suria

Husni akui tipu media berhubung alasan peletakan jawatan untuk lindungi Najib

Husni mengaku berbohong kepada pihak media mengenai peletakan jawatannya sebelum ini.

BEKAS Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau berbohong kepada pihak media berhubung alasan peletakan jawatannya sebagai menteri pada 2016 untuk melindungi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Husni, 67, berkata beliau memberitahu pihak media bahawa peletakan jawatan itu tiada kaitan dengan syarikat SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun sebenarnya ia adalah bagi melindungi dan menghormati Najib sebagai perdana menteri ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-56 itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkaitan berita yang disiarkan media bahawa peletakan jawatan beliau tiada kaitan dengan (isu yang melanda) kedua-dua syarikat.

"Yang Arif, anda mahu saya hormat PM atau tidak Atas rasa hormat, saya beritahu kepada media, ia tak ada kaitan (dengan 1MDB dan SRC). Saya bercakap (macam) itu, (sebab) saya nak lindungi “kisah sebenar” Saya tidak mahu ceritakan kisah sebenar kepada media. (Jadi) Saya kata saya berhenti (secara) sukarela.

“Surat khabar, dia tulis macam-macam, dia akan akan burukkan PM (Najib). Saya tidak bercakap benar (ketika itu). Saya nak lindungi PM,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee pada hari ke-50 perbicaraan kes Najib yang membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, Ahmad Husni berkata keputusan untuk melepaskan jawatannya secara suka rela dibuat selepas membaca berita bahawa beliau dipindahkan ke Unit Pembangunan Ekonomi (EPU).

Ketika itu, beliau ingin menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi dan memandangkan mesyuarat yang sepatutnya bermula pukul 9.00 pagi berlangsung lewat, beliau sempat membaca surat khabar.

“Pada 27 Jun 2016, hari Isnin, biasanya kami ada Mesyuarat Majlis Ekonomi, biasanya (mesyuarat) bermula pukul 9.00 pagi tetapi pada hari itu, ia bermula pukul 11 pagi. Saya baca surat khabar (yang melaporkan bahawa) saya dipindahkan ke EPU,” katanya.

Ahmad Husni berkata selepas membaca berita itu, beliau mendiamkan diri dalam mesyuarat dan selepas mesyuarat tamat, beliau menemui Najib untuk bertanyakan perkara berkenaan.

“Saya beritahu PM saya faham yang beliau mahu memindahkan saya ke EPU, PM kemudian jawab, “ya, saya ‘pindah’ kamu ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya mahu kamu ke kementerian lain untuk cabaran baru,” katanya.

Ahmad Husni berkata beliau kemudian memberitahu Najib “tolong turunkan saya” sebelum kembali ke pejabatnya.

“Lepas itu PM telefon saya, tanya “ini sukarela ya Husni” dan saya menjawab ya,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau kemudian mengemaskan barangan dan dokumennya sebelum pulang ke rumah.

Kepada soalan Muhammad Shafee adakah saksi itu berhenti kerana dia dipindahkan ke kementerian lain, Ahmad Husni menjawab “ya.”“Ya, (tapi) ia bukan pasal pertukaran tu semata-mata. Ada (isu) lebih besar dari itu, saya berjanji kepada Allah, (ada) isu lebih besar,” katanya yang mahu menjelaskan lanjut namun dipotong oleh Muhammad Shafee.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.-Bernama

Artikel Lain