Laksana tanggungjawab perangi Covid-19, sumbangan mega Petronas saat krisis tiada sempadan – “Diharapkan Malaysia lebih kuat dan utuh di masa depan”

sumbangan petronas 1

DENGAN keadaan yang tidak menentu ketika ini akibat pandemik Covid-19, terdapat keperluan bagi negara untuk bersama-sama menangani penularan wabak itu.

Sehubungan itu, Petronas secara progresif melangkah untuk menjadi antara beberapa syarikat korporat pertama yang menyertai usaha padu negara bagi memerangi pandemik Covid-19 yang memberi impak besar kepada dunia termasuk Malaysia.

Usaha konglomerat tenaga negara itu dibuktikan dengan menunjukkan sokongan menerusi pendekatan penuh bermakna, berskala dan berimpak besar.

Dalam sejarah penubuhan selama hampir 46 tahun, Petronas begitu dikenali dengan komitmen jangka panjang yang konsisten terhadap tanggungjawab sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Misi bantuan

Petronas menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) iaitu Yayasan Petronas (YP), pada 23 Mac lalu telah mengambil inisiatif menerusi kerjasama jangka panjang untuk sumbangan mega bagi memerangi Covid-19.

Sumbangan tersebut merupakan peralatan dan bekalan perubatan berjumlah RM20 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Lita Osman berkata, terdapat keperluan ketika ini oleh pihak hospital dalam membendung penularan wabak Covid-19 dari segi bekalan dan kemudahan perubatan seperti ventilator, pelindung peralatan diri (PPE) dan topeng muka.

Beliau jelas kagum dengan komitmen tinggi petugas barisan hadapan atau frontliner yang bertungkus-lumus merawat ribuan pesakit yang dijangkiti virus itu.

Menurut Lita, misi Petronas adalah untuk memberikan bantuan dan sumbangan kepada mereka yang amat memerlukan dalam waktu yang sukar ini.

“Saya berterima kasih di atas usaha pelbagai pihak yang menjayakan pemberian sumbangan ini.

“Misi untuk menyumbang bakti kepada masyarakat adalah penting ketika penularan wabak, dan kita dengan segera memikirkan bagaimana untuk membantu semua pihak, tanpa mengira golongan berpendapatan rendah (B40) atau sebaliknya, mahupun latar belakang?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Petronas mahu membantu dengan memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat dan petugas lain dalam perkhidmatan kesihatan, anggota polis dan pegawai imigresen yang di bawah sokongan KKM dan NADMA.

“Mereka merupakan insan-insan yang memastikan keselamatan rakyat Malaysia serta melakukan yang terbaik untuk mengurangkan impak wabak ini, ” ujar Lita.

Katanya, inisiatif bantuan itu bukan sahaja menerima sokongan penuh daripada Pengerusi Petronas dan Yayasan Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh dan juga kepimpinan lembaga pemegang amanah Yayasan Petronas, malah mendapat kerjasama KKM dan NADMA.

Kerjasama rentas sempadan

“KKM berkongsi senarai peralatan perubatan dan pembekal yang diperakui, dan kami menghubungi pembekalan secara terus bagi membincangkan mengenai keperluan kita, ” kata Lita.

Beliau berkata, disebabkan kebanyakan pembekal berpangkalan di China, maka terdapat pertimbangan untuk mengendalikannya seperti cabaran komunikasi dan logistik.

Ini juga termasuk pengangkutan bagi membawa kelengkapan seperti katil untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) secara selamat dan tepat pada masanya.

“Kita mendapat sokongan yang luar biasa daripada Kementerian Pengangkutan dan syarikat penerbangan seperti AirAsia, untuk membantu KKM memenuhi keperluan peralatan perubatannya, ” katanya.



Sumbangan katil ICU untuk keperluan rawatan pesakit Covid-19 di hospital.

Lita berkata, dalam tempoh seminggu Petronas berjaya mendapatkan dan membeli pelbagai peralatan antaranya 100 katil eletktrik ICU, ventilator, sistem ujian virus, kelengkapan PPE dan topeng muka bermutu tinggi, untuk keperluan hospital dan pusat kuarantin yang diwartakan di seluruh negara.

“Adalah penting bagi kita semua yang terlibat untuk memberikan komitmen dan menyumbang kepada krisis ini. Kita bertungkus-lumus untuk memastikan peralatan diperoleh dengan segra dan dihantar selamat serta tepat pada masanya.

“Ada pesakit yang amat memerlukan peralatan perubatan, dan kita juga harus mempertimbangkan banyak negara lain yang juga ingin mendapatkan peralatan yang sama untuk keperluan segera, ” tambahnya.

Dalam pada itu, Petronas turut berusaha mengembangkan prototaip peranti tekanan udara positif berterusan (CPAP) yang mana teknologi tersebut membantu mengurangkan kebergantungan pesakit Covid-19 pada ventilator di negara ini.

Mesin-mesin berkenaan pada awalnya dikembangkan oleh Mercedes-AMG Petronas Formula One Team di Mercedes-AMG High Performance Powertrains (HPP) dengan kerjasama University Kolej London (UCL) sebagai sebahagian daripada Project Pitlane.

Ia merupakan usaha tujuh pasukan Formula One untuk menghasilkan dan menyampaikan alat bantuan pernafasan di United Kingdom.

Beberapa perbincangan awal telah dilakukan antara Petronas dan KKM baru-baru ini berkaitan dengan keperluan dan pelaksanaan usaha ini di Malaysia.

Bantuan jangka panjang

Baru-baru ini, kakitangan Petronas bersama-sama menyumbangkan sejumlah RM6.4 juta melalui inisiatif caruman gaji sukarela untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 di bawah NADMA.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk menambah dana di bawah Nadma bagi memperhebatkan tindakan ketika wabak ini, terutama pembekalan keperluan asas dan PPE kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin telah mengatakan bahawa kejayaan untuk mengatasi wabak memerlukan sokongan semua, termasuk mereka yang tidak berada di barisan hadapan dalam memerangi penyakit itu, dengan keberanian, belas ihsan dan kemurahan hati mereka terhadap orang lain.

Sumbangan gaji oleh kakitangan merupakan tambahan kepada pelbagai sumbangan Petronas yang telah dibuat melalui unit operasi perniagaan dan anak syarikatnya di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Setakat 17 April 2020, jumlah sumbangan Petronas terhadap usaha memerangi Covid-19 berjumlah berjumlah RM37.8 juta, termasuk sumbangan daripada kakitangan berjumlah RM6.4 juta.

Jumlah tersebut turut merangkumi sumbangan Persatuan Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (Petronita), yang berjaya mengumpul dana berjumlah RM255,000. Dana berkenaan digunakan untuk membeli peralatan perubatan yang merangkumi powered air-purifying respirators (PARP), ventilator mudah alih dan laringoskop video serta kelengkapan lain seperti peti sejuk, pembersih udara, kipas dan skrin wad untuk hospital yang diwartakan.

Sementara itu, Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) membantu menyumbang kepada pengeluaran 18,750 pelindung muka (face shield) untuk kegunaan petugas barisan hadapan perubatan di Malaysia.

Manakala Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyumbang air mineral Mesra dan produk makanan Mesra Bites kepada kakitangan perubatan yang ditempatkan di pusat saringan Covid-19 di hospital kerajaan.



Petugas barisan hadapan kesihatan menerima sumbangan daripada Petronas Dagangan Berhad (PDB).

Sumbangan CSR tersebut mendapat pengiktirafan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang memberitahu pihaknya amat berbesar hati dengan komitmen pelbagai organisasi, termasuk Petronas dalam menyokong usaha kerajaan untuk memerangi Covid-19 di negara ini.

Jelasnya, kerjasama antara kerajaan dan syarikat menunjukkan komitmen padu untuk semua pihak bersama-sama memerangi Covid-19.

“Saya amat berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan petugas lain, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menangani wabak Covid-19 di Malaysia, ” katanya sambil menekankan bahawa kerajaan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk membendung penularan wabak itu di negara ini.

Langkah-langkah tersebut termasuk termasuk meningkatkan keupayaan sedia ada, kemudahan makmal, klinik kesihatan, dan hospital untuk merawat kes Covid-19.

Selain itu, KKM juga bekerjasama dengan sektor swasta untuk menangani situasi Covid-19.

“Usaha kita bukan setakat menyelamatkan nyawa, ” tambah Lita.

“Bantuan dan sumbangan dari Yayasan PETRONAS akan dilanjutkan meskipun pandemik berakhir. Kita merancang untuk membantu masyarakat seperti golongan B40 di seluruh negara, untuk meringankan beban dan meningkatkan taraf hidup mereka untuk jangka panjang melalui Program Sentuhan Kasih, ” katanya.

“Semoga kita semua memainkan peranan yang boleh dilakukan untuk sama-sama berdiri teguh dan solidariti bersama barisan hadapan yang berani menangani krisis negara ini, ” katanya.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak tanpa berbelah bahagi seperti Petronas, diharapkan Malaysia dibangunkan lebih kuat dan utuh pada masa depan, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Klik

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Artikel Lain