Pendakwah bawa diri selepas dihentam, dia tak minta dipanggil 'ustaz' - Adik - Viral | mStar

Pendakwah bawa diri selepas dihentam, dia tak minta dipanggil 'ustaz' - Adik

Ad-Dien bersama adiknya, Mei (kiri) dan Mia. - Foto ihsan Mei.

GARA-gara dituduh tidak layak berbicara perihal agama, seorang pendakwah popular di media sosial, 'Ustaz' Ad-Dien mengejutkan pengikutnya apabila menyahaktifkan akaun Twitternya.

Seorang pengguna Twitter, Asrul Muzaffar yang sentiasa mengikuti perkembangan Ad-Dien mendakwa pendakwah berusia 29 tahun itu menjadi mangsa buli siber.

"Ustaz @AdDien90 deactivate Twitter sebab desakan malaun yang tuduh beliau tak layak berbicara hal agama, hanya kerana dia juga tweet pasal games dan muzik.

"Padahal penjelasan Addien mengenai hadis lebih berfakta dan lengkap rujukan dari retorik sempit para ustaz selebriti," kata Asrul Muzaffar.

Kehilangan Ad-Dien di platform media sosial itu masih menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan pengikutnya.

Malah ada juga yang mengecam tindakan individu tertentu yang mendorong Ad-Dien untuk meninggalkan dunia Twitter.

Posting terakhir Ad-Dien sebelum menyahaktifkan Twitternya.

Mei, adik kepada Ad-Dien atau nama sebenarnya, Mohamad Dhiyauddin Abdul Kadir ketika dihubungi mStar Online mengesahkan abang sulungnya itu semakin baik dan sedang 'berehat' di kampung.

"Alhamdulillah dia nampak makin ok. Jika awal-awal dulu dia banyak mendiamkan diri, tak ceria, muram dan suka duduk dalam bilik.

"Kadang-kadang kita duduk ruang tamu dia pergi ke dapur, kalau kita kat dapur dia pergi ruang tamu. Dia macam nak mengelak sesuatu tapi sekarang dia dah boleh diajak bergurau.

"Insya-Allah dia tak apa-apa. Dia ada je kat kampung (Temerloh). Saya minta netizen berilah dia masa dan ruang untuk tenangkan diri," katanya.

Menurut Mei, dia kecewa dengan sikap segelintir netizen yang menghentam abang sulungnya itu gara-gara tweet berkaitan games dan muzik di Twitternya.

"Saya rasa semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Macam abang pun saya lagi tau dia macam mana. Saya tau sifat dia, saya tahu kurangnya dia, lebihnya dia.

"Pada saya dia sendiri tak mengejar title 'Ustaz' sebab dia tak nak orang bangga-banggakan... tak nak orang julang dia.

"Jadi bagi saya kalau betul kita ni orang bermotivasi tak mudah koyak dekat Twitter, kita sepatutnya gunakan media sosial sebagai medium untuk jadi aspirasi kepada orang lain bukan hentam atau hakimi orang lain," katanya.

Ad-Dien kini sedang berehat di kampungnya di Temerloh, Pahang. Foto IG Ad-Dien.

Jelas anak ketiga daripada lima beradik itu, abangnya amat meminati ilmu pengajian Islam dan mengikut jejak arwah datuk mereka, Tuan Guru Haji Ismail yang amat terkenal di Temerloh.

"Ramai yang tak tahu abang sebenarnya lulusan kejuruteraan bangunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak. Lepas tu, dia sambung pengajian kontemporari Islam di Kolej Islam Antarabangsa sebab minat ke arah itu (ilmu agama).

"Sebenarnya dalam keluarga kami rasa dia mewarisi sifat-sifat yang ada pada arwah atok kami. Dulu arwah atok ajar agama dekat Temerloh. Dia tak mudah hakimi orang lain. Saya tak pernah dengar dia cakap buruk pasal orang lain.

"Jadi kadang-kadang sifat orang yang sabar ni dia mungkin banyak pendam apa yang terbuku di hati. Mungkin perkara tu yang buat dia tertekan juga," katanya.

Ditanya mengenai permintaan netizen yang mahu Ad-Dien kembali ke Twitter, Mei berkata dia tidak menggalakkan abangnya untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini saya pun tak sarankan dia kembali ke Twitter. Tapi saya rasa dia boleh guna medium lain untuk berdakwah.

"Lagipun sebelum ni dia banyak menulis dekat blog, guna Telegram. Jadi ilmu tu masih boleh dicari dan netizen sendiri kena ada usaha untuk mencari ilmu, tak semestinya orang yang memberi ilmu tu cari netizen," katanya.

Mei (tengah) berkata Ad-Dien semakin ok, sudah boleh bergurau. - Foto ihsan Mei.

Pada masa sama, Mei yakin hentaman netizen tidak sesekali akan mematahkan semangatnya untuk terus berdakwah.

"Insya-Allah dia tak akan berhenti berdakwah. Dia ok. Saya tak rasa dia tertekan semata-mata kerana kritikan netizen. Mungkin dia ada masalah lain yang kita tak tahu kerana tak semua benda kita boleh cerita dekat orang lain," katanya.

Ad-Dien amat terkenal dalam kalangan pengguna Twitter kerana rajin menjawab soalan netizen yang keliru dengan perkara berkaitan hukum.

Dia mempunyai seramai 137,600 pengikut di platform media sosial itu.

Ad-Dien , Twitter

Artikel Lain