suria

Kes pukul: Mahkamah perintah Pavithra hantar surat rasmi tarik balik tuduhan terhadap Sugu

Pasangan ini terpalit kontroversi gara-gara Sugu didakwa mencederakan Pavithra pada bulan lalu.

MAHKAMAH pada Isnin mengarahkan YouTuber masakan sensasi, S Pavithra untuk menghantar surat rasmi bagi menarik balik pertuduhan terhadap suaminya, M Sugu berhubung satu kes pukul.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Hakim Norashima Khalid mengeluarkan perintah berkenaan pada sebutan semula kes mendatangkan kecederaan yang dihadapi Sugu terhadap isterinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa Pavithra, 28, mahu menarik balik kes berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi kes pukul, duo YouTuber Sugu Pavithra tidak perlu bimbingan kaunseling JKM

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 September depan sebagai sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Sugu didakwa mendatangkan kecederaan di bibir, pipi kiri dan lengan kanan Pavithra menggunakan telefon bimbit dan hulu sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini antara jam 4 petang hingga 5 petang 21 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika didapati bersalah.

Norashima turut menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis tiger di parkir HRPB di sini pada jam 6 petang hari sama.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sugu yang diwakili Peguam, S Sundarajan hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja kelabu dan berseluar hitam, manakala Pavithra turut dilihat berada di pekarangan mahkamah bersama anak bongsunya untuk memberi sokongan terhadap sebutan kes suaminya hari ini. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Sugu, Pavithra, YouTube, kes pukul

Artikel Lain