suria

Pelepasan cukai RM6,000, kategori baharu pengeluaran KWSP untuk rawatan kesuburan IVF

Noor'adn Muhammad, 38, (kiri) bersama suami Mohd Yuhairil Haniff Yoon, 37, gembira selepas bayi lelaki mereka seberat 3.34 kilogram dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Bayi lelaki tersebut dilahirkan menerusi rawatan In-Vitro Fertilization (IVF).

BELANJAWAN 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak ketinggalan menyediakan insentif buat pasangan yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan.

Menurut beliau, insentif berkenaan diwujudkan kerana menyedari kadar kesuburan di Malaysia telah menurun dengan ketara daripada 4.9 bayi pada 70-an kepada 1.9 bayi bagi setiap wanita, iaitu di bawah paras penggantian.

“Oleh itu, bagi membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan,  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).

“Selain itu, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan,” katanya.

Kata Guan Eng lagi, kerajaan tetap komited bagi memastikan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk semua selaras dengan aspirasi masyarakat yang inklusif.

“Kerajaan akan menyediakan peruntukan bagi meningkatkan langkah pencegahan bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan penjagaan kesihatan awam. 

"Pada 2020, sejumlah  RM30.6 bilion berbanding RM28.7 bilion di bawah Belanjawan 2019 akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Peruntukan itu merangkumi tujuh perkara iaitu RM1.6 bilion untuk membina hospital baharu; RM319 juta untuk membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters; RM227 juta untuk menaik taraf peralatan perubatan dan RM60 juta untuk penyediaan vaksin pnuemococcal kepada semua kanak-kanak.

Selain itu, RM59 juta untuk tambahan bilangan ambulans; RM31 juta untuk menaiktaraf dan menyelenggara perkhidmatan ICT dan RM5 juta untuk perkhidmatan klinik bergerak untuk kemudahan masyarakat luar bandar. 

IVF, kesuburan, KWSP

Artikel Lain