suria

Tak ada cara lain... remaja pandu lawan arus tidak henti kereta kerana banyak kenderaan

Ng Pei Ven. Foto Bernama

REMAJA perempuan yang didakwa memandu secara melulu dan melawan arus sehingga menyebabkan kematian memberitahu Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Rabu bahawa dia tidak berhenti ketika memandu secara melawan arus kerana terlalu banyak kenderaan pada masa itu.

Ng Pei Ven, 21, berkata, pada masa kejadian tidak ada cara lain untuk dilakukan bagi memberhentikan kenderaan ekoran kenderaan yang terlalu banyak dan hanya terus meneruskan pemanduan.

Pei Ven berkata demikian ketika memberi keterangan membela diri dalam kes yang dihadapinya berhubung tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara pada 7.50 pagi, 14 Mac 2017.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya Pei Ven turut mengakui melihat beberapa kenderaan cuba mengelak daripada terlibat dalam kemalangan semasa dia memandu melawan arus itu.

Bagaimanapun Pei Ven memberikan jawapan tidak pasti ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari mengenai kereta yang dipandunya itu telah berlanggar dengan kereta Perodua Kelisa yang dipandu oleh si mati.

Remaja itu juga berkata, dia tidak tahu yang dia telah melanggar bucu bahagian hadapan kereta si mati.

Model sambilan itu juga hanya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang jawapan semasa disoal Mohd Amril bahawa sekiranya dia (Pei Ven) tidak memandu secara melawan arus, tidak akan berlaku kemalangan terbabit.

Semasa disoal peguamnya, Lim Boon Beng, Pei Ven berkata, dia tidak sengaja mahu memandu secara lawan arus.

Perbicaraan di hadapan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha bersambung pada Khamis. - Bernama

Ng Pei Ven, lawan arus

Artikel Lain