suria

Dua menteri jalani kuarantin selepas Tok Pa positif Covid-19

Redzuan (tengah) dan Saifuddin (kanan) kini menjalani kuarantin susulan Mustapa (kiri) disahkan positif Covid-19.

SEKURANG-kurangnya dua menteri kini menjalani kuarantin selepas Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif Covid-19.

Kedua-dua mereka duduk di sebelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu semasa mesyuarat Kabinet di Putrajaya, pada 6 Januari lalu.

Turut diarahkan untuk menjalani ujian saringan adalah para pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menghadiri mesyuarat parti bersama Mustapa pada hari yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa disahkan positif Covid-19

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa mereka telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan kini menjalani kuarantin sebagai langkah pencegahan.

"Tiada hubungan secara fizikal sepanjang mesyuarat Kabinet. Kami bukan sahaja jauh dari segi fizikal, bahkan terdapat skrin antara kami. Kami juga memakai pelitup muka.

"Walau bagaimanapun, sebagai kontak rapat yang dikenal pasti, saya akan menjalani ujian swab dan juga kuarantin seperti yang diarahkan," kata Mohd Redzuan.

Dalam mesyuarat itu, menteri-menteri memberitahu bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin duduk dengan jarak kira-kira tujuh kerusi, iaitu tujuh meter dari kedudukan Mustapa.

Saifuddin berkata, walaupun beliau tidak mengalami sebarang gejala, beliau tetap memantau dirinya di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Beliau juga akan melakukan ujian swab dan akan tetap menjalani kuarantin sehingga diberi kebenaran oleh Kementerian Kesihatan semasa pemeriksaan kali kedua.

Mustapa yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) disahkan positif Covid-19, pada Sabtu.

Beliau disahkan positif Covid-19 pada Sabtu malam, selepas mendapat keputusan ujian saringan sejurus tiba di Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Lumpur pada pagi hari yang sama.

Mustapa kini dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baru untuk pemantauan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya, beliau dalam keadaan stabil.

Tambah kenyataan itu, Mustapa menjalani ujian saringan Covid-19 pada 1 Januari lalu dan keputusannya adalah negatif.

"Oleh itu, semua kontak rapat beliau dari 1 Januari hingga 9 Januari disarankan untuk menjalani ujian saringan secepat mungkin. Beliau memohon maaf di atas kesulitan yang timbul," menurut kenyataan itu. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain