Mat Redho jadi calon Anugerah Perdana Belia Negara - Syed Saddiq - Viral | mStar

Mat Redho jadi calon Anugerah Perdana Belia Negara - Syed Saddiq

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mencalonkan Mohd Redha Rozlan sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara susulan kejayaan atlet sukan ekstrem itu dalam Liga Cabaran Ninja (NCL) 2018 di Perth, Australia.

Syed Saddiq berkata, Mohd Redha Rozlan atau Mat Redho, 30, adalah inspirasi sebenar kepada ramai belia negara dan beliau berterima kasih kepadanya kerana telah mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedih! Menang ‘Ninja Challenge League’, hakikatnya Mat Redho

"Nama Mat Redho ini dibawa kepada perhatian saya dalam tiga minggu lepas oleh rakan-rakan netizen sendiri.

"Saya sudah maklumkan kepada pihak KBS untuk mencari jalan membantunya," katanya menerusi rakaman video berdurasi 43 saat yang dimuat naik di laman Facebook pada petang Rabu.

Syed Saddiq turut mengucapkan ribuan tahniah kepada Mat Redho yang dinobatkan sebagai juara NCL2018 dan berjaya mengalahkan juara American Ninja Warrior, Jake Murray yang berada di tempat kedua.

Tahniah MatRedho atas kejayaan dalam Ninja Challenge League 2018 di Perth Australia dua hari lepas. . Saya di sini ingin mencalonkan saudara Mat Redho sebagai penerima Anugerah Khas bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2018. . Congrats bro! You are an inspiration to many Malaysians!💪🏼🇲🇾

Posted by Syed Saddiq Syed Abdul Rahman on Tuesday, November 6, 2018

Rakaman ucapan oleh Syed Saddiq terhadap kejayaan atlet sukan ekstrem, Mat Redho di Perth Australia.

Sebelum ini mStar Online melaporkan, kejayaan Mat Redho merangkul gelaran juara NCL2018 di Perth, Australia nyata mengharumkan nama negara, namun siapa sangka 'Ninja Malaysia' itu sebenarnya berdepan masalah tajaan.

Mat Redho mengakui dia terpaksa 'pecah tabung' setiap kali menyertai pertandingan di luar negara.

"Setiap kali bertanding di luar negara, memang saya akan pergi sendiri atau tambang sendiri dan dalam masa yang sama saya hantar banyak permohonan untuk ditaja.

"Cuma beberapa pihak sahaja yang membantu dan bagi pertandingan di Perth (NCL2018) ni, sehingga kini memang tak ada tajaan dari mana-mana pihak," katanya yang masih berada di Perth ketika dihubungi mStar Online.

Syed Saddiq , Mat Redho

Artikel Berkaitan

Artikel Lain