"Saya ingatkan dah tergunting kakinya..." - Pemilik panik jadi 'bidan' sambut 10 anak kucing - Viral | mStar

"Saya ingatkan dah tergunting kakinya..." - Pemilik panik jadi 'bidan' sambut 10 anak kucing

Pemiliknya tidak menyangka Max mampu bertahan dan hidup sehingga hari ini. FOTO: Twitter HizamiLi

HAIWAN peliharaan bukan sahaja menjadi pendamping kepada pemilik, malah ia kadang kala dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Manakan tidak, setelah seharian keluar bekerja, segala kepenatan bagaikan lenyap tatkala si comel menyambut kepulangan anda.

Di laman Twitter misalnya, tular kisah seekor kucing unik bernama Max yang hanya memiliki dua kaki.

Malah, keletah serta kecomelan Max pantas menarik perhatian ramai sehingga posting mengenainya menerima hampir 16,000 ulang kicau (retweet).

Pemilik kepada haiwan comel berkenaan, Muhammad Nur Hizami Abd Rahim berkata, dia sama sekali tidak menyangka Max mampu hidup dan bertahan sehingga hari ini.

Jejaka berusia 30 tahun itu ketika dihubungi mStar Online turut berkongsi kisah kelakar tapi mendebarkan ketika dia menjadi 'bidan' menyambut kelahiran 10 ekor anak kucing dan saat pertama kali menyedari keadaan Max yang hanya memiliki dua kaki, sekitar enam bulan lalu.

Kucing milik Hizami melahirkan 10 ekor anak termasuk Max yang hanya memiliki dua kaki.

"Mula-mula mak dia beranak, saya terkejut sebab keluar 10 ekor. Lepas tu tali pusat berbelit, saya terpaksa gunting sendiri.

"Saya tengok kaki belakang Max tak ada, terus rasa takut sebab ingatkan saya tersilap gunting kaki dia, rupanya memang tak ada kaki," ujarnya pada Khamis.

Hizami yang menetap di Alor Gajah, Melaka berkata, Max pada mulanya mengalami kesukaran gara-gara kekurangan dirinya.

Namun, dia kini mampu membuang air sendiri serta boleh bergerak bebas sehingga mampu memanjat dinding yang tinggi.

"Sekarang dia dah boleh jaga diri sendiri. Tapi kadang-kadang saya seram bila tengok dia memanjat pakai dua kaki sahaja.

"Dari segi keletah pula, dia memang manja, tapi kadang-kadang suka menyorok, pemalu pun ada.

"Saya anggap Max ni seperti pembawa rezeki. Tak sangka ramai orang suka sehingga viral macam ni," katanya lagi.

Kecomelan Max yang menarik perhatian ramai khususnya di laman Twitter.

Dalam pada itu, populariti yang diraih Max di laman Twitter turut memberi ilham kepada Hizami untuk membuka akaun Instagram khusus untuknya, atas permintaan ramai.

Akaun maxx.purr itu mula dibuka pada Rabu dan sudah pun mengumpul lebih 200 pengikut dalam tempoh kurang 24 jam.

Jelas Hizami lagi, dia enggan menyerahkan Max biarpun ada yang berminat untuk membelanya kerana gusar mereka tidak mampu menjaga si bulus comel itu dengan baik.

"Sekarang ni saya jaga tiga ekor je, tapi memang sayang dia lebih sikit berbanding yang lain.

"Saya risau kalau orang lain bela, mereka tak boleh nak jaga betul-betul, ditambah dengan kekurangannya yang hanya ada dua kaki," jelasnya lagi.

Max , kucing , dua kaki

Lebih Artikel