suria

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

Terima kasih kepada pembayar cukai di atas sumbangan mereka kepada Malaysia. Foto ART CHEN/The Star

Simpanan tahunan bersama LHDNM

Hari ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Lebih ramai rakyat memerlukan bantuan kerajaan berbanding sebelumnya, malahan ada yang terpaksa bergantung kepada insentif kewangan daripada kerajaan.

Ia bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan berikutan ramai yang terjejas sehingga kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah besar dana untuk membantu rakyat yang terkesan dari segi kewangan serta menambah baik dan meningkatkan infrastruktur perubatan bagi memerangi wabak tersebut.

Adakah anda pernah terfikir bagaimana kerajaan memperoleh wang untuk menampung semua peruntukan itu?

Terima kasih kepada pembayar cukai di atas sumbangan mereka kepada Malaysia.

Adakah anda pembayar cukai?

Pembayar cukai ditakrifkan sebagai mereka yang menerima pendapatan tahunan melebihi RM34,000 selepas potongan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan dengan itu menjadikan mereka layak untuk dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Oleh itu, pembayar cukai perlu mendaftarkan fail cukai pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Pada tanggal 1 Mac setiap tahun, mereka yang layak membayar cukai perlu menyatakan pendapatan mereka dan membayar cukai yang sewajarnya kepada LHDNM melalui laman web HASiL.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tempoh untuk menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) telah dilanjutkan.

Bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan, mereka boleh mengemukakan Borang BE (e-BE) sehingga 30 Jun 2020, manakala individu yang menerima pendapatan daripada perniagaan boleh mengemukakan (e-B) sehingga 31 Ogos 2020.



Pelepasan cukai

Bagi mereka yang kurang memahami tentang percukaian, cukai pendapatan dianggap sebagai satu bebanan besar.

Namun, tahukah anda bahawa cukai pendapatan yang dikenakan kepada anda dapat dikurangkan menerusi pelepasan cukai yang telah dibentangkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan Tahunan setiap tahun?

Terdapat 21 senarai pelepasan cukai untuk tahun 2019. Pelepasan cukai mengurangkan kadar jumlah pendapatan anda yang seterusnya akan mengurangkan pendapatan bercukai anda.

Berikut merupakan senarai 21 jenis pelepasan cukai tersebut.



Potongan cukai

Potongan cukai hampir sama dengan pelepasan cukai. Walaupun pelepasan cukai adalah potongan daripada jumlah pendapatan untuk memperoleh pendapatan bercukai anda, potongan cukai mengurangkan jumlah pendapatan bercukai.

Secara tidak langsung, ia dapat membantu anda mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.

Anda boleh membuat potongan sehingga tujuh peratus daripada jumlah pendapatan anda untuk tujuan derma, hadiah atau sumbangan di bawah kategori ini:

• Hadiah wang kepada institusi/ organisasi/ dana yang diluluskan

• Hadiah wang untuk sebarang aktiviti sukan yang diluluskan

• Hadiah wang atau kos sumbangan dalam sebarang bentuk projek kepentingan negara yang diluluskan

Terdapat juga kategori yang tidak terhad kepada tujuh peratus daripada jumlah pendapatan agregat anda di mana ia boleh mencapai nilai hadiah kecuali dinyatakan sebaliknya seperti:

• Hadiah wang kepada kerajaan/ kerajaan negeri/ pihak berkuasa tempatan

• Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan

• Hadiah wang atau sumbangan untuk kemudahan orang kelainan upaya (OKU) di tempat awam

• Hadiah lukisan ke Galeri Seni Negara atau galeri seni negeri

• Hadiah wang untuk perpustakaan tidak melebihi RM20,000

• Hadiah wang atau peralatan perubatan tidak melebihi RM20,000 kepada kemudahan kesihatan yang diluluskan

Berkongsi rezeki dengan orang lain

Membayar cukai tidak akan dianggap sebagai beban sekiranya anda benar-benar memahami konsepnya.

Bagaimana perasaan anda apabila dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan?

Sebahagian besar daripada kita akan berasa gembira dan puas apabila melihat orang lain gembira menerima hadiah dan sumbangan kita.

Perasaan inilah yang sama dirasai apabila kita membayar cukai. Cukai yang dibayar akan digunakan oleh kerajaan untuk kepentingan semua rakyat Malaysia.



Jom klik HASiL!

Anda kini menyedari bahawa pendapatan bercukai anda dapat dikurangkan dengan membuat tuntutan pelepasan cukai.

Senaraikan semua pelepasan yang anda layak dan jom klik HASiL.

Sebagai individu tanpa pendapatan perniagaan, kita sepatutnya telah membayar cukai pendapatan sepanjang tahun dalam bentuk PCB.

Jadi, semakin banyak anda membuat tuntutan pelepasan cukai, semakin banyak pulangan cukai yang akan anda perolehi.

Inilah yang kita nantikan setiap tahun. Secara tidak langsung, ia seperti simpanan tahunan kita bersama LHDNM.

Sentiasa ingat bahawa semua kemudahan pendidikan, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan yang dicapai adalah hasil sumbangan anda.

Laporkan dan bayar cukai pendapatan anda di laman web HASiL

Bersama-sama kita menanamkan rasa cinta kepada negara dengan menyumbang kepada kemakmuran Malaysia.

Berhubung isu percukaian, hubungi HASiL Care Line di talian 03-8911 1000 atau kunjungi portal rasmi LHDNM untuk maklumat lanjut.

Artikel oleh:

Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia,

Jabatan Khidmat Korporat

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain