“Pukul 2 pagi saya tengok gambar dia dengan ‘perempuan’ tu” - Suami dapat habuan sakat isteri hamil 4 bulan - Viral | mStar

“Pukul 2 pagi saya tengok gambar dia dengan ‘perempuan’ tu” - Suami dapat habuan sakat isteri hamil 4 bulan

Foto Al Afif bersama sahabatnya yang disangka sebagai wanita, baru-baru ini. FOTO: Twitter @@MuhdAlAfif

ISTERI mana yang tidak terkejut dan marah apabila melihat foto mesra suaminya bersama wanita lain.

Situasi itulah yang berlaku terhadap Intan Mardhiah Mohd Tajudin, 23, yang sedang hamil hampir empat bulan, beberapa hari lalu.

Perkara itu dikongsi menerusi laman Twitter pada Selasa dan ia menarik perhatian ramai sehingga menerima 40,000 ulang kicau (Retweet).

Bagaimanapun, 'wanita' berambut panjang dalam foto berkenaan sebenarnya merupakan seorang lelaki sejati yang juga rakan suaminya.

Intan Mardhiah ketika dihubungi mStar Online pada Khamis mengaku terkejut sebaik sahaja menerima foto berkenaan daripada suaminya.

Wanita itu berkata, suaminya, Muhammad Al Afif Kamaruzaman, 23, sememangnya suka menyakat dan ini merupakan gurauan paling teruk yang pernah dilakukan ke atasnya.

Posting yang menarik perhatian ramai pelayar Twitter.

"Masa tu saya tengah tidur di rumah mak saya di Seremban, sekitar pukul 2 pagi saya tersedar dan tengok dia hantar WhatsApp gambar dengan 'perempuan' tu.

"Saya zoom in, badan macam perempuan, baju ketat, dengan rambutnya lagi yang panjang.

"Memang sedih, tambah-tambah tengah berisi, dia buat perangai. Nak marah tapi takut terkeluar perkataan tak elok, terus saya block WhatsApp. Saya cakap, kalau dia nak, dia carilah saya," jelasnya, Khamis.

Dalam pada itu, Al Afif yang turut berada di samping isterinya sewaktu dihubungi mengakui prank berkenaan merupakan ideanya sendiri yang tercetus ketika sedang melepak bersama beberapa rakan di gerai mamak.

Jelasnya lagi, dia juga tidak menyangka perkongsian yang dimuat naik di laman Twitter itu akan menarik perhatian ramai netizen.

Al Afif dan isterinya, Intan Mardhiah ketika majlis perkahwinan mereka 21 Julai lalu.

"Masa tu tengah lepak mamak, kawan saya tu rambut dia memang panjang, tapi dia baru buat rambut. Nampak cantik macam rambut perempuan.

"Jadi saya tangkap gambar dan hantar kepada isteri. Lepas tengok terus dia merajuk. Bila dia block WhatsApp, saya mesej menggunakan (Direct Message) DM Instagram untuk hantar gambar sebenar kawan saya tu," jelas Al Afif.

Tambahnya lagi, selain minta maaf, dia turut membelikan coklat dalam usaha memujuk isterinya.

Wajah sebenar sahabat Al Afif.

Dalam pada itu, tweet berkenaan turut dihujani pelbagai komen netizen.

"Ni kalau laki aku yang buat ni memang tak payah block, on the spot aku gali kubur dia belakang rumah. Tunggu balik je ni," tulis @theaylasya.

"Yang member pun posing betul-betul cam perempuan apsal hahahahaha menyirap aku tengok," tulis @Anepvr2_.

"Kalau buat camni kat bini aku, time balik tu dah dengar bunyi parang diasah dari luar rumah," tulis seorang lagi netizen.

 

Artikel Lain