sabun buatan sendiri itu.

Sabun beraneka warna dan permainan menanti kanak-kanak yang kurang berkemampuan.

"Saya harap orang awam dapat menderma permainan yang mereka tidak gunakan lagi kepada kami supaya lebih ramai kanak-kanak yang mendapat manfaatnya.

"Sabun ini tidak hanya diberikan kepada kanak-kanak miskin luar bandar, tetapi anak-anak miskin bandar pun tidak dipinggirkan," katanya sambil menambah kos menghasilkan sabun berasaskan gliserin (tanpa permainan) itu adalah RM4 sebuku.

Setakat ini pihaknya sudah mengagihkan lebih 400 sabun kepada kanak-kanak di Papar, Sabah; Kemaman, Terengganu; Kuala Nerang dan Sik, Kedah serta Shah Alam, Selangor sejak dilaksanakan pada tahun lalu.

Bagi mereka yang berminat untuk menyumbangkan alat permainan, boleh menghubungi wakil NGO Musliyana Mansor di talian 017-733 1538.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Hope Soap

Artikel Lain