Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi.

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar manakala ada juga yang sedang mencuba untuk memulihkan perniagaan mereka daripada kerugian yang terpaksa ditanggung ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, dalam kita menghadapi pelbagai ketidaktentuan ini, terdapat beberapa realiti yang memerlukan perhatian ramai khususnya dalam sektor pembetungan.

Kepastian atau realiti pertama yang kita dapat saksikan adalah bagaimana alam sekitar menjadi lebih bersih apabila kualiti air sungai meningkat.

Dalam laporan media sebelum ini, telah memetik Pengurus Program Pulihara Sungai, Global Environment Centre (GEC), Dr Kalithasan Kailasam, yang menyatakan kualiti air di beberapa batang sungai menjadi lebih baik ekoran kegiatan manusia dan industri yang berkurangan ketika tempoh PKP.

Keadaan ini pastinya disambut baik ketika menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lepas.

Realiti kedua pula adalah, ketika kita berada dalam tempoh PKP baru-baru ini, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd serta petugas-petugas barisan hadapan dan perkhidmatan penting yang lain, telah meneruskan perkhidmatan mereka dengan penuh dedikasi.

Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kesemua aset IWK termasuk 8,146 buah Loji Rawatan Kumbahan (LRK) dan stesen pam telah beroperasi bagi memastikan alam sekitar dan kesihatan awam terpelihara.

"Perkhidmatan IWK yang berterusan adalah bagi memastikan air sisa atau efluen terawat dilepaskan ke perairan tanpa membahayakan alam sekitar.

"Adalah mustahak untuk LRK terus menghasilkan efluen terawat yang berkualiti sepanjang masa bagi memastikan alam sekitar dan komuniti berhampiran terpelihara," katanya.

Namun menurut Ahmad Johnie, tugas untuk mengimbangi perbelanjaan operasi dengan kualiti perkhidmatan yang disediakan bukanlah mudah.



Ketika tempoh PKP baru-baru ini, IWK serta petugas-petugas barisan hadapan dan perkhidmatan penting yang lain, meneruskan perkhidmatan mereka dengan penuh dedikasi.

Ini kerana katanya, dengan pertambahan aset-aset pembetungan baharu yang diambil alih oleh kerajaan dan diserahkan kepada IWK, di tambah pula dengan peningkatan aset yang telah berusia serta keperluan pematuhan piawaian yang tinggi, sudah pasti IWK berhadapan dengan cabaran kos operasi yang kian meningkat.

"Hakikat ini berkait rapat dengan realiti seterusnya iaitu, biarpun IWK berhadapan dengan kekangan kewangan yang mencabar, namun IWK telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menurunkan kos operasi mereka.

"Pada masa yang sama, IWK terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggannya di seluruh negara," ujar beliau.

Sejak 2015, IWK telah berjaya mengurangkan perbelanjaan operasinya biarpun terdapat peningkatan aset pembetungan yang perlu diuruskan, dengan mengekalkan tahap perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Ahmad Johnie berkata, kos operasi sebenar untuk setiap premis domestik adalah kira-kira RM18, iaitu sebanyak 12 peratus lebih tinggi daripada caj semasa iaitu sebanyak RM8 sebulan yang perlu dibayar pelanggan sekarang.

"Kerajaan sememangnya, menyalurkan subsidi bagi mengatasi jurang kos yang perlu ditanggung IWK, namun adalah lebih baik jika peruntukan subsidi tersebut dapat dimanfaatkan kepada golongan yang lebih memerlukan.

"Realitinya, caj perkhidmatan pembetungan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia jika dibandingkan dengan perkhidmatan yang disediakan.

"Bagi setiap m3 air sisa yang dirawat oleh IWK, pelanggan hanya membayar kurang daripada 30 sen. Namun begitu caj tersebut tidak pernah dikaji semula sejak 26 tahun syarikat pembetungan nasional ini mula beroperasi," tambahnya.



Perkhidmatan IWK yang berterusan adalah bagi memastikan air sisa atau efluen terawat dilepaskan ke perairan tanpa membahayakan alam sekitar.

Sebelum ini, banyak juga laporan media melaporkan bahawa ada pemilik perniagaan yang memutuskan untuk menaikkan harga produk atau perkhidmatan mereka, bagi memastikan perniagaan mereka kekal beroperasi setelah mengalami tamparan hebat ketika tempoh PKP.

Beliau memberitahu, walaupun tempoh PKP hanya beberapa bulan sahaja tetapi ia telah mendorong banyak peniaga mengambil langkah ini bagi mengimbangi sumber pendapatan agar dapat terus beroperasi.

"Dalam keadaan yang tidak pasti, syarikat pembetungan nasional juga turut berada dalam keadaan getir, terutama kerana IWK tidak pernah menaikkan cajnya sejak ditubuhkan.

"Ini telah memberikan kesan hebat kepada kesinambungan operasi dan kewangan syarikat.

"IWK sememangnya memerlukan sokongan dan sumbangan daripada pelanggannya demi memastikan syarikat ini dapat terus memelihara alam sekitar untuk kita semua dan generasi akan datang," katanya.

Justeru, Ahmad Johnie berkata, amatlah perlu satu kajian dijalankan untuk menyelaras caj perkhidmatan pembetungan dengan kos operasi agar syarikat pembetungan nasional ini dapat menampung kelangsungan operasi dan kemampanan mereka.



Sejak 2015, IWK telah berjaya mengurangkan perbelanjaan operasinya biarpun terdapat peningkatan aset pembetungan yang perlu diuruskan, dengan mengekalkan tahap perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Pada masa yang sama, katanya, IWK juga akan dan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memperbaiki kedudukannya menerusi perniagaan lain seperti projek menukarkan sisa kepada tenaga (penggunaan semula bio pepejal kepada pengeluaran tenaga diperbaharui), membangunkan perniagaan guna semula air dan pengurusan sistem perangkap lemak, minyak dan gris.

"Dengan penyelarasan tarif IWK, subsidi kerajaan sememangnya boleh disalurkan terus kepada pelanggan kategori B40, contohnya menerusi program e-Kasih.

"Pelanggan IWK yang layak di bawah program e-Kasih boleh memohon untuk mendapatkan bantuan atau pengurangan bagi jumlah caj perkhidmatan pembetungan ini.

"Malah, cadangan bagi penyelarasan tarif ini bukan sahaja bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat, tetapi sekali gus dalam memastikan kesihatan awam dan penjagaan alam sekitar terus terpelihara untuk Malaysia," kata beliau.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

IWK, Ahmad Johnie Zawawi, Covid-19, PKP, GEC, LRK,

Artikel Berkaitan

Klik

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain