suria

Rayani Air buka pintu hati pengasasnya lafaz syahadah

Ravi menikahi Uci Indah Sari di Kota Bharu sehari selepas memeluk Islam.

PENGASAS Rayani Air, syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, Ravi Alagendrran, memeluk Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah pada Isnin.

Perkara itu disahkan oleh usahawan berusia 52 tahun itu kepada mStar pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa makcik tua di klinik kesihatan, bayi Cina disuruh letak nama Melayu... tiga bulan kemudian lelaki ini bawa 2 isteri, 6 anak peluk Islam

ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Chan dedah rahsia tak pernah tanggal kopiah lebih 10 tahun

Bercakap kepada portal ini, Ravi memilih mengekalkan namanya dan kini dikenali sebagai Ravi Alagendrran Abdullah.

Dokumen sah Ravi memeluk Islam yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Foto ihsan Ravi Alagendrran Abdullah

Beliau mengaku mula mengenali Islam sejak mengendalikan syarikat penerbangan patuh syariah itu pada 2015.

"Pengenalan Rayani Air yang beroperasi secara patuh syariah membuatkan saya banyak belajar tentang Islam, sedangkan ketika itu saya sebagai pengasasnya bukan beragama Islam.

"Saya juga banyak bergaul dengan orang-orang Islam yang mana hati saya sedikit demi sedikit mula terbuka untuk mendekati Islam," katanya kepada mStar.

Ravi berkata, perkenalannya dengan seorang wanita warga Indonesia sejak dua tahun lalu juga banyak membantunya mendalami Islam.

Ravi (kanan) dan Uci bergelar suami isteri.

Beliau menambah, sehari selepas memeluk Islam dia bernikah dengan wanita berusia 23 tahun itu, Uci Indah Sari pada Selasa.

"Saya memeluk Islam dan bernikah di Kota Bharu, Kelantan," katanya.

Rayani Air memulakan operasi sebagai syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia pada Disember 2015.

Bagaimanapun, Ravi membuat pengumuman menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta, pada 9 April 2016.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan dari segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain